Tekad tinggalkan masa silam, manfaat peluang kedua buat keluarga bahagia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tekad tinggalkan masa silam, manfaat peluang kedua buat keluarga bahagia

Feb 15, 2026 | 11:31 AM

Tekad tinggalkan masa silam, manfaat peluang kedua buat keluarga bahagia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Mohammad Farhan Mohammad Amin, ramadan, banduan, hidup baru
Encik Mohammad Farhan Mohammad Amin bertekad menebus masa silam selepas keluar masuk penjara sejak remaja. Kini, beliau menumpukan tenaga untuk membina kehidupan baru, mencari rezeki halal sebagai pemandu kren dan menghargai peluang meraikan Ramadan bersama keluarga. - Foto BM oleh KHALID BABA

Selepas keluar masuk penjara sejak usianya 16 tahun atas pelbagai kesalahan, kali ini Encik Mohammad Farhan Mohammad Amin berjaya berada di luar penjara untuk tempoh paling lama, dan bertekad memastikan peluang itu tidak disia-siakan.

Bagi Encik Farhan, 42 tahun, titik perubahan bermula apabila beliau melihat kedua-dua ibu bapanya semakin meningkat usia, lalu menguatkan azam untuk memikul tanggungjawab dan membina kehidupan yang lebih baik untuk diri serta keluarganya.

“Kali terakhir saya berada di ‘dalam’, ibu saya tidak lagi menjenguk saya seperti sebelumnya. Hanya bapa saya yang datang.

“Dan ketika itu, saya perhatikan raut wajahnya yang sudah dimamah usia, dan itu memberi saya kesedaran bahawa saya harus berubah,” kata Encik Farhan, yang kini bekerja sebagai pemandu kren.

Pengalaman jatuh bangun yang panjang membuat Encik Farhan melihat kebebasan bukan sekadar berada di luar penjara, namun sebagai amanah yang perlu dijaga setiap hari.

“Saya tidak salahkan ibu bapa. Mereka mendidik saya dengan baik, tetapi kesalahan datang daripada diri saya sendiri dan salah bercampur kawan,” ujarnya.

Sejak remaja, Encik Farhan bergelut dengan ketagihan dadah dan kerap keluar masuk penjara atas kesalahan itu serta beberapa kesalahan lain.

Beliau mengakui pernah cuba berubah sebelum ini, namun hakikatnya belum benar-benar bersedia.

“Dulu saya pernah cuba berubah, namun minda masih terikat dengan tabiat lama,” kata Encik Farhan, yang mengaku niat untuk berubah ada, namun mudah goyah apabila berdepan dengan persekitaran dan pengaruh lama.

Apa yang berbeza kali ini ialah kejelasan hati dan hala tuju hidup.

“Saya mahukan kestabilan, ketenangan dan maruah diri,” ujar Encik Farhan dengan azam dan tekad ia bukan hanya untuk dirinya sendiri, malah demi keluarga yang tidak pernah berhenti mendoakan dan menyokongnya.

Selepas dibebaskan pada 2024, janji pertama yang dibuat kepada diri sendiri ialah untuk kekal ‘bersih’, terus bebas dan membina semula kehidupan secara jujur.

Bagi Encik Farhan, yang pernah gagal dalam perkahwinan sebanyak dua kali, perubahan tidak berlaku melalui ungkapan kata-kata, namun melalui rutin kecil yang konsisten.

Kini beliau mengamalkan rutin bangun awal setiap hari, hadir bekerja dengan penuh tanggungjawab dan menjauhkan diri daripada persekitaran negatif.

Perjalanan kerjayanya sebagai pemandu kren bermula dengan dorongan seorang sahabat, yang bukan sahaja memberi motivasi, malah membuka ruang peluang untuk Encik Farhan membuktikan dirinya.

“Saya mula percaya pada diri sendiri semula,” katanya, yang kini sudah bertunang dan merancang berumah tangga pada hujung 2026.

Mencari rezeki yang halal kini memberi makna yang sangat mendalam buatnya.

“Rezeki yang halal membuatkan saya lebih bermaruah dan memberi saya keyakinan.

“Setiap gaji yang diperoleh melalui usaha yang jujur terasa berbeza – lebih bermakna dan menenangkan,” terang Encik Farhan, bangga dapat menyara diri serta membantu keluarga dengan hasil titik peluh sendiri.

Selain itu, Encik Farhan terlibat dalam pelbagai kerja sukarelawan, dan berlapang dada untuk memberi semula kepada masyarakat.

“Kini, saya rasa lebih tenang dan harap dapat berterusan begini,” tambahnya.

Ramadan kali ini membawa makna yang sangat istimewa buat Encik Farhan.

Jika dahulu Ramadan terasa mencabar kerana keadaan hidup dan kekusutan diri, kini ia menjadi ruang muhasabah dan kesyukuran.

“Ramadan tahun ini (2026) adalah satu peringatan tentang rahmat dan peluang kedua,” katanya, yang juga mengakui tidak banyak peluang beraya bersama keluarga pada masa lalu.

Justeru, diberi peluang berbuka puasa dan menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang kini dianggap sebagai nikmat yang besar.

Rezeki yang halal membuatkan saya lebih bermaruah dan memberi saya keyakinan. Setiap gaji yang diperoleh melalui usaha yang jujur terasa berbeza – lebih bermakna dan menenangkan. ... Ramadan tahun ini (2026) adalah satu peringatan tentang rahmat dan peluang kedua.
Encik Mohammad Farhan Mohammad Amin, pemandu kren.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg