Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeknisyen farmasi galas cabaran pimpin projek, raih anugerah cemerlang
Teknisyen farmasi galas cabaran pimpin projek, raih anugerah cemerlang
Teknisyen farmasi galas cabaran pimpin projek, raih anugerah cemerlang
Sebagai Teknisyen Farmasi Kanan yang lebih selesa bekerja di belakang tabir, Cik Raziana Bibi Abdul Rasheed, 30 tahun, pada mulanya bergelut untuk meningkatkan komunikasi dan interaksi ketika memimpin projek, PharmFast.
Projek PharmFast, adalah daya usaha yang beliau jalankan pada 2024, dengan tujuan menyelaraskan penghantaran bekalan ubat ke beberapa rumah jagaan.
Justeru, beliau memberanikan diri melangkah keluar dari zon selesa bagi menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai rakan kongsi, termasuk pembekal dan pihak rumah jagaan.
Anak kedua dalam keluarga tiga beradik itu berkata:
“Saya sememangnya seorang yang agak pendiam, seorang introvert sebenar.
“Sebagai seseorang yang lebih pendiam dan bersifat introvert, ada kalanya saya berasa kurang selesa untuk bersuara, memimpin perbincangan atau bercakap kepada sekumpulan orang.”
Sebagai seorang yang pendiam dan tugasnya tertumpu pada penyelarasan bekalan ubat, Cik Raziana menyedari beliau perlu meningkatkan keyakinan diri demi melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang.
Titik dorongan dalam membangunkan keyakinan itu bermula apabila beliau mengambil Diploma Lanjutan dalam Sains Farmaseutikal di Politeknik Nanyang (NYP) secara sambilan selama 18 bulan mulai 2024.
“Apabila saya sambung pengajian, antara rintangan yang perlu saya atasi ialah keyakinan diri saya.
“Namun, dalam pengajian Diploma Lanjutan ini, saya berpeluang bertemu ramai orang daripada hospital lain dan pelbagai farmasi.
“Sedikit sebanyak, pengalaman itu benar-benar membantu saya membina keyakinan untuk berkomunikasi dengan individu yang saya tidak begitu kenali,” tambah beliau.
Kemahiran dan pengalaman yang diraih itu secara tidak langsung membantu beliau mengemudi projek PharmFast, yang dilaksanakan seiringan dengan pengajiannya.
Idea PharmFast – iaitu satu-satunya sistem penyelenggaraan farmasi hospital bagi penghantaran ubat ke rumah jagaan – berputik hasil pengamatan Cik Raziana mengenai kelancaran pembekalan ubat yang ‘sedikit bermasalah’.
“Saya perhatikan terdapat cabaran dan ketidaklancaran dalam proses operasi membekalkan ubat-ubatan ke rumah jagaan.
“Jadi, saya lihat ada peluang untuk penambahbaikan dan saya mula bangkitkan cadangan idea, PharmFast, yang menghubungkan kerjasama antara pembekal runcit dengan rumah tumpangan bagi penghantaran yang lebih cekap dan lancar,” kongsi beliau.
Kemuncak perjalanan akademiknya tiba pada 4 Mei lalu, apabila Cik Raziana dirai sebagai salah seorang daripada 600 lulusan di majlis penyampaian diploma NYP.
Pencapaian itu menyusuli diploma pertamanya dalam bidang sama, yang diraih di Politeknik Temasek (TP) pada 2016.
Mengangkat semangat cintakan ilmu walau sibuk dengan kerjaya sepenuh masa, Cik Raziana diberi penghormatan sebagai penerima sulung Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat NYP-SkillsFuture (NYP-SFLLA).
Anugerah itu mengiktiraf pelajar dewasa yang menunjukkan iltizam jitu terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
Kini, beliau yang berkhidmat di Farmasi Hospital Besar Changi sejak 2019, menggunakan keyakinan diri yang digilap melalui pengajiannya dengan membimbing pasukan serta menjadi mentor kepada para pelatih.
“Melalui pengajian dan latihan yang saya lalui, saya sedar keyakinan tidak semestinya bermaksud berasa selesa sepenuhnya.
“Kadangkala, keyakinan hanya tentang kesediaan untuk tampil ke hadapan walaupun berasa tidak selesa, kerana kita tahu tanggungjawab itu penting.
“Saya belajar bahawa menjadi seorang yang pendiam tidak bermakna kita tidak boleh memimpin, berkomunikasi atau memberi kesan,” jelas Cik Raziana.
