Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tapak 38 Oxley Road diwarta sebagai Monumen Negara

Keputusan ambil kira bantahan bertulis yang dikemukakan Hsien Yang, anak bongsu mendiang Lee
Dec 12, 2025 | 8:32 PM
Oxley, diwartakan, Monumen Negara
Tapak kediaman Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, di 38 Oxley Road telah diwartakan sebagai Monumen Negara ke-77, berkuat kuasa 13 Disember. - Foto ZAOBAO

Tapak kediaman Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, di 38 Oxley Road akan diwartakan sebagai Monumen Negara ke-77, berkuat kuasa 13 Disember.

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, mengeluarkan Perintah Pemeliharaan bagi mewartakan tapak itu, menurut kenyataan bersama Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada 12 Disember.

Encik Neo membuat keputusan itu selepas mengambil kira bantahan bertulis yang dikemukakan anak bongsu mendiang Lee, Encik Lee Hsien Yang, serta penilaian Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen (PSM) NHB.

Tapak itu kini dimiliki Encik Lee, yang telah mengemukakan bantahan bertulis pada 17 November.

Surat bantahan itu menyatakan 38 Oxley Road “akan menjadi lambang pengingkaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) terhadap hasrat mendiang Lee”, merujuk kepada hasrat ayahnya supaya rumah itu dirobohkan.

Beliau berkata ayahnya menolak sebarang bentuk monumen, dan menyifatkan hujah yang mengatakan sebaliknya sebagai “palsu” dan “bercanggah”.

MCCY dan NHB berkata: “Selaras dengan proses yang ditetapkan di bawah Akta Pemeliharaan Monumen (PMA), NHB telah menyemak surat bantahan dan mengekalkan cadangannya bahawa tapak tersebut layak dipelihara sebagai Monumen Negara atas kepentingan sejarah dan negara.”

Kenyataan itu menambah Encik Neo mendapati surat bantahan Encik Lee tidak mencabar kepentingan sejarah atau kepentingan negara yang terkait dengan tapak tersebut, ataupun proses penilaian untuk mengenal pasti monumen negara yang berpotensi.

Encik Lee juga tidak mempertikaikan penilaian PSM terhadap kelayakan pemeliharaan bagi tapak tersebut, tambah MCCY dan NHB.

Kenyataan itu turut menegaskan pemeliharaan tapak itu tidak bermakna bangunan dan struktur yang wujud mesti dikekalkan dalam keadaan asalnya.

MCCY dan NHB berkata: “Seperti yang dijelaskan oleh Pemangku Menteri (Encik Neo) di Parlimen, pengolahan sewajarnya terhadap bangunan dan struktur (di tapak itu) akan tertakluk kepada penyelidikan lanjut, sebaik sahaja pemerintah mendapat akses ke tapak tersebut.

“Namun, bagi menghormati hasrat mendiang Lee, pemerintah komited untuk menghapuskan ruang kediaman peribadi dari bahagian dalaman bangunan bagi melindungi privasi mendiang Lee dan keluarganya di bawah semua pilihan yang ada.”

Semasa membentangkan Kenyataan Menteri di Parlimen pada 6 November, Encik Neo berkata pemerintah berhasrat memelihara keseluruhan tapak 38 Oxley Road dan bukan bangunan atau struktur di dalamnya kerana pemerintah tidak diwajibkan untuk mengekalkannya dalam keadaan semasa.

Pemerintah juga tidak akan mempamerkan, merekodkan, mengubah suai atau menduplikasi bahagian dalam rumah mendiang Lee dalam apa jua keadaan sekali pun.

Langkah pemeliharaan ini di bawah PMA juga bertujuan menghalang mana-mana pihak swasta daripada membelinya pada masa hadapan, kata beliau.

Tapak di 38 Oxley Road menempatkan banglo satu tingkat yang menjadi rumah keluarga mendiang Lee dan merupakan kediamannya dari pertengahan 1940-an sehingga beliau meninggal dunia pada 2015.

Ruang makan di aras bawah tanah kediaman itu dianggap ruang paling bersejarah kerana tokoh-tokoh politik PAP pada 1950-an – antaranya mantan Timbalan Perdana Menteri, mendiang Dr Goh Keng Swee, yang dianggap perunding utama perpisahan Singapura dan Malaysia pada Ogos 1965 – berbincang mengenai masa depan Singapura di ruang itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg