Seorang pemandu teksi lelaki berusia 59 tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun dibawa ke hospital menyusuli kemalangan berangkai yang berlaku di Ekspreswe Tampines (TPE) pada 16 April.
Kemalangan itu berlaku selepas susur keluar Punggol Road, menghala ke Ekspreswe Seletar (SLE).
Menurut polis, mereka dimaklumkan mengenai kemalangan itu – yang melibatkan sebuah teksi, dua kereta dan empat trak – pada 11.05 pagi.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), dua individu telah dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), manakala seorang individu lain yang mengalami kecederaan ringan, enggan dibawa ke hospital.
Kededua mangsa berada dalam keadaan sedar ketika dihantar ke hospital, tambah polis.
Dalam beberapa gambar yang dimuat naik ke kumpulan Facebook SG Road Vigilante pada 17 April, teksi TransCab berwarna merah dan kereta putih kelihatan terhimpit antara dua trak.
Teksi itu juga dilihat tertindih di atas kereta putih yang bonetnya remuk teruk dan sebahagiannya tercabut, manakala bahagian but kereta dan pintu belakang kiri teksi kelihatan kemik.
Polis berkata siasatan berhubung insiden itu masih dijalankan.
Pengendali teksi TransCab memaklumkan kepada The Straits Times (ST) bahawa pemandu tersebut tidak membawa penumpang ketika kejadian itu berlaku.
“Kami akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“Kami juga telah berhubung dengan isteri pemandu dan sedang memantau keadaan beliau. Setakat ini, difahamkan beliau berada dalam keadaan stabil,” kata jurucakap TransCab.
Kemalangan pada 16 April itu merupakan kejadian terbaru dalam siri insiden pelanggaran berangkai di ekspreswe Singapura, lapor ST.
Sekurang-kurangnya tiga kemalangan lain melibatkan beberapa kenderaan telah berlaku dalam tempoh empat bulan lalu.
Pada 18 Januari, empat individu dibawa ke hospital selepas lapan buah kereta dan sebuah van terlibat dalam pelanggaran berangkai di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), selepas susur keluar Stevens Road.
Pada 21 Februari, lapan orang cedera dalam satu kemalangan di PIE yang melibatkan 14 kenderaan, terdiri daripada 11 kereta, dua teksi dan sebuah motosikal.
Pada 30 Mac, lima individu dibawa ke hospital susulan pelanggaran di PIE, yang membabitkan lima kenderaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg