Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeknisyen farmasi pendiam galas cabaran pimpin projek, raih anugerah cemerlang
Teknisyen farmasi pendiam galas cabaran pimpin projek, raih anugerah cemerlang
Teknisyen farmasi pendiam galas cabaran pimpin projek, raih anugerah cemerlang
Sebagai Teknisyen Farmasi Kanan yang lebih selesa bekerja di belakang tabir, Cik Raziana Bibi Abdul Rasheed, 30 tahun, pada mulanya bergelut untuk memperkasakan komunikasi dan interaksi ketika memimpin projek PharmFast.
Projek PharmFast, inisiatif yang beliau jalankan pada 2024, bertujuan menyelaraskan penghantaran bekalan ubat ke beberapa rumah jagaan.
Justeru, beliau beranikan diri melangkah keluar daripada zon selesa demi menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai rakan kongsi, termasuk pembekal dan pihak rumah jagaan.
Anak kedua dalam keluarga tiga beradik itu berkata:
“Saya sememangnya seorang yang agak pendiam, seorang introvert sebenar.
“Sebagai seseorang yang lebih pendiam dan bersifat introvert, ada kalanya untuk bersuara, memimpin perbincangan atau bercakap kepada sekumpulan orang terasa kurang selesa.”
Sebagai seorang yang pendiam dan tugasnya tertumpu kepada koordinasi bekalan ubat, Cik Raziana menyedari beliau perlu meningkatkan keyakinan diri demi melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang.
Titik dorongan dalam membangunkan keyakinan itu bermula apabila beliau mengambil Diploma Lanjutan dalam Sains Farmaseutikal di Politeknik Nanyang (NYP) secara separuh masa selama 18 bulan, sejak 2024.
“Apabila saya sambung pengajian, antara rintangan yang perlu saya atasi ialah keyakinan diri saya.
“Namun, dalam pengajian Diploma Lanjutan ini, saya berpeluang bertemu ramai orang daripada hospital lain dan pelbagai farmasi.
“Sedikit sebanyak, pengalaman itu benar-benar membantu saya membina keyakinan untuk berkomunikasi dengan individu yang saya tidak begitu kenali,” tambah beliau.
Kemahiran dan pengalaman yang diraih ini secara tidak langsung membantu beliau mengemudi projek PharmFast, yang dilaksanakan seiringan dengan pengajiannya.
Idea PharmFast, iaitu satu-satunya sistem penyelenggaraan farmasi hospital bagi penghantaran ubat ke rumah jagaan, berpucuk daripada pemerhatian Cik Raziana mengenai kelancaran pembekalan ubat yang sedikit bermasalah.
“Saya perhatikan terdapat cabaran dan ketidaklancaran dalam proses operasi membekalkan ubat-ubatan kepada rumah jagaan.
“Jadi, saya lihat ada peluang untuk penambahbaikan dan saya mula bangkitkan cadangan idea PharmFast yang menghubungkan kerjasama antara pembekal runcit dan rumah tumpangan bagi penghantaran yang lebih cekap dan lancar,” kongsi beliau.
Kemuncak perjalanan akademiknya tiba pada 4 Mei lalu, di mana Cik Raziana diraikan sebagai salah seorang daripada 600 graduan di majlis graduasi NYP. Pencapaian ini menyusuli diploma pertamanya dalam bidang yang sama, yang telah diraih di Politeknik Temasek (TP) pada tahun 2016.
Mengangkat semangat cintakan ilmu walaupun berkerjaya sepenuh masa, Cik Raziana diberi penghormatan sebagai penerima sulung Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat NYP-SkillsFuture (NYP-SFLLA).
Anugerah ini mengiktiraf pelajar dewasa yang telah menunjukkan komitmen jitu terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
Kini, beliau yang berkhidmat di Farmasi Hospital Besar Changi sejak 2019, menggunakan keyakinan diri yang digilap melalui pengajiannya untuk membimbing pasukan serta menjadi mentor kepada para pelatih (intern).
“Melalui pengajian dan latihan yang saya lalui, saya sedar bahawa keyakinan tidak semestinya bermaksud berasa selesa sepenuhnya.
“Kadang kala, keyakinan hanyalah tentang kesediaan untuk tampil ke hadapan walaupun berasa tidak selesa, kerana kita tahu tanggungjawab itu penting.
“Saya telah belajar bahawa menjadi seorang yang pendiam tidak bermakna kita tidak boleh memimpin, berkomunikasi atau memberi impak,” jelas Cik Raziana.

