Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tandas awam bersih, tanggungjawab bersama 

Nov 26, 2024 | 10:29 AM
Tandas bersih amat penting dalam persekitaran yang menjual makanan, menurut Pengurus Operasi dan Pemasaran Kedai Kopi, Encik Christopher Yong.
Tandas bersih amat penting dalam persekitaran yang menjual makanan, menurut Pengurus Operasi dan Pemasaran Kedai Kopi, Encik Christopher Yong. - Foto BH SHAFIQ APANDI

Pada satu ketika, penyelia pembersihan Kedai Kopi, Cik Nurmaisarah Sofea Aziz, 23 tahun, pernah melihat seorang pelanggan mengelap sinki tandas semasa beliau memeriksa kebersihan tandas di kedai kopi itu.

Tindakan pengguna tandas itu membuat Cik Nurmaisarah percaya bahawa segolongan besar anggota masyarakat di Singapura turut prihatin terhadap kebersihan tandas awam. Justeru, Cik Nurmaisarah selalu memastikan tandas kedai kopi itu dijaga dengan bersih dan mempunyai kelengkapan yang diperlukan seperti sabun.

“Jika ruang tandas sentiasa bersih, ia dapat menggalakkan orang ramai untuk membantu menjaga kebersihan tandas,” ujar Cik Nurmaisarah yang sudah tiga tahun bekerja bersama Kedai Kopi.

Lantaran itu, beliau bangga mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan menyenangkan untuk semua orang yang mengunjungi premis Kedai Kopi — sebuah rangkaian kedai kopi yang mesra pelanggan Melayu/Islam yang mempunyai lima cawangan dan asalnya ditubuhkan pada 2020.

Menurut Cik Nurmaisarah, peranannya melibatkan mengawasi kebersihan keseluruhan kedai kopi itu dan memastikan setiap sudut memenuhi piawaian tinggi premis itu.

“Menjaga kebersihan tandas adalah salah satu tanggungjawab saya, tetapi saya juga menumpukan usaha untuk menjaga kebersihan kawasan umum, menyelaras dengan pasukan saya dan menguruskan jadual pembersihan untuk memastikan semuanya dalam keadaan terbaik. Saya gembira mengetahui bahawa usaha pembersihan kami dapat menyumbang kepada pengalaman positif pelanggan kami,” kata Cik Nurmaisarah.

Katanya lagi, tandas di premis itu dibersihkan sekitar empat kali sehari.

Beliau juga kerap melakukan pemeriksaan ringkas sepanjang hari bagi memastikan agar tandasnya tidak kotor.

Namun, beliau tidak menafikan bahawa adakalanya, kebersihan tandas tidak menentu, terutama sekali semasa ada ramai pelanggan. Pada waktu puncak pelanggan sebegitu, pembersih akan berusaha memastikan agar tandas kekal bersih.

Mengulas tentang peri pentingnya memelihara kebersihan tandas di Kedai Kopi, Pengurus Operasi dan Pemasaran Kedai Kopi, Encik Christopher Yong, berkata:

“Tandas bersih mencerminkan komitmen kami terhadap kebersihan dan ini terutamanya, amat penting dalam persekitaran yang menjual makanan. Apabila pelanggan kami melihat kemudahan bersih, mereka berasa yakin bahawa kami menitik beratkan kesihatan dan keselesaan mereka. Ia mencipta kesan positif dan menyumbang kepada pengalaman pemakanan yang baik. Tambahan lagi, semua orang bermanfaat apabila tandas awam bersih kerana ia mempromosikan kesihatan masyarakat dan rasa hormat terhadap ruang kongsi.”

Beliau menjelaskan bahawa proses pembersihan tandas Kedai Kopi termasuk membasmi kuman di semua permukaan, terutamanya kawasan sentuhan tinggi seperti pemegang pintu, tempat duduk tandas dan butang siram tandas.

Mereka juga memastikan agar lantai dimop dan kering, cermin digilap, dan tong sampah dikosongkan dengan kerap.

Selain itu, mereka kerap mengisi semula sabun tangan untuk memberikan pengalaman yang lengkap dan bersih untuk setiap pengguna.

Kakitangan pembersihan mereka juga telah menjalani latihan berkenaan kebersihan.

“Kami telah memperkenalkan pengering tangan automatik untuk mengurangkan titik sentuhan. Kami juga telah meletakkan papan tanda yang mudah dibaca dengan peringatan mudah untuk pelanggan mengepam, memastikan tempat duduk tandas bersih, mengeringkan lantai dan membuang sampah dengan betul bagi mengukuhkan tabiat yang baik untuk semua orang yang menggunakan tandas,” kata Encik Yong.

Kempen Kebersihan Tandas Awam

Pada tahun ini, slogan Kempen Kebersihan Tandas Awam 2024 Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), ‘Kita semua menang apabila tandas kita bersih!’, menyeru tindakan kolektif masyarakat untuk menjaga kebersihan tandas.

Kempen tersebut yang bermula sejak 2019 bertujuan mempertingkatkan tahap kebersihan tandas awam dan mahu menggalakkan orang ramai mengamalkan empat tindakan - “Bersih, Pam, Kering, Buang” - apabila mereka menggunakan tandas awam.

Ia merujuk kepada tindakan mengepam tandas selepas menggunakannya, memastikan tempat duduk tandas bersih, memastikan lantai tandas kering dan membuang sampah dengan betul.

Kempen itu, yang turut disokong rakan NEA iaitu Majlis Kebersihan Awam (PHC), Persatuan Tandas Singapura (RAS) dan Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM), sejajar dengan penekanan bahawa amalan penggunaan tandas individu yang baik bermanfaat buat semua orang.

Ia juga mahu memupuk budaya tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat untuk mempertingkatkan kebersihan tandas awam.

Kempen Kebersihan Tandas Awam meningkatkan kepentingan kebersihan awam sempena Tahun Kebersihan Awam yang ditetapkan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada tahun ini dalam usaha memupuk tanggungjawab kolektif serta menggalak usaha seluruh negara untuk mengekalkan piawaian kebersihan Singapura.

Rencana ini dibawakan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Rencana ini dibawakan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA). - Foto AGENSI SEKITARAN KEBANGSAAN (NEA)
Sila ikuti amalan ini untuk pengguna tandas awam.
Sila ikuti amalan ini untuk pengguna tandas awam. - Adaptasi Grafik Berita Harian
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg