Teknologi pembelajaran mesin sokong rawatan kegagalan jantung
Teknologi pembelajaran mesin sokong rawatan kegagalan jantung
Dua inovasi digital dijangka menawarkan penyelesaian baru bagi dua penyakit kronik seperti kegagalan jantung dan barah gastrik, apabila ia menjalani ujian di kelompok penjagaan kesihatan tempatan.
Peranti penderiaan tekanan jantung dan paru-paru bukan invasif, iaitu peranti Acorai, hasil ciptaan syarikat Sweden, Acorai, akan diuji di kelompok SingHealth dan NHG Health.
Sementara itu, peranti kecerdasan buatan (AI) endoskop gastroAI, rekaan syarikat pemula berpangkalan di Tokyo, Jepun, AI Medical Service (AIM), akan diuji di kelompok SingHealth.
Sekiranya dilaksanakan di Singapura, peranti Acorai berpotensi mengurangkan kadar kemasukan semula pesakit kegagalan jantung ke hospital, sekali gus menjimatkan kos dan memberi mereka lebih masa menikmati kehidupan di luar hospital.
Peranti ini mudah digunakan, doktor hanya perlu meletakkan pesakit dalam keadaan terlentang, mengisi maklumat pesakit, dan merakam data selama 3 minit daripada dada pesakit.
Ia tidak memerlukan integrasi dengan sistem rekod kesihatan sedia ada dan memerlukan latihan minimum, jelas Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif di Acorai, Encik Filip Peters.
Pakar kardiologi Amerika, Dr Andrew J. Sauer, 55 tahun, menyifatkan peranti Acorai berpotensi mengubah cara pesakit kegagalan jantung dipantau dan dirawat.
“Dengan mengenal pasti peningkatan tekanan lebih awal, doktor boleh campur tangan lebih cepat, merancang rawatan yang lebih diperibadikan dan bukan invasif, serta mengurangkan risiko kegagalan jantung,” katanya.
Menjelaskan mengapa SingHealth memilih Acorai untuk menjalani ujian penyelesaian kesihatan tersebut, Rakan Sekutu Klinikal, Professor Tan Hiang Khoon, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Sistem Kesihatan Masa Depan, SingHealth dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Besar Singapura (SGH), berkata:
“Teknologi Acorai berpotensi menangani keperluan yang belum dipenuhi dalam pengurusan pesakit kegagalan jantung. Mereka kini sedang berbincang dengan Pusat Jantung Negara Singapura (NHCS) bagi potensi ujian dan kajian.”
NHG Health pula memilih Acorai untuk menjalani ujian penyelesaian kesihatan itu kerana penyelesaiannya sangat sejajar dengan strategi NHG untuk mengalihkan penjagaan daripada reaktif kepada proaktif melalui pencegahan, pengesanan awal dan pembuatan keputusan yang didayakan data.
Peranti Acorai yang tidak invasif dan dipacu AI menyokong pengenalpastian risiko lebih awal dan pengurusan proaktif, terutamanya di luar persekitaran hospital akut, menurut Pengarah Klinikal, Pusat Inovasi Penjagaan Kesihatan, NHG Health, Profesor Madya Wong Hon Tym.

