Topik diikuti
Pergi ke BHkuTentera Laut S’pura, China mulakan latihan kerjasama maritim dua hala
Mindef: Latihan tingkat pembelajaran bersama, kerjasama dengan rangkaian rakan kongsi antarabangsa
Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) akan menyertai latihan kerjasama maritim dua hala dengan tentera laut China dari 5 hingga 9 September, menurut Kementerian Pertahanan (Mindef).
Majlis perasmian latihan yang dinamakan Latihan Kerjasama Maritim itu berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Ma Xie di Zhanjiang, China, pada 5 September.
Ia telah dirasmikan bersama oleh timbalan komander armada RSN, Kolonel Ng Yen Meng, dan Laksamana Muda Xia Ziming, timbalan ketua Staf Southern Theater Command, Tentera Pembebasan Rakyat China (Angkatan Laut).
Ini merupakan edisi kelima latihan ini, yang bermula pada 2015, dan akan menyaksikan penyertaan frigat kelas Formidable tentera laut Singapura, RSS Steadfast dan frigat kelas Jiangkai II tentera laut China, PLANS Dali.
Latihan itu akan merangkumi fasa pantai di Pangkalan Tentera Laut Ma Xie dari 5 hingga 7 September, dan fasa laut di perairan Zhanjiang dari 8 hingga 9 September.
Semasa fasa pantai, kakitangan daripada kedua-dua tentera laut akan terlibat dalam latihan perancangan dan pertukaran profesional.
Di laut, kedua-dua tentera laut akan menjalankan pelbagai siri kegiatan.
Ini termasuk tembakan meriam, komunikasi dan latihan gerakan, serta latihan mencari dan menyelamat bersama dan pemindahan perubatan.
RSS Steadfast berada di peringkat terakhir pengerahan tiga bulannya. Ia telah menyertai beberapa latihan dua hala dan pelbagai hala.
Ini termasuk latihan laluan dengan tentera laut Italy, pelayaran kumpulan berbilang negara dari Filipina ke Hawaii, Latihan Rim of the Pacific, Latihan Singapan dengan Jepun, dan latihan terbaru dengan China.
Mindef berkata penyertaan tentera laut Singapura dalam latihan ini meningkatkan pembelajaran bersama, persefahaman dan kerjasama dengan rangkaian rakan kongsi antarabangsa.
