Topik diikuti
Pergi ke BHkuTanjong Rimau di Sentosa bakal diperkukuh bagi cegah hakisan, kerosakan cerun
Tanjong Rimau di Sentosa bakal diperkukuh bagi cegah hakisan, kerosakan cerun
Kaedah dipanggil ‘XblocPlus’ antara lima langkah baharu bagi perlindungan kawasan pantai yang akan diuji di serata negara selama tiga tahun
Tanjong Rimau di Sentosa bakal diperkukuh bagi cegah hakisan, kerosakan cerun
Sebagai langkah mencegah salah satu tebing pesisir pantai dan pantai berbatu terakhir di Singapura daripada runtuh, bongkahan batu di hujung barat Sentosa perlu dipaku pada kedudukannya, manakala kawasan batuan rapuh perlu dilindungi daripada ombak kuat.
Menjelang 2027, pelbagai langkah akan dijalankan untuk memperkukuh beberapa bahagian di Tanjong Rimau – sebuah kawasan perlindungan biodiversiti yang mengalami kerosakan cerun, runtuhan batu dan hakisan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Langkah berkenaan merangkumi kerja menggerudi rod logam atau paku ke dalam batu dan tanah, memasang lapisan kawalan hakisan, serta menyusun blok konkrit berbentuk X atau XblocPlus di kaki beberapa cerun bagi melindungi garis pantai daripada hakisan pesisir laut.
Kerja-kerja yang akan dijalankan di empat kawasan cerun lemah sepanjang 400 meter merentasi Tanjong Rimau itu dijangka mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan, lapor The Straits Times.
Langkah-langkah berkenaan didedahkan dalam satu laporan penilaian alam sekitar yang diterbitkan di laman web Sentosa pada Jun lalu.
Ratusan blok XblocPlus saling mengunci – dengan berat setiap satu blok mencecah satu tan – akan ditempatkan di tiga lokasi di Tanjong Rimau, menerusi kerjasama antara agensi air negara PUB dengan pencipta penyelesaian berkenaan, Delta Marine Consultants, serta beberapa pihak lain.
Pendekatan ini juga merupakan salah satu daripada lima langkah baharu bagi perlindungan kawasan pantai yang akan diuji di serata negara selama tiga tahun.
Ujian ini dijalankan bagi menentukan sama ada pendekatan tersebut boleh digunakan untuk kerja-kerja perlindungan kawasan pantai pada masa akan datang.
Sebagai salah satu habitat pantai berbatu dan tebing pesisir semula jadi yang masih wujud di Singapura, kekayaan biodiversiti serta geologi unik zon pasang surutnya menjadikan kawasan berkenaan lokasi popular buat pencinta alam.
“Tanjong Rimau ialah kawasan terbaik dan salah satu tempat terakhir yang boleh dikunjungi di Singapura untuk melihat jenis hutan pesisir yang tumbuh melata di kawasan batuan,” kata pensyarah kanan di Sekolah Alam Sekitar Asia (ASE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Shawn Lum.
Pengarah Eksekutif Singapore Youth Voices for Biodiversity, Encik Muhammad Nasry Abdul Nasir, menyatakan bahawa tumbuhan pesisir pantai di kawasan berkenaan mampu menyesuaikan diri dengan gangguan berkala yang berpunca daripada kerosakan cerun.
“Kejadian tanah runtuh kecil menyebabkan batu-batu terjatuh ke pantai, sekali gus mewujudkan banyak ruang kecil untuk didiami hidupan laut – begitulah cara habitat pantai berbatu terbentuk,” jelas beliau.
Namun, Encik Nasry berkata cuaca tidak menentu cukup untuk mencetuskan kejadian tanah runtuh yang besar dan melenyapkan spesies terancam yang tidak lagi membiak secara meluas di Singapura.
Ini termasuk pokok nyireh laut yang dikategorikan sebagai ‘terancam kritikal’ di peringkat nasional serta pokok periuk kera Raffles yang diklasifikasikan sebagai rentan.
Tanjong Rimau merupakan salah satu kawasan perlindungan utama terakhir bagi spesies berkenaan.
“Selain melindungi tapak fizikal serta flora dan faunanya, kerja-kerja tanah di Tanjong Rimau ini mungkin membolehkan orang ramai berkunjung dan mengkaji kawasan tersebut dengan cara yang selamat dan mampan,” kata Dr Lum.
Namun, sama seperti aktiviti manusia lain, langkah berkenaan tetap akan memberi kesan kepada alam sekitar.
Kajian alam sekitar yang dijalankan oleh syarikat perunding biodiversiti, Camphora, mendapati bahawa lebih 12 peratus padang rumpai laut di sepanjang Tanjong Rimau mungkin musnah disebabkan pembinaan benteng sementara di zon pasang surut bagi membolehkan kerja-kerja tersebut dijalankan.
Laporan itu menyatakan, walaupun sebahagian kemusnahan tidak dapat dielakkan, habitat berkenaan mampu pulih semula selepas semua kerja selesai.
