Topik diikuti
Pergi ke BHkuTentera laut S’pura, India perkukuh kerjasama menerusi latihan maritim dua hala ke-33
Latihan enam hari di Teluk Benggala libatkan kapal perang, kapal selam dan pesawat tentera, termasuk latihan peperangan antikapal selam dan pertahanan udara
Tentera laut S’pura, India perkukuh kerjasama menerusi latihan maritim dua hala ke-33
Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) dan Tentera Laut India memperkukuh kerjasama pertahanan maritim menerusi latihan dua hala tahunan yang melibatkan pelbagai operasi peperangan, termasuk latihan antikapal selam, pertahanan udara dan tembakan meriam di Teluk Benggala, India.
Latihan Maritim Dua Hala Singapura-India (Simbex) edisi ke-33 itu berlangsung selama enam hari, dari 21 hingga 26 Oktober, di Visakhapatnam, sebuah bandar pelabuhan di negeri Andhra Pradesh, India.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef), latihan tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan peperangan kedua-dua tentera laut serta memperkukuh keserasian operasi antara mereka.
Komander Armada RSN, Kolonel Bertram Ang, berkata latihan Simbex mencerminkan hubungan pertahanan Singapura dan India yang terus berkembang, selain menyediakan wadah penting untuk meningkatkan kecekapan operasi dan persefahaman antara anggota kedua-dua tentera laut.
“Bagi setiap edisi Simbex, latihan ini menyediakan wadah penting untuk kedua-dua tentera laut terus mempertingkat kecekapan operasi, mengukuhkan persefahaman bersama dan menjalin hubungan berkekalan antara anggota,” ujarnya.
Dalam latihan tahun ini, RSN mengerahkan kapal frigat kelas Formidable, RSS Supreme, manakala Tentera Laut India menyertai latihan itu dengan kapal frigat kelas Nilgiri, INS Nilgiri; kapal korvet kelas Kamorta, INS Kamorta; serta kapal selam kelas Sindhughosh, INS Sindhukirti.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan India pada 27 Oktober, latihan tersebut turut melibatkan pelbagai aset udara, termasuk pesawat rondaan maritim P-8I dan Dornier, pesawat latihan jet Hawk, serta helikopter MH-60R.
RSS Supreme pula membawa helikopter SH-70B bagi menyokong operasi maritim sepanjang latihan berkenaan.
Latihan Simbex dibahagikan kepada dua fasa, bermula dengan fasa di pelabuhan dari 21 hingga 23 Oktober, diikuti fasa di laut dari 24 hingga 26 Oktober.
Kenyataan Kementerian Pertahanan India menyatakan bahawa anggota kedua-dua tentera laut menjalankan perancangan bersama, pertukaran kepakaran, lawatan ke kapal masing-masing serta kegiatan sukan bagi mengeratkan hubungan profesional semasa fasa pertama.
Menurut kenyataan Mindef, antara bidang yang dibincangkan dalam sesi pertukaran kepakaran termasuk operasi sistem tanpa pemandu, operasi menyelamat kapal selam dan operasi udara maritim.
Fasa kedua pula menyaksikan kedua-dua tentera laut melaksanakan beberapa siri latihan peperangan di Teluk Benggala, termasuk tembakan meriam, pertahanan udara, peperangan antikapal selam dan operasi pemintasan maritim.
Menurut Kementerian Pertahanan India, latihan itu turut merangkumi operasi penerbangan antara kapal bagi meningkatkan penyelarasan dan keupayaan kedua-dua angkatan untuk beroperasi bersama.
Fasa di laut berakhir dengan lintas hormat oleh kapal-kapal yang mengambil bahagian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Staf (Operasi), Markas Tentera Laut Timur India, Laksamana Muda Manoj Jha, berkata Simbex bukan sekadar latihan ketenteraan, malah mencerminkan kepercayaan profesional yang telah dibina antara kedua-dua tentera laut sejak lebih tiga dekad lalu.
“Bagi India dan Singapura, laut bukan sekadar ciri geografi, malah merupakan nadi yang menghubungkan kepentingan dan aspirasi ekonomi kedua-dua negara,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan latihan itu pada 21 Oktober.
Menurut beliau, kedudukan geografi kedua-dua negara menjadikan keselamatan laluan perdagangan maritim, kebebasan pelayaran dan kestabilan serantau sebagai kepentingan bersama.
Beliau turut menekankan perlunya kerjasama dalam menangani ancaman seperti kegiatan lanun, keganasan maritim, penyeludupan haram, serta ancaman terhadap prasarana maritim penting.
Simbex diadakan buat kali pertama pada 1994 dengan nama Exercise Lion King, yang pada mulanya memberi tumpuan kepada latihan peperangan antikapal selam.
Latihan itu kemudian dinamakan semula sebagai Simbex pada 2005, apabila skopnya diperluas untuk merangkumi peperangan permukaan dan pertahanan udara.
Sejak itu, latihan berkenaan berkembang menjadi antara latihan maritim dua hala paling lama berlangsung bagi RSN, dengan penyertaannya diteruskan setiap tahun tanpa terputus, termasuk semasa pandemik Covid-19.
Menurut Laksamana Muda Manoj, kedua-dua tentera laut ketika itu menyesuaikan latihan melalui perancangan secara maya dan operasi di laut tanpa pertemuan fizikal.
Beliau berkata tahap kepercayaan yang terjalin turut membolehkan kedua-dua tentera laut menjalankan latihan yang lebih rumit, termasuk tembakan peluru berpandu dan penyertaan kapal selam dalam edisi terdahulu.
“Apa yang menjadikan Simbex istimewa ialah latihan itu diadakan setiap tahun tanpa terputus sejak 1994,” jelasnya.
Menurut Kolonel Ang, latihan tahun ini turut memberi peluang kepada RSN untuk mempelajari pengalaman Tentera Laut India dalam mengendalikan pesawat rondaan maritim P-8I.
Beliau berkata ini sebagai persiapan untuk mengintegrasikan pesawat tersebut ke dalam sistem operasi peperangan RSN pada tahun-tahun mendatang.
Selain meningkatkan keupayaan operasi, Kolonel Ang menekankan bahawa hubungan antara anggota kedua-dua tentera laut merupakan asas utama kejayaan Simbex.
“Hubungan erat yang telah terjalin ini menjadi asas kukuh kepada kerjasama berterusan serta keupayaan kedua-dua tentera laut untuk beroperasi bersama.
“Saya juga menggalakkan para peserta menjalin hubungan baharu bagi memperkukuh lagi ikatan ini pada masa hadapan,” terangnya.
Pada 2025, Singapura dan India meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Menurut kenyataan Mindef dan Kementerian Pertahanan India, kejayaan pelaksanaan Simbex 2026 mencerminkan komitmen berterusan Singapura dan India untuk meningkatkan keupayaan operasi bersama, serta menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan maritim serantau.