Lebih 350 tapak di 15 kebun dan taman serata Singapura kini dibuka untuk permohonan bagi individu yang ingin mengusahakan tanaman yang boleh dimakan.
Lembaga Taman Negara (NParks) mengumumkan pada 18 Mac bahawa mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan dari 10 pagi pada 19 Mac hingga 11.59 malam pada 1 April.
Langkah itu merupakan pengembangan Skim Peruntukan Tapak untuk Berkebun, yang diperkenalkan pada 2016 bagi membolehkan individu menyewa ruang di kebun dan taman untuk menanam tanaman yang boleh dimakan, lapor The Straits Times (ST).
Kali ini, tapak berkebun disediakan di pelbagai lokasi seperti Taman East Coast dan Taman Jurong Central, dengan jumlah terbanyak disediakan di Taman Tasik Jurong, Taman Punggol, dan Ang Mo Kio Town Garden West.
Setiap tapak ditawarkan pada harga $62.13 setahun dan dilengkapi dengan batas tinggi bertingkat berukuran 2.5 meter kali 1 meter, tanah, serta ruang kecil untuk menyimpan peralatan. Tempoh pajakan adalah sehingga tiga tahun.
Permohonan melalui saluran AXS, seperti laman web AXS (e-Station), aplikasi AXS bagi telefon bimbit (m-Station), atau mesin AXS, akan tertakluk kepada pengundian menggunakan komputer.
Menurut NParks, setakat ini, lebih 2,400 tapak yang diperuntukkan untuk berkebun telah disediakan di 28 taman dan kebun di seluruh Singapura.
Sejak 2021, NParks juga telah menjalin kerjasama dengan agensi, majlis bandaran dan pertubuhan akar umbi bagi memperluaskan daya usaha itu, dengan menyediakan tapak yang lebih dekat dengan kawasan kediaman.
Kitaran permohonan seterusnya dijadualkan pada suku keempat 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg