Semasa menjalani hukuman penjara, Encik Mohammed Nabil Saeed, menemui makna baharu dalam hidupnya yang hadir tanpa diduga, bukan daripada pengalaman hukuman itu sendiri, tetapi melalui usahanya membantu orang lain.

Dipenjarakan tiga kali dalam tempoh tujuh tahun sejak berusia 18 tahun atas kesalahan berkaitan dadah, Encik Nabil, kini 33 tahun, menyedari ramai banduan sebenarnya bergelut untuk memahami dan menjelaskan kes mereka secara bertulis semasa berurusan dengan dokumen mahkamah.

Beliau kemudian mula membantu menulis dan menyusun surat serta borang berkenaan untuk rakan banduan lain.

“Saya memang ‘kepoh’ dan akan baca kertas mahkamah mereka, sudah tentu dengan izin mereka,” katanya dalam satu temu bual bersama Berita Harian (BH).

“Saya cuma nak faham bagaimana semuanya berfungsi,” jelasnya.

Akhirnya, minat itu menjadikan beliau sering diusik orang, malah dikenali sebagai “peguam pro bono” dalam penjara.

Malah kini, jenaka tersebut menjadi kenyataan apabila Encik Nabil berpeluang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), dengan sokongan biasiswa pendidikan untuk bekas pesalah yang dibiayai Persatuan Penjagaan Lanjut Singapura (Saca) dan Reben Kuning Singapura.

Di luar kerja dan pengajiannya, Encik Nabil merupakan seorang pemimpin rakan sebaya bersama Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana), dan turut menyampaikan ceramah jangkauan pencegahan di sekolah. Beliau juga sukarelawan dengan Projek Masyarakat Reben Kuning, di mana beliau bekerja bersama individu dalam proses pemulihan serta keluarga mereka.
Di luar kerja dan pengajiannya, Encik Nabil merupakan seorang pemimpin rakan sebaya bersama Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana), dan turut menyampaikan ceramah jangkauan pencegahan di sekolah. Beliau juga sukarelawan dengan Projek Masyarakat Reben Kuning, di mana beliau bekerja bersama individu dalam proses pemulihan serta keluarga mereka. - Foto ihsan MOHAMMED NABIL SAEED

Beliau juga bekerja sebagai pegawai eksekutif di Pro Bono SG dan menilai permohonan bantuan guaman daripada orang ramai.

Pro Bono SG ialah sebuah pertubuhan amal rasmi di Singapura, yang tertumpu pada penyediaan bantuan guaman percuma bagi anggota masyarakat yang memerlukan bantuan, yang rentan, dan yang tidak berkemampuan secara kewangan.

Biasiswa itu, antara lain, disokong menerusi acara futsal amal tahunan, Piala Ketua Hakim Negara, yang mengumpul dana bagi membantu bekas pesalah melanjutkan pelajaran dan membina semula kehidupan mereka.

Namun, perjalanan Encik Nabil bukan mudah.

Dengan pendidikan aliran Normal (Teknikal), beliau sejak awal percaya dirinya bukan seorang pelajar bijak.

Ketika ibu bapanya bercerai sewaktu beliau berusia 16 tahun, Encik Nabil mula terpengaruh dengan rakan-rakan yang terlibat dalam kumpulan samseng dan dadah.

Encik Nabil (barisan depan, tengah) dan rakan daripada pasukan futsal Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) menyertai kejohanan amal tahunan, Piala Ketua Hakim Negara 2025, yang menghimpunkan kakitangan guaman bagi mengumpul dana untuk Dana Reben Kuning (YRF) dan Persatuan Penjagaan Lanjut Singapura (Saca).
Encik Nabil (barisan depan, tengah) dan rakan daripada pasukan futsal Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) menyertai kejohanan amal tahunan, Piala Ketua Hakim Negara 2025, yang menghimpunkan kakitangan guaman bagi mengumpul dana untuk Dana Reben Kuning (YRF) dan Persatuan Penjagaan Lanjut Singapura (Saca). - Foto ihsan MOHAMMED NABIL SAEED

Apa yang bermula sebagai rasa ingin tahu akhirnya membawa kepada ketagihan dan jenayah.

Kali pertama beliau ditangkap adalah pada usianya 18 tahun selepas pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) menyerbu rumahnya menyusuli satu kejadian jual beli dadah.

Walaupun berjaya menamatkan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ ketika menjalani hukuman penjara pertama, beliau kembali terjebak dengan dadah selepas dibebaskan dan dipenjarakan dua kali lagi.

Perubahan mula berlaku sewaktu hukuman penjara ketiganya, apabila beliau bertekad menggunakan masanya dengan lebih baik.

Beliau kembali belajar dan menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘A’, dan meraih beberapa gred A dan B.

“Ada banyak keraguan dalam diri. Tapi kalau tidak cuba, jawapannya memang tidak, jadi saya cuba saja,” katanya.

Selepas dibebaskan, beliau turut berdepan stigma di tempat kerja apabila rakan sekerja berhati-hati dengan masa lalunya.

Lantas, beliau memilih untuk terus melangkah ke hadapan.

Melalui tugasnya di Pro Bono SG, beliau kini membantu individu yang pernah berada dalam keadaan seperti dirinya dahulu.

“Saya pernah berada di tempat mereka, tidak tahu hendak pergi ke mana, hendak bertanya kepada siapa. Jadi dapat membantu golongan sebegini sekarang sangat bermakna bagi saya,” katanya.

Beliau berharap suatu hari nanti, dirinya dapat bergelar peguam dan membantu mereka yang memerlukan pembelaan.