Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tempat letak kenderaan khas dikaji bagi tingkatkan tahap proses hantaran

Jul 22, 2024 | 3:55 PM
Tempat menunggu yang dikhaskan untuk penghantar makanan dan bungkusan di Jurong Point.
Tempat menunggu yang dikhaskan untuk penghantar makanan dan bungkusan di Jurong Point. - Foto NTUC

Tempat letak kenderaan dan tempat menunggu khas bagi penghantar makanan dan bungkusan dengan papan tanda penunjuk arah yang jelas, serta saluran komunikasi WhatsApp.

Itulah antara beberapa inisiatif baru yang dapat dilihat oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat; dan wakil kumpulan kerja tiga pihak semasa melawat pusat beli-belah Jurong Point dan kondominium Lake Grande pada 19 Julai.

Kemudahan tersebut adalah antara usulan yang diketengahkan kumpulan kerja tiga pihak yang dibentuk pada November 2023, yang secara aktif melibatkan pihak berkepentingan tahap akhir penghantaran untuk meningkatkan kecekapan semasa penghantaran dan keselamatan pekerja wadah e-dagang.

Ia juga berazam mengurangkan sebarang kelemahan semasa proses pengambilan dan penghantaran barangan dalam pembangunan.

Sebelum ini, kumpulan tersebut turut mengadakan perbincangan kumpulan fokus (FGD) pada Jun 2024 bersama lebih 60 wakil pengurusan bangunan dan kakitangan penghantaran.

Beberapa wakil dari Jurong Point dan kondominium Lake Grande turut menyertai FGD itu untuk memberi idea bagi melancarkan proses penghantaran dengan lebih selamat dan cekap.

Para peserta berkongsi pandangan daripada pengalaman mereka semasa melalukan penghantaran.

Beberapa masalah yang mereka ketengahkan adalah kekurangan ruang menunggu untuk kenderaan penghantaran, kekurangan tempat pengumpulan makanan dan tempoh tangguh tempat letak kereta yang tidak mencukupi.

Peserta turut menyumbang beberapa cadangan untuk menangani cabaran yang dihadapi dengan lebih baik pada pembangunan yang berbeza, seperti kediaman, pejabat dan bangunan komersial.

Antara kumpulan kerja tiga itu termasuk Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA), Persatuan Juara Penghantaran Kebangsaan (NDCA) dan Persatuan Pemaju Hartanah Singapura (Redas).

Cadangan itu bakal dipamerkan semasa Draf Pelan Induk URA 2025 bagi penglibatan awam pada akhir 2024.

Memberikan ulasannya, Encik Chee, dalam satu hantaran Facebook, berkata: “Matlamat kami adalah untuk membolehkan pekerja penghantaran dan kakitangan pengurusan kemudahan (termasuk pengawal keselamatan) melakukan kerja mereka dengan selamat dan cekap.

“Kami juga bertekad supaya penduduk dapat menikmati kemudahan penghantaran bungkusan dan makanan mereka.

“Perusahaan turut bakal meraih manfaat kerana ini boleh membawa kepada peningkatan dalam pesanan melalui talian mereka dan menambah perniagaan daripada pelanggan mereka.

Encik Lee, dalam satu hantaran di Facebook pula, berkata: “Setiap lokasi ada isu dan cabaran yang tersendiri, maka penyelesaiannya perlu disesuaikan.

“Oleh itu, kami perlu berganding bahu untuk menggalakkan perbincangan dan penyelesaian bersama.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg