Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lee Hsien Yang bantah rancangan 38 Oxley Road jadi Monumen Negara

Nov 17, 2025 | 5:42 PM
Lee Hsien Yang, momumen negara, 38 oxley road, pm lee
Tapak rumah keluarga mendiang Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, di 38 Oxley Road telah dicadangkan untuk diwartakan sebagai Monumen Negara. - Foto ST

Encik Lee Hsien Yang, pemilik tunggal 38 Oxley Road, membantah rancangan pemerintah untuk mewartakan rumah keluarganya sebagai Monumen Negara.

Bantahan itu dibuat selepas Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) mengumumkan pada 3 November mereka berhasrat mewartakan tapak kediaman mendiang Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, yang menurut mereka mempunyai nilai sejarah penting sebagai tempat perbincangan politik golongan pemimpin awal Singapura.

Pada 17 November, tarikh akhir penghantaran bantahan, Encik Lee Hsien Yang, menulis kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyatakan sebagai anak dan pemegang amanah ayahnya, beliau menolak cadangan pewartaan itu.

Surat tersebut dimuat naik di Facebook.

Jika diwartakan dan kelak diambil alih, tapak itu mungkin dijadikan ruang awam seperti taman warisan.

Menurut undang-undang, Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, harus mempertimbangkan bantahan tersebut, meskipun perintah pemeliharaan masih boleh dikeluarkan selepas itu.

Tiada tempoh masa ditetapkan bagi keputusan menteri.

Dalam suratnya, Encik Lee Hsien Yang berkata 38 Oxley Road “akan menjadi lambang pengingkaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) terhadap hasrat mendiang Encik Lee Kuan Yew”, merujuk kepada hasrat ayahnya agar rumah itu dirobohkan.

Beliau menegaskan bahawa ayahnya menolak sebarang bentuk monumen, dan menyifatkan hujah yang mengatakan sebaliknya sebagai “palsu” dan “bercanggah”.

“Gambaran Encik Lee Kuan Yew berubah fikiran dan ‘tidak kisah’ rumahnya dipelihara juga adalah rekaan semata-mata,” katanya.

Beliau juga berkata mendiang ayahnya sejak 2010 percaya Kabinet telah memutuskan untuk mewartakan rumah itu.

Merujuk kepada wasiat terakhir Encik Lee Kuan Yew pada 2013, Encik Lee Hsien Yang menegaskan ayahnya tidak pernah bersetuju memulihara ruang tamu dan membukanya kepada umum.

Menurut laporan The Straits Times (ST), wasiat itu menekankan bahawa rumah tersebut tidak perlu dibuka kepada sesiapa selain anak-anak Encik Lee Hsien Yang, keluarga mereka dan keturunan mereka, sekiranya ia tidak boleh dirobohkan.

Ruang makan di aras bawah tanah, tempat tokoh politik 1950-an berbincang masa depan Singapura, dianggap ruang paling bersejarah rumah itu.

Encik Lee Hsien Yang, yang pada 2024 memohon perobohan rumah tersebut, turut menyatakan tinjauan sejak 2015 menyokong hasrat mendiang Lee agar ia dirobohkan.

Beliau menambah, keputusan kini terletak pada PM Wong, yang sebelum ini menganggotai jawatankuasa menteri 2016 yang mengemukakan tiga pilihan bagi rumah itu – mengekalkan keseluruhan bangunan; mengekalkan hanya ruang makan; atau merobohkannya untuk pembangunan semula.

Mengakhiri suratnya, Encik Lee Hsien Yang berkata pemerintah PAP “boleh menghormati Lee Kuan Yew atau menjadikan rumah itu lambang pengingkaran terhadap hasratnya”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg