Topik diikuti
Pergi ke BHkuTekad tegar dokumentasi sejarah Melayu di Ubin
Usaha memelihara warisan Melayu di Pulau Ubin sedang giat dijalankan, termasuk projek Rumah 6J, yang ingin mengubah sebuah rumah kampung menjadi muzium masyarakat dan ruang pendidikan. Peneraju projek tersebut, Encik Nor Syazwan Abdul Majid memberitahu BM mengapa beliau sedang berlumba dengan masa untuk mendokumentasikan seberapa banyak yang termampu kisah-kisah bekas penduduk Ubin.
Apabila segmen laungan azan dalam lawatan warisan Pulau Ubin kendaliannya mengundang kritikan awal tahun ini, Encik Nor Syazwan Abdul Majid boleh sahaja memilih untuk menghentikannya.
Namun, lelaki berusia 29 tahun itu memilih untuk meneruskan kegiatan lawatan warisan ke Pulau Ubin secara keseluruhannya.
Lebih dikenali sebagai Wan, beliau yang berketurunan orang Melayu yang berasal dari Pulau Ubin percaya perbualan yang sukar tidak seharusnya menghalang masyarakat daripada berkongsi budaya masing-masing, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Singapura.
“Kalau setiap kali orang suruh kita hentikan kita terus hentikan... hilang cara kita pertahankan kisah-kisah dan adat kita semua,” katanya.
Menurut laporan Berita Harian pada 21 Mei lalu, segmen laungan azan dalam Lawatan Warisan Kampung Melayu kendalian Encik Wan mendapat perhatian selepas beliau berkongsi bahawa satu aduan pernah dibuat kepada Lembaga Taman Negara (NParks) mengenainya pada 2024.
Namun, beberapa peserta lawatan, termasuk mereka yang bukan beragama Islam, tampil mempertahankan segmen tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian pengalaman budaya dan sejarah.
Menyusuli itu, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, berkata orang ramai tidak perlu berasa bimbang terhadap segmen itu kerana ia merupakan sebahagian daripada penyampaian sejarah dan budaya warisan Melayu-Islam Singapura, menurut laporan Berita Harian.
Bagi Encik Wan, sokongan dari pelbagai pihak itu begitu memberangsangkan dan menguatkan kepercayaannya bahawa masyarakat perlu terus diberikan ruang untuk berasa selamat dan bangga berkongsi warisan mereka supaya dapat saling mengenali dan memahami.
“Tak kenal maka tak cinta,” katanya.
Bagi Encik Wan, usaha memelihara warisan Pulau Ubin turut merangkumi perjuangan memelihara warisan keluarganya
Minatnya terhadap pulau itu bermula daripada ibunya, yang pernah menetap di Pulau Ubin dan sering berkongsi kisah kehidupan kampung, adat serta budaya masyarakat Melayu di sana.
Menurut laporan Berita Harian pada 2024, ibu Encik Wan sering membawanya ke Pulau Ubin ketika beliau masih kecil, memperkenalkannya kepada penduduk kampung dan cuba menunjukkan tapak bekas rumah keluarga mereka.
Pada lawatan pertamanya ke pulau itu pada 2004, ketika berusia lapan tahun, usaha mencari tapak rumah tersebut tidak berhasil kerana kawasan berkenaan sudah ditumbuhi hutan belukar.
Encik Wan masih mengingati wajah sedih ibunya ketika itu.
Walaupun masih kecil, pengalaman tersebut menanam satu hasrat dalam dirinya untuk membantu mencari semula tapak rumah berkenaan apabila dewasa.
Hajat itu akhirnya tercapai pada 2018 ketika Encik Wan, yang pada ketika itu berusia 20-an tahun, menemui tapak rumah yang dicari-cari.
Daripada pencarian sebuah rumah, minatnya berkembang kepada persoalan yang lebih besar, sejauh manakah sebenarnya kawasan perkampungan Melayu yang pernah wujud di Pulau Ubin?
Beliau mula bertanya kepada bekas penduduk dan secara tidak formal mendokumentasikan tapak rumah Melayu di sana.
Pada tahun sama, Encik Wan mendapat tahu tentang satu panggilan terbuka NParks bagi cadangan penggunaan rumah kampung yang dikenal pasti untuk dipulihara bagi kegunaan masyarakat.
Menurut laman Wan’s Ubin Journal, Rumah 6J di Kampung Sungei Durian merupakan antara rumah kampung yang dikenal pasti untuk usaha tersebut. Ia merupakan antara lima rumah kampung yang dikenal pasti untuk dipulihara bagi kegunaan masyarakat di bawah program NParks, dengan kos pembinaan dibiayai pemerintah.
Pada 2023, Encik Wan mula menggerakkan projek Ambin Ubin dengan membuka panggilan bagi sukarelawan, termasuk golongan muda dalam bidang seni bina dan penyelidikan.
Daripada menentukan sendiri bentuk ruang tersebut, pasukan Ambin Ubin melakukan lawatan rumah dan bengkel kajian partisipatif bersama bekas penduduk Melayu Pulau Ubin bagi memahami aspirasi mereka.
Maklum balas itu kemudian dirumuskan kepada tiga ruang utama untuk diusahakan, iaitu muzium masyarakat, pendidikan dan musolah.
Ruang galeri itu diharap dapat memaparkan foto serta kisah yang disumbangkan bekas penduduk, sementara bilik kegiatan boleh digunakan pendidik untuk membawa pelajar belajar dalam suasana kampung dan alam semula jadi. Musolah pula diharap dapat menyediakan ruang solat bagi pengunjung.
Projek tersebut kini berada pada peringkat mendapatkan khidmat perunding dan Encik Wan menjangkakan pembinaan Rumah 6J sebagai Ambin Ubin mungkin hanya dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Encik Wan akur perkembangan fizikal projek tersebut “agak lembab” dan tidak sepantas yang diharapkannya.
Namun, beliau percaya projek itu tidak perlu menunggu bangunan siap untuk mula membina masyarakat.
Pada April 2026, projek itu menghimpunkan sekitar 400 bekas penduduk Pulau Ubin dan anggota keluarga mereka bagi sambutan Hari Raya di Changi Civil Service Club.
Acara tersebut turut memberi ruang kepada keturunan Orang Pulau mengetengahkan bakat melalui persembahan Melayu.
“Silaturahim yang lama telah terputus pun akhirnya tercantum kembali,” kata Encik Wan.
Semangat yang sama turut dibawa ke rumah terbuka ulang tahun Ambin Ubin yang ketiga pada tanggal 1 Ogos lalu.
Melalui permainan kampung, makanan Melayu, persembahan budaya dan bengkel menganyam ketupat, acara tersebut menjadi semacam tapak percubaan bagi pengalaman yang Wan mahu wujudkan kelak di Rumah 6J.
“Apa yang kita lihat hari ini merupakan gambaran tentang apa yang kami harapkan bagi Ambin Ubin kelak,” katanya.
Beliau kini berharap dapat bekerjasama dengan universiti dan pelajar menerusi Projek Pemetaan Kampung Melayu Ambin Ubin bagi mendokumentasikan lokasi rumah-rumah Melayu yang pernah berdiri di pulau tersebut.
Namun, beliau kini berlumba dengan masa untuk merealisasikan projeknya. Setiap kali seorang lagi perintis Pulau Ubin meninggal dunia, sebahagian kisah kehidupan pulau itu turut terkubur bersama mereka.
Apabila ditanya, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, beliau berpendapat bahawa generasi yang pernah dilahirkan, membesar, berkeluarga dan menjalani kehidupan di kampung Pulau Ubin mungkin sudah tiada.
“Kalau kita tidak mendokumentasikan kisah-kisah ini selagi mereka masih ada... generasi akan datang akan menyangka Pulau Ubin sekadar tanah berhutan sahaja.
Tetapi hakikatnya, ia pernah menempatkan kampung Melayu masyarakat Orang Pulau di Singapura yang masih belum hilang ditelan zaman.” kata Encik Wan.

