Singapura akan menyertai Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia untuk bersama-sama mencalonkan tarian tradisional Zapin bagi disenaraikan dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan, yang diusahakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), umum Lembaga Warisan Negara (NHB) pada 24 September.

Senarai tersebut mengiktirafkan pelbagai amalan, ilmu dan kemahiran dari seluruh dunia, selain bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara warisan tidak ketara berkenaan.

Kini, terdapat 716 budaya, ilmu, tradisi lisan, seni persembahan dan sebagainya yang diiktirafkan dalam senarai tersebut.

Ini merupakan pencalonan keempat Singapura dalam senarai tersebut, menyusuli kejayaan pendaftaran Budaya Penjaja pada 2020, Kebaya pada 2024, serta Perarakan Chingay yang kini masih dalam proses penilaian.

Dalam satu kenyataan pada 24 September, NHB menyifatkan Zapin sebagai seni persembahan yang terus gemilang di empat negara berkenaan.

Seni persembahan itu giat diamalkan di peringkat tempatan dan antarabangsa, dan kekal diwarisi dari generasi ke generasi, tambah NHB.

Pencalonan ini juga boleh mengukuhkan kerjasama serantau yang telah terjalin berdekad lamanya dalam memartabatkan seni Zapin, seperti menerusi pesta antarabangsa.

Zapin secara umumnya dikenali oleh pergerakan yang anggun serta penuh ekspresi, diiringi alunan alat muzik tradisional seperti gambus, rebana dan akordion.

Penolong pengarah kanan di jabatan dasar warisan dan kajian NHB, Encik Nasri Shah, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa pencalonan tersebut merupakan detik bermakna yang mengiktirafkan sejarah dan perkembangan seni Zapin di Singapura sejak 1950-an.

“Lama-kelamaan, seni ini terus berkembang mengikut peredaran zaman dan pembaharuan yang dibawakan oleh setiap generasi penggiatnya. Mereka berupaya memanfaatkan Zapin untuk menonjolkan identiti tersendiri di Singapura,” katanya.

Encik Nasri turut menampilkan penglibatan berterusan oleh penggiat Zapin, termasuk penari muda.

Lantaran itu, NHB mendapati Zapin sebagai warisan budaya bernilai tinggi yang layak dicalonkan kepada Unesco, kata Encik Nasri.

Enck Nasri berharap pencalonan tersebut dapat menonjolkan dedikasi penggiat Zapin yang telah mengekalkan seni itu dari generasi ke generasi.

“Kami berharap pencalonan ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat awam terhadap Zapin, melangkaui masyarakat Melayu, agar mereka turut serta menyemarakkan seni ini,” tambah Encik Nasri.

Ketua Pegawai Eksekutif NHB, Cik Chang Hwee Nee, pula berharap pencalonan tersebut dapat memberi inspirasi kepada generasi penggiat baharu untuk mengekalkan tarian Zapin.

Empat negara berkenaan akan membuat pencalonan tersebut kepada Unesco menjelang Mac 2027, dan kini sedang membuat persiapan.

Menjelang pencalonan tersebut, NHB sedang mendampingi penggiat Zapin bagi mendapatkan pandangan, memahami kepentingan tarian berkenaan, serta mengenal pasti langkah-langkah untuk memeliharanya.

Usaha ini merangkumi pelbagai pihak termasuk syarikat tarian, akademik, komposer persembahan Zapin, kumpulan pelajar dan lain lagi.

Pencalonan tersebut kemudiannya akan dinilai oleh Unesco. Secara umumnya, pencalonan oleh Singapura sebelum ini telah mengambil masa sekitar setahun sebelum diluluskan.

Beberapa pengamal veteran Zapin yang menghadiri majlis pengumuman pada 24 September menyambut baik pencalonan tersebut.

Antaranya ialah juru tari legenda dan pengasas Sri Warisan Som Said Performing Arts, Cik Som Said, yang berkata pencalonan tersebut amat bertepatan dengan usaha karyawan dalam memartabatkan Zapin di Singapura dan peringkat antarabangsa selama berdekad lamanya.

“Saya amat teruja dengan langkah ini... kami sudah mengangkat nama Zapin menerusi festival antarabangsa dan membawa seni itu ke luar negara, supaya lebih ramai orang mengenali genre Zapin yang lain,” katanya, yang berusia 75 tahun.

Jika diluluskan, beliau berharap pencalonan tersebut dapat memperkasakan usaha mengukuhkan minat terhadap Zapin, serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk orang ramai menceburi seni itu.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti