Sekitar 250 anggota tentera darat Singapura dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) berkumpul bagi menjalani latihan ketenteraan bersama di Banjar, Jawa Barat, dari 20 hingga 26 November.

Latihan itu merupakan sebahagian daripada edisi ke-38 Latihan Safkar Indopura (XSI), latihan tahunan yang merangkumi peperangan dalam hutan, pengenalan senjata, latihan menembak secara langsung dan latihan lapangan bagi memperkukuh keupayaan operasi.

Latihan itu juga untuk memperkukuh rasa saling mempercayai serta keupayaan kedua-dua tentera untuk beroperasi bersama, menurut satu kenyataan media Kementerian Pertahanan (Mindef) Singapura pada 26 November.

Seorang anggota tentera darat Singapura (tengah) memberikan taklimat semasa misi malam dalam latihan lapangan bersama.
Seorang anggota tentera darat Singapura (tengah) memberikan taklimat semasa misi malam dalam latihan lapangan bersama. - Foto MINDEF

Ia turut merangkumi latihan pusat pemerintahan peringkat briged yang dijalankan bersama oleh Markas Briged Infantri Singapura ke-3 (HQ 3 SIB) dan Markas Briged Infantri Raider ke-13 TNI-AD (BRIGIF Raider 13).

Latihan itu diakhiri dengan latihan lapangan peringkat batalion di Lapangan Latihan Bangunharja, yang menyaksikan anggota daripada Batalion ke-5, Rejimen Infantri Singapura (5 SIR) dan Batalion Infantri Raider ke-323 TNI-AD (YONIF 323) berlatih dalam kompeni campuran bagi mempertingkat kemahiran peperangan dalam hutan.

Sebelum ini, majlis pembukaan latihan itu dirasmikan bersama oleh Ketua Staf, Divisyen ke-3 Tentera Darat Singapura, Kolonel Ng Hua Qing Daniel, dan Inspektor Divisyen Infantri Pertama Komando Simpanan Strategik Tentera Darat (Kostrad) TNI-AD, Brigedier Jeneral (BG) Irnando Arnold B Sinaga.

Anggota tentera darat Singapura dan TNI-AD berbincang mengenai perancangan mereka dengan menggunakan model bentuk muka bumi semasa latihan peperangan dalam hutan.
Anggota tentera darat Singapura dan TNI-AD berbincang mengenai perancangan mereka dengan menggunakan model bentuk muka bumi semasa latihan peperangan dalam hutan. - Foto MINDEF

Dalam ucapannya, Kolonel Ng menekankan hubungan pertahanan yang sekian lama terjalin antara Singapura dengan Indonesia. Beliau berkata latihan tahunan itu memberi peluang kepada kedua-dua tentera untuk memperkukuh kerjasama dan mengeratkan hubungan.

“Latihan ini merupakan peluang yang amat berharga untuk kita berkenalan dengan rakan baharu, memperkukuh kerjasama sedia ada, mempelajari budaya dan warisan masing-masing serta mencipta kenangan bersama,” ujar beliau.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.
Anggota tentera darat Singapura dan TNI-AD bersama hadirin lain di majlis penutup XSI26.
Anggota tentera darat Singapura dan TNI-AD bersama hadirin lain di majlis penutup XSI26. - Foto MINDEF

Selain latihan ketenteraan, XSI turut merangkumi Program Bantuan Masyarakat, menerusi kerjasama anggota perubatan daripada Markas Perkhidmatan Perubatan Tentera Darat (HQ AMS) dan Institut Perubatan Tentera (HQ MMI) dengan TNI-AD untuk menyediakan khidmat perubatan dan pergigian asas kepada masyarakat setempat.

Kedua-dua tentera turut menyertai kegiatan pertukaran budaya, aktiviti mengeratkan hubungan dan sukan bagi membina hubungan lebih rapat antara anggota.

Diperkenalkan pada 1989, XSI mencerminkan hubungan pertahanan yang kukuh dan telah lama terjalin antara Singapura dengan Indonesia.

Hubungan itu turut diperkukuh menerusi lawatan rasmi, pertukaran profesional dan penyertaan anggota dalam kursus masing-masing secara berkala.