Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeknologi perlu jadi jambatan dekatkan belia dengan bahasa Melayu
MLLPC sambut ulang tahun ke-20; teroka guna teknologi untuk pembelajaran bahasa, budaya Melayu
Teknologi perlu jadi jambatan dekatkan belia dengan bahasa Melayu
Teknologi perlu dimanfaatkan sebagai jambatan mendekatkan generasi muda kepada bahasa dan budaya Melayu, sedang cara mereka belajar dan menggunakan bahasa terus berubah dalam dunia digital.
Justeru, Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) akan terus meneroka penggunaan teknologi untuk memperkaya pengalaman pembelajaran bahasa Melayu dalam melangkah ke dua dekad seterusnya.
Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, semasa berucap di majlis sambutan ulang tahun ke-20 MLLPC di Taman Warisan Melayu (TWM) pada 19 September.
“Dalam dunia digital yang berkembang pesat, kita juga harus terus meneroka bagaimana teknologi dapat memperkaya lagi pengalaman pembelajaran bahasa.
“Teknologi harus menjadi jambatan yang mendekatkan lagi generasi muda kepada bahasa dan budaya mereka, bukan menjauhkan mereka daripadanya,” kata Dr Syed Harun, yang juga Pengerusi MLLPC.
Beliau turut menambah bahawa usaha melestarikan bahasa Melayu memerlukan kerjasama seluruh ekosistem masyarakat, termasuk sekolah dan guru, pertubuhan seni dan budaya, persatuan sastera serta kumpulan akar umbi.
Ditubuhkan Kementerian Pendidikan (MOE) pada 2006, MLLPC menghimpunkan sekolah, pemimpin masyarakat, pertubuhan Melayu, media dan badan profesional untuk menggalak pembelajaran bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu melangkaui bilik darjah.
Sepanjang dua dekad, pelbagai program seperti Fiesta Bahasa, Katapella, Kembara Nusantara dan Kuiz Cepat Tepat 2.0 telah diperkenal untuk memupuk minat pelajar terhadap bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu.
Antaranya, Katapella mencatat 91,000 penonton unik pada 2025, manakala jumlah prasekolah yang menyertai Kembara Nusantara meningkat daripada 71 pada 2025 kepada 118 pada 2026.
Melangkah ke dua dekad seterusnya, Dr Syed Harun berkata MLLPC akan terus memastikan program yang dilaksanakan dapat melahirkan anak bangsa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah teguh jati dirinya, berakar pada warisan serta berdaya saing di persada dunia.
“MLLPC akan sentiasa memperkukuh lagi kerjasama serta memastikan setiap program yang dilaksanakan benar-benar memberikan nilai tambah serta pengalaman autentik kepada pelajar,” katanya.
Sambutan ulang tahun ke-20 MLLPC bertemakan 20 Tahun Menyemai Bahasa, Menuai Generasi itu diadakan di samping Pesta Rakyat di TWM.
Acara sehari itu menampilkan pelbagai kegiatan interaktif dan persembahan oleh sekolah serta pertubuhan masyarakat, daripada permainan bahasa Melayu tradisional dan kegiatan kraf kepada persembahan silat, boria, lagu rakyat, drama dan deklamasi puisi.
Dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan TWM di bawah Lembaga Warisan Negara (NHB), sambutan itu turut merangkumi majlis penghargaan bagi rakan kongsi utama MLLPC serta penyampaian anugerah Peraduan Menulis Cerpen ‘Orang Singapura’.
Bagi Ketua Jabatan Bahasa Ibunda Sekolah Rendah White Sands, Cik Suzanah Yahaya, usaha mendekatkan bahasa dan budaya Melayu kepada generasi muda juga boleh dilakukan dengan menggabungkan unsur tradisional dan kontemporari.
Dalam persembahan lagu Ikan Kekek oleh murid darjah satu sekolah itu misalnya, elemen rap diselitkan untuk memberi nafas baharu kepada lagu tradisional tersebut.
Menurut Cik Suzanah, pendekatan itu penting untuk menunjukkan kepada murid bahawa pemeliharaan warisan tidak semestinya bermakna ia perlu dikekalkan sepenuhnya dalam bentuk asal.
“Dengan menggabungkan unsur tradisional dan kontemporari, murid dapat melihat bahawa bahasa dan budaya Melayu bukan sesuatu yang hanya berada pada masa lalu, tetapi masih relevan dan boleh terus berkembang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu Universiti Teknologi Nanyang (Perbayu NTU), Encik Naufal Aiman Jasni, berkata kerjasama dengan MLLPC membolehkan persatuan itu membawa usahanya melangkaui kampus dan menjalin hubungan dengan pertubuhan lain.
Sempena sambutan itu, Perbayu mengendalikan kegiatan berkaitan bahasa istana, penggunaan laras bahasa dan menulis pantun.
“Dengan adanya pendedahan seperti ini, para pelajar dapatlah sedikit sebanyak tahu tentang jenis bahasa yang merangkumi bahasa Melayu secara menyeluruh,” kata Encik Naufal, 22 tahun.
