Mulai 1 Januari 2027, teksi berdaftar di Malaysia yang memasuki Singapura perlu membayar $15 bagi setiap perjalanan, berbanding kadar semasa iaitu $2 sebulan.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata pada 25 Jun, langkah penyesuaian pada bayaran Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam tersebut bertujuan untuk merapatkan jurang kos operasi antara teksi berdaftar di Malaysia dengan teksi berdaftar di Singapura yang beroperasi di negara ini.

Semakan semula kadar bayaran masuk ke Singapura ini menyusuli langkah rombakan yang diperkenalkan pada 4 Mei.

Langkah tersebut bertujuan menjadikan perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia lebih fleksibel serta menarik bagi para penumpang, sekali gus mengurangkan kecenderungan mereka untuk beralih kepada pengendali haram.

Antara perubahan yang dilaksanakan termasuk kenaikan ketara bagi tambang tetap, penambahan tempat mengambil penumpang yang ditetapkan, serta membenarkan teksi untuk menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di Singapura dan Johor dengan surcaj yang telah ditetapkan.

Di bawah kadar tambang baru itu, perjalanan teksi empat tempat duduk dari Terminal Ban San Street di Bugis ke Terminal Larkin Sentral di Johor Bahru, atau bagi jarak sehingga 35 kilometer, akan berharga $80, naik daripada $60.

Sementara itu, perjalanan dari Larkin ke Ban San, atau dalam lingkungan jarak 35 kilometer, akan berharga RM240 ($75), naik daripada RM120.

Kuota bagi teksi berlesen dari setiap negara untuk menyediakan khidmat rentas sempadan juga sedang dinaikkan secara berperingkat daripada 200 kepada 500.

Mengulas mengenai kenaikan bayaran permit yang bakal dikuatkuasakan itu, Pengerusi Persatuan Teksi Rentas Sempadan Johor Bahru-Singapura di Malaysia, Encik Mohd Suhaimi Saidi, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa meskipun beliau berharap kadar kenaikan itu lebih rendah daripada $15, bayaran tersebut masih boleh diterima.

Ini kerana para pemandu jarang melakukan lebih daripada satu perjalanan sehari ke Singapura.

Jurang kos operasi semasa antara teksi rentas sempadan Singapura dengan Malaysia pula sangat besar.

Ketika ditanya mengenai perbezaan kos operasi tersebut, pemandu teksi rentas sempadan Singapura, Encik Haniff Mahbob, berkata kadar sewa bagi teksi berdaftar di Malaysia adalah antara RM30 dengan RM50 sehari, manakala pemandu Singapura pula perlu membayar antara $100 dengan $130 sehari.

Pemandu teksi berusia 73 tahun itu menambah, oleh kerana pemandu dari kedua-dua negara mendapat tambang terkawal yang sama bagi perjalanan rentas sempadan, pemandu Malaysia kemungkinan besar masih berada dalam kedudukan lebih baik berbanding rakan pemandu mereka dari Singapura selepas kadar bayaran permit baru itu berkuat kuasa.

Menurut beliau, isu yang lebih besar adalah perkhidmatan rentas sempadan haram yang berleluasa, yang menjejas mata pencarian para pemandu berlesen dari kedua-dua negara.

LTA berkata ia akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) yang haram demi melindungi keselamatan penumpang serta mata pencarian para pemandu berlesen. 

Pada awal Jun, satu operasi penguatkuasaan besar-besaran menyaksikan tujuh pemandu warga asing ditahan dan kenderaan mereka disita kerana menyediakan khidmat haram P2P tersebut di Singapura.

“Para penumpang dinasihatkan supaya hanya menggunakan khidmat teksi berlesen bagi perjalanan rentas sempadan kerana hanya kenderaan ini yang mempunyai perlindungan insurans yang sah,” kata LTA. 

Pihak berkuasa itu turut menambah bahawa kenderaan tanpa lesen tidak dilindungi insurans secara sewajarnya dan boleh menyebabkan penumpang terbiar tanpa sebarang bantuan jika terlibat dalam kemalangan jalan raya.