Topik diikuti
Pergi ke BHkuDenda lebih tinggi bagi penyedia khidmat pengangkutan rentas sempadan tanpa lesen
Baey Yam Keng: Pemerintah tidak tolak kemungkinan pengguna khidmat dikenakan tindakan pada masa depan
Denda lebih tinggi bagi penyedia khidmat pengangkutan rentas sempadan tanpa lesen
Pemerintah tidak menolak kemungkinan mengenakan hukuman ke atas penumpang yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) haram.
Ini meskipun tumpuan utama pemerintah adalah untuk membanteras perkhidmatan sedemikian dengan memperketat undang-undang terhadap penyedia khidmat tersebut.
“Pengguna tidak seharusnya menggunakan perkhidmatan ini kerana ia sering kali tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Buat masa ini, kami belum lagi memperkenalkan penalti khusus terhadap pengguna bagi penggunaan perkhidmatan P2P haram. Namun, kami mungkin berbuat demikian pada masa hadapan,” kata Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan di Parlimen pada 7 Oktober.
Seramai 24 Anggota Parlimen (AP) dan AP Dilantik (NMP) bangkit untuk mengajukan soalan berkenaan rang undang-undang tersebut.
Undang-undang baharu yang diluluskan itu, antara lain, menaikkan denda maksimum bagi penyedia perkhidmatan sedemikian daripada $3,000 kepada $10,000.
Ia turut melarang penerbitan dan promosi iklan perkhidmatan P2P tanpa lesen, serta memanjangkan tempoh sitaan bagi kenderaan yang dirampas.
Langkah-langkah baharu itu adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh pemerintah untuk memperketat penguatkuasaan terhadap perkhidmatan pengangkutan tidak berlesen.
Ia demi melindungi keselamatan awam serta memelihara mata pencarian pemandu berlesen yang sah, tambah Encik Baey.
“Perkhidmatan sedemikian menimbulkan risiko keselamatan kepada penumpang dan menjejas mata pencarian pemandu P2P yang berlesen,” kata Encik Baey.
“Oleh itu, kami akan memperkukuh langkah pencegahan dan meningkatkan keupayaan kami untuk menguatkuasakan tindakan terhadap perkhidmatan haram seumpama itu.”
Di bawah undang-undang baharu itu, perbuatan menyiarkan, memajukan atau berkongsi iklan perkhidmatan P2P tidak berlesen menerusi aplikasi mesej dalam talian dan wadah media sosial turut dijadikan satu kesalahan jenayah baharu.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) juga akan diberi kuasa undang-undang untuk mengarahkan pengiklan menurunkan iklan itu serta menghendaki pengendali platform menyerahkan maklumat terperinci mengenai pengiklan terbabit.
Menyentuh mengenai operasi penguatkuasaan terkini, Encik Baey mendedahkan bahawa LTA telah memperkemas operasi dan berjaya menyita kira-kira 240 kenderaan yang menyediakan perkhidmatan P2P tidak berlesen sejak Julai 2025.
Namun demikian, beliau menyatakan bahawa proses siasatan yang rumit terhadap kes sebegitu memakan masa antara tiga dengan empat bulan.
Justeru, beliau berkata undang-undang baharu tersebut membolehkan pemerintah melanjutkan tempoh penahanan mandatori bagi kenderaan yang disita daripada sebulan kepada tiga bulan.
Perubahan itu membolehkan LTA mempunyai ruang dan masa yang mencukupi untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta membina kes pendakwaan yang kukuh dan lengkap sebelum mengemukakannya ke mahkamah.
Selain langkah penguatkuasaan yang dipertingkat terhadap perkhidmatan pengangkutan P2P tidak berlesen, undang-undang baharu itu turut menyaksikan perubahan kepada beberapa perkara lain.
Ia termasuk langkah untuk membendung penggunaan kenderaan dinyahdaftar daripada terus digunakan di jalan raya dan memperketat kawalan jualan dalam talian dan keselamatan bateri Alat Mobiliti Aktif (AMD).
Di samping itu, ia turut memperkemas proses kawal selia dan memudahkan peningkatan skala secara berperingkat bagi robot mudah alih berautonomi yang dikerahkan di laluan awam (AVPP) serta mempermudah peraturan pengecas kenderaan elektrik (EV) di rumah privet.