Bagi pasangan suami isteri Encik Jason dan Cik Suzanne, pagi minggu mereka hari ini merupakan antara pengalaman yang sering dinantikan mereka.

Meskipun cuaca agak panas, namun lima beranak itu habiskan masa hampir sejam untuk menanam pokok sebagai sebahagian daripada usaha menyokong gerakan Bersih dan Hijau Singapura 2022 dan menyokong usaha menanam sejuta pokok.

"Menanam pokok perlu diperkenalkan dari kecil. Pada masa yang sama ia juga menanam sikap menghargai alam semula jadi dan kehijauan dalam diri anak-anak," kata Encik Jason yang enggan berikan nama keluarganya.

Beliau hadir bersama isteri dan ketiga-tiga anak kecil mereka yang berusia empat, tujuh dan sembilan tahun.

Acara yang berlangsung pagi tadi (4 Disember) di luar Hospital Besar Changi (CGH) itu merupakan anjuran Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Simei dan Duta Hijau.

Diberi nama Harmoni bersama Alam Semula Jadi, ia melibatkan seramai 32 peserta yang sama-sama menanam sehingga 80 pokok.

Semasa ditemui, Pengarah Kawasanundi di Pejabat Kawasanundi Changi Simei, Cik Audrey Lim, berkata projek menanam pokok itu adalah yang ketiga berlangsung di Changi Simei untuk tahun ini.

"Dalam projek ini kami mendapat kerjasama daripada agensi seperti Lembaga Taman Negara (NParks), Agensi Sekitaran Nasional (NEA), dan Duta Hijau bagi menganjurkannya.

"Sedang pihak NParks menjaga perihal elemen penanaman, NEA dan duta hijau mendirikan gerai-gerai mendidik tentang kegiatan mengitar semula," katanya.

Semalam (3 Disember) Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat, telah melancarkan gerakan Bersih dan Hijau Singapura 2022 di Maktab Rendah Eunoia.

Dalam ucapannya, Encik Heng berkata gerakan bersih dan hijau adalah dan akan terus menjadi usaha seluruh masyarakat.

Meskipun kempen nasional pada awalnya diterajui pemerintah, pendekatan itu telah beralih ke arah membentuk kerjasama kukuh dengan masyarakat untuk mengambil inisiatif dalam menjaga sekitaran.