Lebih 230 askar dari tentera laut Singapura dan Indonesia telah menyertai latihan menyelam ketenteraan dua hala yang bertujuan mempertingkat keupayaan menangani bersama ancaman dalam air.
Latihan itu, yang digelar Joint Minex Pandu, diadakan di Batam dan perairan Bintan dari 14 Mei hingga 19 Mei.
Ia melibatkan pertukaran profesional dalam usaha memburu periuk api, teknik menyelam untuk mengeluarkan periuk api dan menaiki kapal, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan pada 19 Mei.
Selain itu, peserta latihan juga mengambil bahagian dalam operasi yang diselaraskan untuk menentang ancaman periuk api, operasi menyelam dan menembak peluru hidup.
Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) menyertai latihan itu dengan dua Kapal Tindak Balas Periuk Api (MCMVs) kelas Bedok, iaitu RSS Bedok dan RSS Punggol, serta askar dari Unit Penyelam Tentera Laut (NDU).
Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI AL) mengerahkan dua kapal Pemburu Periuk Api kelas Pulau Fani, iaitu KRI Pulau Fani dan KRI Pulau Fanildo. Ia juga menghantar pasukan penyelam.
Mindef berkata: “RSN dan TNI AL mengadakan pertukaran profesional kerap, latihan dan lawatan serta bekerjasama menerusi Rondaan Diselaras Indonesia-Singapura (Corpat Indosin).
“Satu lagi latihan dua hala yang diadakan RSN bersama TNI AL, iaitu Latihan Eagle Indopura, ialah latihan dua hala paling lama bertahan yang diadakan oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan tentera asing. Kegiatan seperti ini menggariskan hubungan pertahanan rapat dan jangka panjang antara Singapura dengan Indonesia.”
Upacara pembukaan bagi latihan dua hala terkini itu diadakan di Pangkalan Tentera Laut Utama Batam pada 14 Mei.
Ia dirasmikan oleh Laksamana-Pertama Tjatur Soniarto, iaitu Komander Pangkalan Tentera Laut Utama IV (Batam) TNI AL; dan Timbalan Komander, Pasukan Petugas Keselamatan Laut, Kolonel Chan Yeng Sen, Michael-John.
“Persahabatan dua hala yang kuat antara TNI AL dengan RSN tentu sekali tidak terhad pada latihan ini,” kata Kolonel Chan semasa memberi ucapan di upacara tersebut.
“Tentera laut kededua negara saling berurusan dalam banyak bidang dan pada berbilang peringkat. Ini adalah hasil saban tahun bekerjasama rapat dan memupuk persahabatan yang teguh, yang membolehkan kami mempunyai tahap saling mempercayai yang tinggi dan menjalankan operasi bersama.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg