Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tender tapak di Marina belum diberikan kerana bidaan terlalu rendah

Feb 8, 2024 | 6:38 PM
Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) berkata ia tidak memberi tender bagi tapak Marina Gardens Crescent (dibulatkan) kerana nilai bidaan terlalu rendah.
Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) berkata ia tidak memberi tender bagi tapak Marina Gardens Crescent (dibulatkan) kerana nilai bidaan terlalu rendah. - Foto ZAOBAO

Dalam keputusan tender Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) yang dinanti-nantikan, tender plot pegangan pajak 99 tahun di Marina Gardens Crescent belum diberikan.

Satu kenyataan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 8 Februari berkata tender bagi plot tersebut belum diberikan kerana nilai bidaan terlalu rendah.

“Bidaan tunggal yang dikemukakan GuocoLand (Singapore), Intrepid Investments dan TID Residential dinilai terlalu rendah.

“Tapak tersebut kini akan tersedia dalam senarai rizab program GLS bagi separuh pertama 2024 untuk membolehkan mereka yang berminat mengemukakan permohonan untuk penjualan tapak dengan harga minimum yang boleh diterima pemerintah,” tambah kenyataan itu.

Tapak di Marina South itu – yang ditetapkan untuk pembangunan kediaman dan komersial – hanya memperoleh satu bidaan hampir $770.5 juta atau $984 setiap kaki persegi setiap nisbah plot (psf ppr) pada tender yang ditutup pada 18 Januari.

Menurut The Business Times, harga bidaan adalah jauh di bawah jangkaan pasaran.

Ia hampir 30 peratus lebih rendah daripada $1,402 psf ppr yang dibayar Kingsford Group untuk plot berhampiran iaitu Marina Gardens Lane pada tender yang ditutup pada Jun 2023.

URA melancarkan plot Marina Gardens Crescent untuk dijual secara tender pada Jun 2023 di bawah senarai yang disahkan bagi program Separuh Pertama (H1) 2023 GLS.

Tapak dalam senarai yang disahkan dilancarkan untuk penjualan mengikut jadual, tanpa mengira permintaan.

Tapak dalam senarai rizab hanya dilancarkan apabila pemaju telah memberi aku janji untuk menawarkan harga bidaan minimum pada tender yang boleh diterima pemerintah.

Plot Marina Gardens Crescent terletak betul-betul di sebelah stesen MRT Marina South. Ia boleh dibangunkan kepada keluasan lantai kasar (GFA) maksimum seluas hampir 783,000 kaki persegi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg