Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeknologi dorong Kopi Kenangan kembang di 7 negara
Manfaat data fahami cita rasa pelanggan, tingkat kecekapan operasi
Teknologi dorong Kopi Kenangan kembang di 7 negara
Sejak memasuki pasaran Singapura pada September 2023, Kopi Kenangan berjaya menarik pelanggan tempatan menerusi minuman popularnya, Kenangan Latte.
Namun, di sebalik secawan kopi itu, jenama yang berasal dari Indonesia tersebut turut memanfaatkan teknologi dan analisis data bagi memahami cita rasa pelanggan, menawarkan promosi bersesuaian serta meningkatkan kecekapan operasi.
Pendekatan itu antara faktor yang membantu Kopi Kenangan berkembang daripada sebuah cawangan di Indonesia pada 2017, kepada sekitar 1,600 cawangan di tujuh negara di bawah jenama Kenangan Coffee, termasuk Singapura, Malaysia, Australia, India, Filipina dan Taiwan.
Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Kenangan, Encik Edward Tirtanata, berkata beliau sejak awal lagi bercita-cita membawa kopi Indonesia ke pasaran antarabangsa.
“Apabila saya mula menubuhkan Kopi Kenangan, cita-cita saya sentiasa untuk mengeksport kopi Indonesia, bukan sekadar sebagai komoditi, tetapi sebagai sebuah jenama,” katanya.
Dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM) semasa acara Forbes Global CEO Conference, beliau berkata antara kunci kejayaan syarikat adalah menawarkan kopi bermutu tinggi pada harga berpatutan, selain memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.
“Pada akhirnya, setiap kedai kopi menggunakan bahan yang sama, iaitu kopi, susu dan gula atau sirap.
“Namun, apabila perniagaan mempunyai skala operasi yang besar, kita boleh menawarkan bahan bermutu lebih tinggi pada harga lebih rendah. Itulah yang kami cuba lakukan,” katanya.
Menurut Encik Edward, teknologi turut memainkan peranan penting dalam membina kesetiaan pelanggan.
Menerusi aplikasi mudah alih Kopi Kenangan/Kenangan Coffee, pelanggan boleh mengumpul mata ganjaran dan menerima promosi berdasarkan pilihan minuman mereka.
“Ukuran utama yang kami pantau ialah kekerapan pelanggan membuat pembelian setiap bulan.
“Jika seseorang kerap membeli kopi tertentu, kami boleh menggunakan data itu untuk menawarkan produk dan promosi yang relevan,” jelasnya.
Selain aplikasi pelanggan, Kopi Kenangan turut membangunkan sistem pengurusan dalaman dikenali sebagai Jarvin, yang membantu mengurus pesanan bekalan, jadual pekerja dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Sistem itu membolehkan syarikat menyelaraskan operasi merentas rangkaian cawangannya yang semakin berkembang.
Namun, meskipun mempunyai rangkaian luas, Kopi Kenangan tidak mengamalkan pendekatan menawarkan rasa kopi yang sama di setiap negara.
Sebaliknya, syarikat menjalankan penyelidikan, termasuk perbincangan kumpulan fokus, atau focus group discussion (FGD), bagi memahami cita rasa pengguna tempatan sebelum memasuki pasaran baharu.
“Di Singapura, kami menjalankan tiga pusingan perbincangan kumpulan fokus untuk menguji resipi, tahap kemanisan dan tahap pemanggangan kopi.
“Menariknya, pelanggan Singapura lebih menggemari kopi Arabica dengan dua shot espresso,” katanya.
Walaupun menyesuaikan rasa mengikut pasaran, syarikat itu tetap mengekalkan identiti Indonesia dengan menggunakan biji kopi dari negara tersebut.
Kopi Kenangan turut memanfaatkan trend pengguna bagi memperkenalkan perisa baharu seperti matcha, pistasio dan ubi keledek ungu, yang dilancarkan di Singapura, Malaysia dan Indonesia.
“Namun, dengan rangkaian pengedaran yang kami miliki, kami boleh menawarkan apa yang sedang popular di TikTok dan Instagram kepada pelanggan,” katanya.
Bagi Encik Edward, Singapura juga mempunyai kepentingan strategik sebagai batu loncatan untuk jenama makanan dan minuman (F&B) yang bercita-cita berkembang ke pasaran Asia Tenggara.
“Banyak jenama berminat dengan Singapura, kerana apa yang berjaya di sini boleh menjadi batu loncatan ke negara Asean lain.
“Ramai pengunjung dari Malaysia, Filipina dan Vietnam datang ke Singapura. Jika jenama anda sudah dikenali di sini, ia membantu membina pengiktirafan apabila memasuki pasaran lain,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata kejayaan sesebuah jenama tidak bermakna syarikat perlu membuka cawangan secara agresif.
Di Singapura, kadar sewa yang tinggi kekal sebagai cabaran utama meskipun cawangan sedia ada mencatat keuntungan.
“Cawangan Kenangan Coffee yang sedia ada di Singapura menguntungkan dan memberikan pulangan yang baik. Tetapi untuk terus berkembang, itu masih menjadi tanda tanya bagi kami.
“Ini kerana sukar mendapatkan lokasi yang sesuai dengan kadar sewa berpatutan,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan pengusaha F&B tempatan supaya memanfaatkan teknologi, khususnya untuk memperkukuh operasi dalaman.
“Dengan adanya kecerdasan buatan (AI), banyak teknologi seperti penjadualan pekerja dan senarai semak SOP kini boleh dilanggan dalam talian.
“Yang penting, pemilik perniagaan perlu terbuka menerima teknologi baharu dan bersedia mencubanya,” katanya.