Topik diikuti
Pergi ke BHkuTempah teksi ke JB 24 jam melalui aplikasi Zig CDG mulai 23 Nov
Pemandu teksi boleh ambil penumpang di mana-mana lokasi di S’pura, hantar ke kawasan Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Senai
Tempah teksi ke JB 24 jam melalui aplikasi Zig CDG mulai 23 Nov
Mulai 23 November, anda boleh menempah teksi ulang-alik Singapura-Johor Bahru melalui aplikasi Zig CDG seawal 7 hari hingga 4 jam sebelum bertolak, dengan harga tambang tetap yang dipaparkan lebih awal.
Tempahan juga boleh dibuat menerusi talian 6552-1111. Perkhidmatan rentas sempadan itu berkhidmat 24 jam sehari.
Pemandu teksi boleh mengambil penumpang di mana-mana lokasi di Singapura dan menghantar mereka ke kawasan Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Senai.
Bagi perjalanan pulang, penumpang boleh menaiki teksi di tiga lokasi pengambilan di Johor Bahru untuk ke mana-mana lokasi di Singapura.
Lebih banyak lokasi akan disediakan kelak.
Zig by ComfortDelGro dalam satu kenyataan pada 17 November mengumumkan kerjasama dengan platform tempahan kereta sewa Malaysia, Kummute.
Kerjasama itu membolehkan kedua-dua pengendali menggabungkan rangkaian kenderaan bagi memenuhi permintaan perjalanan rentas sempadan.
Pada 16 November, CDG dan Kumpool, pengendali Kummute, masing-masing menerima lesen membawa penumpang merentasi Tambak Johor.
CDG mempunyai 150 lesen teksi rentas sempadan, manakala pengarah Kumpool, Encik Lim Han Weng, berkata kerjasama itu memperluas pilihan pengangkutan.
Pada Mei 2026, syarikat Grab menjadi pengendali pertama menerima lesen perkhidmatan tempahan kereta sewa rentas sempadan. Kini terdapat tiga pengendali.
Tambang kereta sewa melalui khidmat tersebut lebih tinggi berbanding teksi yang diambil di terminal Ban San berhampiran Queen Street, namun penumpang boleh diambil di seluruh Singapura dan dihantar ke kawasan Johor Bahru, termasuk Iskandar Puteri dan Senai.
Grab turut memendekkan tempoh tempahan awal daripada 12 jam kepada 90 minit susulan permintaan pelanggan.
Pada 16 November, kuota teksi rentas sempadan dinaikkan daripada 300 kepada 500 bagi setiap negara.
Peningkatan itu melengkapkan sasaran yang diumumkan kementerian pengangkutan kededua negara pada 5 Disember 2025.
Langkah itu bertujuan memperkukuh hubungan pengangkutan, memudahkan perjalanan ulang-alik serta meningkatkan hubungan perniagaan dan antara rakyat kededua negara.