Langkah untuk melindungi salah satu kawasan paling rendah di Singapura, iaitu kawasan pesisir pantai di bahagian tenggara negara ini, akan dibina mulai 2030-an untuk melindungi penduduk dan prasarana daripada kenaikan paras air laut.
Antara langkah itu termasuk pemasangan struktur penghadang kawasan pesisir serta platform yang dinaikkan atau benteng di kawasan pantai Changi.
Penghadang kawasan pesisir berbentuk pagar bergerak yang boleh dibuka atau ditutup mengikut keadaan cuaca, yang turut menghubungkan Sentosa dengan tanah besar Singapura.
Ini merupakan sebahagian daripada usualan yang diketengahkan di pameran perlindungan kawasan pesisir Singapura, yang diadakan buat kali pertama di sini.
Pameran tersebut berlangsung di pusat beli-belah VivoCity hingga 31 Ogos.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang melawat pameran itu pada 30 Ogos, berkata:
“Perlindungan kawasan pesisir adalah satu usaha berterusan yang memerlukan komitmen berterusan selama beberapa generasi.
“Sama seperti perumahan awam, bekalan air dan prasarana kita, ia merupakan pelaburan penting bagi keselamatan, perlindungan dan daya tahan negara.”
Usulan yang diketengahkan di pameran anjuran agensi air negara PUB itu adalah saranan hasil kajian empat tahun di sepanjang kawasan bandar hingga East Coast.
Kajian yang dijalankan firma perunding prasarana, CPG Consultants, itu bermula pada 2021, lapor The Straits Times (ST).
Ia merangkumi kawasan dari Terminal Feri Pasir Panjang hingga ke kawasan pembangunan baru Greater Southern Waterfront, serta kawasan Changi.
Kawasan dari bandar hingga ke East Coast itu merupakan kawasan pertama yang dipilih bagi kajian itu kerana ia merupakan kawasan yang rendah.
Sebahagian besar kawasan itu turut berada kurang 5 meter di atas paras air laut sekarang.
Menjelang 2100, paras air laut di sekitar Singapura boleh meningkat hingga 1.15 meter secara purata.
Bahagian antara Greater Southern Waterfront dengan Changi akan dilindungi oleh pembangunan Long Island yang diumumkan sebelum ini.
Pemerintah merancang membina Long Island sebagai tiga kawasan tanah tambak di sepanjang East Coast, dengan paras tanah lebih tinggi.
Ia akan melindungi sebahagian besar segmen dari bandar hingga ke East Coast, dari Marina East ke Terminal Feri Tanah Merah, daripada kenaikan paras air laut.
Langkah perlindungan bagi bahagian lain di Greater Southern Waterfront dan Changi termasuk pemasangan tembok laut, menaikkan cerun di kawasan pesisir, dan membina pintu pasang surut.
“Setiap bahagian kawasan pesisir kita berbeza – daripada Marina Bay yang sibuk hingga ke Taman Pantai Changi yang tenang.
“Setiap ruang pesisir mempunyai geografi, kegunaan dan identitinya tersendiri,” tambah Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
Dalam satu hingga dua tahun akan datang, PUB dan agensi lain akan menjalankan kajian lanjut, termasuk membangunkan reka bentuk langkah yang diusul serta menjalankan penilaian kesan langkah-langkah tersebut terhadap alam sekitar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg