Lebih 1,200 tindakan penguatkuasaan telah diambil bagi kesalahan melibatkan kebersihan tandas awam pada 2024.
Dari 1 Januari hingga 15 November 2024, sebanyak 1,253 tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pemilik merentas semua jenis premis, termasuk nod pengangkutan dan pertubuhan makanan runcit.
Jumlah itu peningkatan tiga kali ganda berbanding 367 tindakan yang diambil dalam tempoh sama pada 2023, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Majlis Kebersihan Awam (PHC) dalam satu kenyataan bersama pada 21 November.
Agensi Makanan Singapura (SFA) juga menggantung lesen sebanyak 10 kedai kopi atas kesalahan berkaitan tandas dan kesalahan keselamatan makanan lain di bawah Sistem Mata Demerit (PDS), berbanding hanya satu penggantungan masing-masing pada 2022 dan 2023.
Tindakan penguatkuasaan adalah sebahagian daripada usaha dipertingkat untuk menguatkuasakan piawaian kebersihan, memandangkan 2024 ditetapkan sebagai Tahun Kebersihan Awam.
Di samping itu, kempen baru iaitu Kempen Tandas Awam Lebih bersih 2024 telah dilancarkan Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, pada 21 November, di Pusat Penjaja Senja untuk mempromosikan lagi kebersihan awam.
Slogan kempen tahun ini, iaitu “Semua orang menang apabila tandas kita bersih”, menandakan kemajuan daripada tumpuan pada 2023 yang berkisar pada kesedaran individu ke arah seruan untuk tindakan kolektif, kata NEA dan PHC.
Kempen tersebut turut disokong oleh rakan kongsi lain, termasuk Persatuan Tandas Singapura (RAS), SFA, dan Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM), untuk mempromosikan penggunaan tandas awam secara bertanggungjawab.
Kempen itu juga akan mendekati pelbagai segmen masyarakat melalui perkongsian dengan pihak berkepentingan tempatan, seperti pertubuhan akar umbi, badan bukan pemerintah, agensi perkhidmatan sosial, dan sekolah, untuk menguar-uarkan mesej kempen dan mendidik mereka mengenai penggunaan tandas awam yang baik.
PHC juga telah memperluaskan program Kumpulan Masyarakat Tandas Kejiranan (NTCG) untuk merangkumi kawasan nod pengangkutan.
Ia adalah kerjasama antara pengendali, sukarelawan masyarakat dan pengguna bagi memperkukuh mesej tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan tandas awam.
Ia turut memperkenalkan Bengkel Buddy Clean untuk membantu murid sekolah rendah memahami kepentingan menjaga kebersihan tandas.
“Mengekalkan kebersihan ruang awam kami, termasuk tandas awam, adalah tanggungjawab bersama yang memberi manfaat kepada semua orang,” kata NEA dan PHC.
Pengguna digalakkan mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan mengamalkan empat tindakan utama iaitu memastikan tempat duduk tandas bersih, menyiram tandas sepenuhnya, memastikan lantai kering dan membuang sampah dengan betul.
Pemilik atau pengendali tandas awam yang gagal menyediakan kemudahan asas seperti sabun atau tisu, atau tidak menjaga kebersihan tandas, boleh dikenakan denda dengan jumlah komposisi sehingga $500.
Di bawah undang-undang, bagi kesalahan seperti kemudahan asas yang tidak mencukupi dan tandas yang tidak bersih, seseorang boleh didenda maksimum bagi sabitan pertama adalah antara $1,000 dengan $5,000, bergantung pada jenis dan tahap pelanggaran tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg