Temasek telah bergabung dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk melabur sebanyak $75 juta dalam usaha mengkomersialkan usaha niaga teknologi tinggi daripada saluran penyelidikan universiti.
Ketiga-tiga pertubuhan itu menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) pada Selasa di Temasek Shophouse.
Temasek akan melabur $65 juta dalam inisiatif itu, kebanyakannya melalui platform pelaburan teknologi tinggi peringkat awal Xora Innovation. NUS dan NTU masing-masing akan melabur sebanyak $5 juta.
Xora akan bekerjasama dengan kedua-dua universiti untuk membina usaha niaga dalam bidang-bidang seperti peralihan tenaga, bioteknologi, dan masa depan pengkomputeran dan kognisi.
Temasek, NUS dan NTU juga akan menyokong usaha niaga dengan akses kepada rangkaian perniagaan dan mentor mereka, dengan tujuan melancarkan sekurang-kurangnya dua syarikat pemula setiap tahun.
Sementara itu, NUS dan NTU akan membangunkan rangka kerja pelesenan harta intelek (IP) bersama yang bertujuan mempercepat pelesenan dan penggunaan teknologi universiti untuk syarikat pemula dalam bidang teknologi mendalam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg