Penumpang yang menggunakan empat platform teksi atau kereta sewa privet untuk menempah perjalanan akan terus dikenakan caj tambahan sehingga akhir September, bagi membantu pemandu menangani kos operasi yang semakin meningkat.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 22 Julai, Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) mengumumkan bahawa CDG Zig, Grab, Gojek dan Tada akan melanjutkan caj pemandu masing-masing sehingga 30 September.

Persatuan tersebut turut berkata keputusan itu dibuat berikutan perbincangan berterusan dengan pengendali platform mengenai perbelanjaan dan kos operasi pemandu.

NPHVA merupakan persatuan bersekutu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan mewakili kepentingan pemandu sewa privet bagi perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P).

ComfortDelGro, syarikat di sebalik CDG Zig yang juga pengendali teksi terbesar di Singapura, telah memperkenalkan caj pemandu sebanyak 50 sen atau 80 sen bagi setiap perjalanan sejak 24 Mac.

Dalam hantaran Facebook berasingan pada 22 Julai, ComfortDelGro memaklumkan caj tambahan sebanyak 50 sen akan dikenakan bagi tambang di bawah $15, manakala surcaj 80 sen akan dikenakan bagi tambang melebihi $15.

Caj tersebut dikenakan bagi perjalanan yang ditempah menerusi aplikasi, perkhidmatan rentas sempadan, perkhidmatan kenderaan limosin dan perjalanan mengikut jam.

Syarikat itu juga akan mengekalkan kenaikan satu sen bagi kadar jarak perjalanan sehingga 30 September.

Sebagai contoh, caj 27 sen akan dikenakan bagi setiap jarak 400 meter perjalanan menggunakan teksi Toyota Prius ComfortDelGro, bagi perjalanan yang jarak mempunyai keseluruhan kurang daripada 10 kilometer.

Platform perkhidmatan tempah kenderaan dalam talian Grab, Gojek dan Tada turut melaksanakan caj pemandu sebanyak 90 sen pada April, manakala Tada mengenakan caj $1.20 bagi perjalanan melebihi $18.

Caj pemandu itu mula diperkenalkan pada 2022 bagi membantu pemandu menangani peningkatan kos bahan api, menurut persatuan itu dalam hantarannya.

Caj berkenaan disalurkan sepenuhnya kepada pemandu dan tidak tertakluk kepada komisen platform.

Harga runcit bahan api ketika ini secara umumnya lebih tinggi berbanding Mac.

Ini selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, yang mengakibatkan penutupan Selat Hormuz, iaitu laluan perkapalan yang mengendalikan bekalan tenaga dunia.

Pada Mac, seliter petrol RON95 berharga antara $2.91 dengan $2.92. 

Ia kini berharga sekitar $3.36 atau $3.37 di lima stesen minyak utama – Caltex, Shell, Esso, SPC dan Sinopec – setakat 1 petang pada 23 Julai, menurut aplikasi Price Kaki. 

Manakala, syarikat Cnergy dan Smart Energy yang masing-masing mempunyai tiga stesen minyak menawarkan harga lebih rendah.

Petrol RON95 dijual pada harga $2.54 seliter di Cnergy manakala Smart Energy menjualnya pada harga $2.62, menurut aplikasi Price Kaki.

NPHVA berkata ia akan mengadakan perbincangan secara kerap dengan pengendali platform bagi memperjuangkan langkah praktikal yang dapat menyokong pemandu di lapangan.

Secara berasingan, platform perkhidmatan menempah kenderaan, Ryde, turut mengenakan caj tambahan sebanyak $0.50 bagi setiap perjalanan. 

Caj sokongan tambang asas itu mula diperkenalkan pada 2022, bagi membantu menampung kos operasi pemandu. Caj berkenaan telah dilanjutkan pada 2025 sehingga akhir 2027.