Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tempoh jel banduan dilanjutkan dek hasut 2 pegawai penjara beri maklumat

Jun 20, 2024 | 3:25 PM
Abdul Karim Mohamed Kuppai Khan, 38 tahun, akan mula menjalani hukuman baru selepas selesai menjalani hukumannya sekarang. 
Abdul Karim Mohamed Kuppai Khan, 38 tahun, akan mula menjalani hukuman baru selepas selesai menjalani hukumannya sekarang.  - Foto fail

Seorang pesalah berulang yang sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana jenayah berkaitan dadah akan menjalani hukuman lebih lama selepas dia menghasut dua pegawai penjara mendapatkan maklumat sulit tentang banduan lain.

Abdul Karim Mohamed Kuppai Khan, 38 tahun, yang mengaku bersalah pada Mei atas kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan kesalahan berkenaan trafik, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan pada 20 Jun.

Dia akan mula menjalani hukuman baru selepas menamatkan hukumannya sekarang.

Abdul Karim juga tidak dibenarkan memiliki atau mendapatkan semua kelas lesen memandu selama 15 tahun dari tarikh pembebasannya.

Ketua kongsi gelap itu sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun di Penjara Tanah Merah apabila dia melakukan kesalahan yang dikaitkan dengan pegawai penjara ketika itu, Muhammad Fattahullah Mohd Nordin dan Muhammad Zul Helmy Abdul Latip.

Abdul Karim ditempatkan di bawah Rejim Pengasingan Pentadbiran (ASR) ketika itu.

Banduan ASR ditahan dalam sel individu dan keistimewaannya disekat.

Pihak pendakwaan berkata bahawa banduan ditahan atas pelbagai sebab, termasuk kelakuan buruk dan kegiatan berkaitan kongsi gelap.

Sebanyak lima kali antara Januari dan Jun 2020, Abdul Karim meminta Fattahullah maklumat lokasi banduan lain.

Fattahullah mengakses sistem komputer Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan berkongsi maklumat dengannya.

Pada 13 Oktober 2020, Abdul Karim bercakap dengan Helmy kerana dia inginkan beberapa maklumat peribadi tentang dua banduan lain, yang dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai V1 dan V2.

Helmy mendapatkan maklumat daripada sistem komputer dan berkongsi dengan Abdul Karim, yang menulisnya pada sehelai kertas.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Cik Claire Poh, Encik Gabriel Lee, Encik Kelvin Chong dan Encik Louis Ngia menyatakan dalam dokumen mahkamah: “Fattahullah dan Helmy bersetuju dengan permintaan (Abdul Karim) kerana mereka tahu tertuduh adalah banduan yang timbulkan gangguan.

“Mereka memberikan maklumat itu dengan harapan tertuduh tidak akan menimbulkan masalah kepada mereka semasa mereka bertugas.”

Pada Oktober 2020, Abdul Karim mengugut tahanan V1 dengan mengatakan bahawa dia tahu alamat rumah V1.

DPP memberitahu mahkmah: “Tertuduh kemudian dengan tepat menyebut alamat kediaman V1 kepadanya, yang V1 tidak pernah dikongsi dengan tertuduh, dengan niat untuk mencemaskan V1.”

“(Kesalahan berkaitan komputer) hanya dikesan apabila SPS menjalankan pemeriksaan ke atas sel tertuduh, dan mendapati nota tulisan tangan yang mengandungi alamat V1 dan V2 serta nombor telefon temanita V2.”

Fattahullah dan Helmy, yang didakwa pada November 2021, tidak lagi menjadi pegawai penjara.

Fattahullah, ketika itu berusia 38 tahun, dijatuhi hukuman penjara 10 minggu pada Ogos 2022, manakala Helmy, ketika itu berusia 33 tahun, dijatuhi hukuman penjara tujuh minggu pada bulan berikutnya.

Abdul Karim juga didapati melakukan pelbagai kesalahan trafik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg