Seorang pemandu treler berusia 54 tahun sedang membantu polis dengan siasatan berhubung kemalangan yang berlaku di Upper Bukit Timah Road.
Kemalangan berlaku pada malam 9 April di persimpangan Upper Bukit Timah Road dan Gombak Avenue.
Dalam video yang dikongsi di kumpulan Telegram ‘sgsecret’, beberapa kepingan konkrit dilihat terjatuh dari treler dan berada di jalan raya.
Pekerja yang memakai jaket kuning kelihatan sedang meletakkan kon lalu lintas di tempat kejadian, lapor The Straits Times (ST).
Apabila jalan tiga hala tersebut ditutup sepenuhnya, lalu lintas dari arah bertentangan kelihatan terhenti.
Video lain yang dimuat naik di halaman Facebook SG Road Vigilante menunjukkan kerosakan yang berlaku dan suasana selepas kejadian, dengan lorong paling kiri dibuka untuk lalu lintas dan seorang pekerja dilihat memegang papan tanda ‘Go’ untuk mengarahkan kenderaan.
Menurut pihak polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), mereka dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada 6.50 petang.
SCDF menyatakan bahawa bantuan mereka tidak diperlukan.
Pihak polis berkata bahawa pemandu lelaki tersebut kini sedang membantu dalam siasatan yang dijalankan.
Ini adalah kemalangan terbaru yang melibatkan treler dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sebuah kemalangan yang menjadi tular di media sosial berlaku pada 19 Mac, apabila sekeping blok konkrit pasang siap yang digunakan dalam pembinaan perumahan awam terjatuh dari treler dan jatuh ke jalan raya di Tuas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg