Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tender tapak bersejarah di Moulmein dimenangi pemaju Dempsey Hill

Bekas tapak CDC bakal dibangun semula jadi ruang masyarakat, sasar buka pada suku pertama 2027
Dec 9, 2025 | 5:08 PM
CDC, Moulmein, tapak bersejarah
Hartanah pemerintah di Moulmein Road menyokong keperluan kesihatan Singapura selama lebih satu abad dan berfungsi sebagai Pusat Penyakit Berjangkit (CDC) sehingga ditutup pada 2018. - Foto ST

Country City Investment dianugerahkan tender pada 8 Disember untuk membangunkan semula 2 Moulmein Road, estet bersejarah yang merangkumi lebih 40 bangunan berhampiran kawasan Novena.

Tender yang dibuka oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Mei menarik 13 tawaran bagi pajakan induk 44 bangunan di atas tapak seluas 91,000 meter persegi.

Country City, yang terkenal dengan pembangunan semula Tanglin Barracks yang terletak di Dempsey Road dan menjadikannya ruang gaya hidup, Dempsey Hill, mengemukakan tawaran tertinggi sebanyak $388,800 sebulan, menurut The Straits Times (ST).

Cherryloft Resorts and Hotels menawarkan $382,000, manakala SA31, entiti berkaitan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IndoChine Group Encik Michael Ma, menyertakan tender $290,000.

Menurut pengarah urusan perkhidmatan pejabat Colliers di Asia Tenggara, Encik Chris Archibold, perbezaan tawaran tertinggi dan kedua tertinggi adalah kecil.

Namun pengalaman Country City dalam menghidupkan aset warisan mungkin memberi mereka kelebihan kerana 60 peratus penilaian bergantung pada mutu konsep.

Penganalisis menganggarkan kadar bidaan tertinggi itu bersamaan 39 sen setiap kaki persegi (psf) bagi tanah dan $2.78 psf berdasarkan keluasan lantai kasar (GFA).

Sebagai perbandingan, kadar sewa runcit median di Daerah 11 pada suku ketiga ialah $12.60 psf sebulan, menjadikan kadar asas ini cukup rendah untuk berdaya maju.

Tapak seluas 985,350 kaki persegi itu mempunyai GFA dianggarkan 139,705 kaki persegi.

Daripada 44 bangunan, 23 tertakluk kepada garis panduan pengekalan ciri asalnya, manakala 21 dikecualikan daripada garis panduan itu tetapi tidak boleh dirobohkan.

Country City, yang mengurus sebahagian kawasan Dempsey Hill sejak 2007, menyasarkan pembukaan projek 2 Moulmein Road pada suku pertama 2027.

Tawaran yang dirancang termasuk zon bertema, restoran, kafe, kemudahan sukan dan kesihatan, serta ruang pembelajaran dan kegiatan untuk keluarga, belia dan warga emas, termasuk kawasan mesra haiwan.

Pengurus pembangunan perniagaan Country City, Encik Dylan Soh, berkata matlamat mereka adalah memelihara warisan tapak sambil menjadikannya destinasi untuk masyarakat pelbagai lapisan.

Beliau berkata projek itu akan meningkatkan kemudahan akses dan menyediakan ruang awam terbuka kepada semua.

“Kawasan ini juga akan menampilkan kemudahan sukan dan prasarana mesra haiwan untuk penduduk Novena dan masyarakat lebih luas.

“Matlamat kami ialah menjadikan 2 Moulmein Road destinasi pelbagai fungsi, tempat bagi semua peringkat umur dapat berhubung, berehat dan menikmati pengalaman bermakna,” katanya ketika menjawab pertanyaan ST.

Beliau menambah Country City sedang bekerjasama dengan SLA dalam perancangan dan kelulusan.

Tapak tersebut mempunyai sejarah panjang. Ia ditubuhkan pada 1913 sebagai Hospital Middleton sebelum berfungsi sebagai Pusat Penyakit Berjangkit (CDC) sehingga ditutup pada 2018.

SLA menyatakan dalam satu hantaran LinkedIn pada 8 Disember perubahan tapak bersejarah yang luas itu mencabar, dan pihaknya telah mendapatkan maklum balas pasaran secara meluas sebelum tender dilancarkan.

Sambutan sangat memberangsangkan, dengan 13 penyertaan daripada pihak yang yakin terhadap keupayaan sebagai tarikan unik bagi warga Singapura dan pengunjung.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg