Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas tapak Pusat Penyakit Berjangkit di Moulmein Road bakal jadi hab gaya hidup

May 29, 2025 | 2:34 PM
Moulmein Road, Pusat Penyakit Berjangkit (CDC), Hospital Middleton
Tapak di 2 Moulmein Road itu dibangunkan pada 1913 sebagai hospital penyakit berjangkit dan dinamakan Hospital Middleton pada 1920. - Foto SLA

Dahulu berfungsi sebagai pusat rawatan bagi penyakit berjangkit seperti cacar, batuk kering dan Aids, tapak lama Hospital Middleton dan Pusat Penyakit Berjangkit (CDC) di Moulmein Road kini mungkin menempatkan kemudahan gelanggang ‘pickleball’, kafe dan galeri seni.

Satu tender bagi tapak seluas 91,541.27 meter persegi di 2 Moulmein Road itu akan digunakan untuk pembangunan hab gaya hidup di bawah pajakan jangka pendek yang dilancarkan Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada 28 Mei.

Antara kegunaan yang telah diluluskan bagi tapak tersebut termasuk ruang pejabat, apartmen perkhidmatan, kemudahan spa dan kesihatan, serta kawasan pertanian bandar. 

Tapak itu kini dikategorikan di bawah zon kegunaan kediaman, lapor The Straits Times (ST).

Daripada keseluruhan 44 bangunan di tapak itu, 23 bangunan telah dikenal pasti untuk pemuliharaan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), dan tertakluk kepada garis panduan penambahan serta pengubahsuaian yang ditetapkan penguasa tersebut. 

Langkah itu bertujuan memastikan ciri dan unsur seni bina utama bangunan itu tetap dikekalkan.

Baki 21 bangunan di tapak itu tidak boleh dirobohkan, namun tidak tertakluk kepada garis panduan pengubahsuaian yang ditetapkan.

SLA berkata tapak itu “pernah menjadi institusi penting dalam sejarah penjagaan kesihatan Singapura selama lebih satu abad”.

Tapak itu ditubuhkan pada 1913 sebagai hospital penyakit berjangkit dan dinamakan Hospital Middleton pada 1920, sempena nama Dr William Robert Colvin Middleton, seorang tokoh kesihatan awam.

Daripada jumlah keluasan lantai kasar 12,978.88 meter persegi yang merangkumi keseluruhan bangunan di tapak tersebut, maksimum 3,893.66 meter persegi – atau sekitar 30 peratus – boleh digunakan untuk tujuan runcit, makanan dan minuman (F&B), atau kedua-duanya sekali.

Daripada jumlah keluasan yang diperuntukkan itu, penggunaan bagi F&B – termasuk kawasan makan di luar – tidak boleh melebihi separuh.

Dalam satu kenyataan media, SLA berkata pihaknya membayangkan tapak itu sebagai “sebuah hab gaya hidup yang dinamik dengan tawaran yang memenuhi keperluan keluarga dan anggota masyarakat pelbagai generasi”.

Syarikat yang berjaya memperoleh tender bagi tapak itu akan diberikan pajakan selama lima tahun, dengan pilihan melanjutkannya selama empat tahun lagi, tertakluk kepada kelulusan pemerintah.

Menurut Pelan Induk 2019 URA – dokumen berkanun yang menjadi panduan pembangunan untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang – tapak tersebut kini dikategorikan sebagai zon kediaman, tertakluk kepada perancangan terperinci yang ditetapkan pihak berkuasa.

Apabila sesebuah hartanah negara yang kosong tidak digunakan untuk pembangunan segera, SLA sebagai pemegang amanah tanah negara boleh menyewakannya buat sementara waktu.

Tender SLA akan ditutup pada 6 Ogos dan dijangka akan dianugerahkan pada 30 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg