Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tawaran, diskaun khas SG60 bagi tarikan pelancongan untuk rakyat S’pura, PR

Mar 6, 2025 | 8:02 PM
Tawaran dan diskaun menarik untuk rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) sempena ulang tahun ke-60 negara ini boleh digunakan bagi tarikan pelancongan domestik seperti Mandai Wildlife Reserve, yang akan melancarkan tawaran bagi seluruh taman-taman haiwannya, termasuk Rainforest Wild Asia (foto), dari Mei hingga Ogos.
Tawaran dan diskaun menarik untuk rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) sempena ulang tahun ke-60 negara ini boleh digunakan bagi tarikan pelancongan domestik seperti Mandai Wildlife Reserve, yang akan melancarkan tawaran bagi seluruh taman-taman haiwannya, termasuk Rainforest Wild Asia (foto), dari Mei hingga Ogos. - Foto fail

Rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) boleh menikmati promosi dan diskaun menarik bagi tarikan pelancongan domestik yang terpilih sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-60 negara ini, atau SG60, umum Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan.

Contohnya, Gardens by the Bay akan melancarkan Pas SG60 Wonder Blooms yang menawarkan lebih 60 peratus diskaun bagi lawatan tanpa had ke enam pameran bunga akan datang di Flower Dome.

Sementara itu, Mandai Wildlife Reserve akan melancarkan tawaran bagi seluruh taman-taman haiwannya dari Mei hingga Ogos.

Butiran lanjut mengenai tawaran tersebut boleh didapati di laman https://www.sg60.gov.sg/.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) telah bekerjasama dengan Persatuan Tempat-Tempat Daya Tarikan Singapura (ASA) bagi mengumpulkan tarikan tempatan seluruh negara bagi menyediakan tawaran istimewa itu buat rakyat Singapura dan PR sempena SG60.

Memberi maklumat lanjut tentang sektor pelancongan pada perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya di Parlimen pada 6 Mac, Encik Tan berkata STB bekerjasama dengan perusahaan pelancongan dan gaya hidup untuk mencari peluang pertumbuhan baru dan menarik bagi tempoh jangka panjang.

Singapura menjangkakan antara 17 juta dengan 18.5 juta pelancong antarabangsa pada 2025, yang membawa masuk hasil pelancongan dengan anggaran sekitar $29 bilion hingga $30.5 bilion.

Jangkaan itu lebih tinggi berbanding perangkaan yang dicatatkan pada 2024, di mana negara ini mengalu-alukan ketibaan 16.5 juta pelancong antarabangsa, dengan hasil pelancongan bagi tiga suku pertama tahun itu mencapai paras tertinggi dalam sejarah pada $22.4 bilion.

Pencapaian itu hasil tawaran pengalaman baru dan diperbaharui, seperti konsert bintang pop Amerika, Taylor Swift, dan band rok dari Britain, Coldplay; serta acara mesyuarat, insentif, persidangan, dan pameran (Mice), seperti Pertunjukan Udara Singapura dan acara Maritim Asia Pasifik.

“Kita mesti sentiasa menghubungkan dunia dengan Singapura, dan memastikan orang ramai, perniagaan dan perdagangan mengalir masuk dan keluar.

“Kami akan mengukuhkan kedudukan kita sebagai nod Global-Asia dunia dan terus menarik orang ramai ke bandar bertenaga kita, di mana pengalaman segar dan menarik menanti,” kata beliau.

Pelbagai acara dan tawaran menarik akan terus diadakan pada 2025 dalam usaha untuk terus menjadikan Singapura destinasi pelancongan yang menarik, tambah Encik Tan.

Antaranya, Singapura akan menjadi tuan rumah kepada beberapa konsert yang menampilkan bintang terkemuka, termasuk kumpulan K-pop, Babymonster, dan konsert solo pertama anggota kumpulan BTS, J-Hope.

Beberapa acara Mice juga akan dianjurkan, termasuk Forum Perniagaan Penerbangan Asia dan Forum Ekonomi Baru Bloomberg.

Negara ini turut menawarkan beberapa tarikan baru – seperti Rainforest Wild Asia, taman haiwan kelima Singapura di kawasan Mandai yang akan membuka pintunya secara rasmi pada 12 Mac; pusat peranginan Mandai Rainforest Resort oleh Banyan Tree, yang akan dibuka pada April; dan zon baru ‘Minion Land’ di Universal Studios Singapore (USS), yang dibuka pada 14 Februari lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg