Penduduk di Bukit Canberra, berdekatan kawasan Sembawang, tidak lama lagi boleh memohon bagi memanfaatkan 50 tapak berkebun yang disenaraikan dalam Skim Peruntukan Tapak untuk Berkebun oleh Lembaga Taman Negara (NParks).
Tapak di kebun peruntukan Bukit Canberra, yang siap dibina pada Disember 2025, merupakan antara lebih 140 tapak di 16 kebun baru dan sedia ada yang akan dibuka untuk permohonan dari 10 pagi pada 2 Disember hingga 11.59 malam pada 15 Disember.
Ini termasuk tapak yang tempoh pajakannya bakal tamat, tapak baki daripada permohonan Mac 2025 dan tapak yang dikosongkan oleh pengguna sebelum tempoh pajakan berakhir, menurut NParks pada 1 Disember, lapor The Straits Times (ST).
Antara lokasi yang terlibat ialah Taman Tasik Jurong, Taman East Coast, Taman Yishun dan Taman Punggol.
Permohonan melalui saluran AXS seperti e-Station, m-Station dan kios akan tertakluk kepada pengundian berkomputer.
Pemohon yang tidak berjaya akan dimaklumkan melalui e-mel setelah proses undian selesai, kata NParks.
Skim Peruntukan Tapak untuk Berkebun dilancarkan pada 2016 untuk membolehkan individu menyewa ruang bagi menanam tanaman yang boleh dimakan di kebun di bawah rangka kerja diperluas bagi program Duta Kemekaran Dalam Kalangan Masyarakat (CIB).
Setakat ini, lebih 2,500 tapak berkebun telah disediakan di 29 taman dan kebun di seluruh Singapura.
Sejak 2021, NParks juga bekerjasama dengan agensi lain, majlis perbandaran dan pertubuhan akar umbi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tapak berkebun dan menjadikan inisiatif tersebut lebih mudah diakses, dengan tapak yang lebih dekat dengan kediaman penduduk.
Terdapat lebih 900 tapak berkebun di 29 lokasi yang diuruskan oleh Jawatankuasa Penduduk (RC) dan Rangkaian Penduduk (RN).
Petak berkebun yang dibuka untuk tempahan mulai 2 Disember
– Bukit Canberra (baru) – 50 tapak
– Kawasan A Taman East Coast – 34 tapak
– Taman Sembawang – 21 tapak
– Taman Kent Ridge – 14 tapak
– Taman Tasik Jurong – 8 tapak
– Taman Punggol – 5 tapak
– Taman Yishun – 3 tapak
– Taman Ang Mo Kio Town West, Taman Bishan-Ang Mo Kio, Taman Jurong Central dan Taman West Coast – 2 tapak setiap lokasi
– Taman Bedok Reservoir, Taman Bukit Gombak, Kawasan D Taman East Coast, Taman One-north dan Taman Woodlands Waterfront – 1 tapak setiap lokasi


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg