Pemerintah tidak menjangkakan industri kenderaan berautonomi (AV) yang kian berkembang akan memberi kesan serta-merta ke atas mata pencarian pemandu teksi dan kereta sewa privet (PHV), kata Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng.

Ini memandangkan jumlah AV yang akan dikerahkan masih kecil, kira-kira beberapa ratus sahaja menjelang akhir 2028, berbanding 72,000 pemandu teksi dan kereta sewa privet yang ada pada masa kini.

Berucap di Parlimen pada 7 Oktober, Encik Baey berkata sebahagian besar perkhidmatan pengangkutan dari tempat ke tempat (P2P) akan terus dikendalikan oleh pemandu manusia.

“Teknologi baharu akan mewujudkan pekerjaan yang baik serta peluang baharu buat rakyat Singapura.

“Pemandu teksi dan kereta sewa privet yang menjadikan pekerjaan memandu sebagai sumber mata pencarian, merupakan keutamaan kami dalam peralihan ini,” ujar Encik Baey.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara-Perkara Berkaitan di Parlimen pada 7 Oktober.

Seramai 24 Anggota Parlimen (AP) dan AP Dilantik (NMP) bangkit untuk mengajukan soalan berkenaan rang undang-undang tersebut.

Semasa perbahasan itu, AP Pekerja, Cik Yeo Wan Ling (GRC Punggol), dan Encik Melvin Yong (Radin Mas), turut menyentuh mengenai kesan pengerahan teknologi baharu itu terhadap para pekerja.

Cik Yeo meluahkan rasa bimbang terhadap masa depan pemandu teksi dan PHV apabila pengerahan AV berkembang secara komersial.

Beliau berkata bidang pemanduan merupakan “penampan pekerjaan” yang amat penting bagi rakyat Singapura yang kehilangan kerja atau memerlukan waktu kerja fleksibel.

Sementara itu, Encik Yong menggesa pemerintah agar memastikan peralihan teknologi disertakan dengan petunjuk hasil peralihan yang jelas dan terukur.

“Peranan baharu yang muncul, seperti penyelia keselamatan, pemantauan jarak jauh dan pengurusan armada, bukan sahaja perlu dinilai dari segi jumlah pekerjaan yang diwujudkan.

“Yang lebih penting ialah sama ada pekerjaan itu menawarkan gaji yang mampan, kemahiran yang relevan dan peluang kemajuan kerjaya yang bermakna,” katanya.

Menjawab kebimbangan tersebut, Encik Baey menjelaskan bahawa jumlah AV yang bakal dikerahkan masih amat kecil.

Beliau juga tidak menjangkakan industri AV yang kian berkembang akan memberi kesan serta-merta ke atas mata pencarian pemandu teksi dan PHV.

“Bagi industri AV yang sedang berkembang, peranannya merangkumi pelbagai bidang, daripada pemandu keselamatan dan pengendali jarak jauh, hinggalah kepada pembangun perisian dan jurutera keselamatan siber,” jelas Encik Baey.

Bagi menyokong pemandu yang berminat meneroka peluang baharu, Encik Baey berkata pemerintah telah menyediakan beberapa sokongan.

Ini termasuk kursus fleksibel, Program Penukaran Kerjaya (CCP), insentif latihan, dan sokongan gaji hingga 90 peratus dengan kerjasama rakan industri dan kesatuan sekerja.

Menyentuh tentang pekerja penghantaran dan pembersihan, Encik Baey berkata pemerintah tidak menjangkakan kesan ketara dalam jangka masa terdekat hingga sederhana.

Namun, beliau menegaskan bahawa pemerintah akan terus memantau perkembangan industri serta potensi kesannya terhadap pekerja.

“Sektor pembersihan menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja yang berterusan, namun penggunaan robot mudah alih berautonomi yang digunakan di laluan awam (AVPP) masih pada skala kecil pada masa ini.

“Faktor seperti kesediaan teknologi, daya maju kos, dan keupayaan untuk bersepadu dengan prasarana sedia ada akan mempengaruhi tahap penggunaannya,” ujarnya.

Semasa ucapan pembukaannya, Encik Baey mengumumkan pelanjutan tempoh ruang ujian kawal selia (sandbox) sedia ada bagi AV di jalan raya sehingga akhir 2028.

Akta AV yang lebih menyeluruh juga bakal digubal dalam tempoh setahun akan datang untuk mengawal selia AV yang digunakan di jalan raya.

Beliau turut memperkenalkan sandbox baharu di bawah Akta Mobiliti Aktif bagi memperkemas proses kawal selia.

Ia juga bagi memudahkan peningkatan skala secara berperingkat bagi AVPP.