Dibuli sepanjang sekolah menengah membuatkan Nick (bukan nama sebenar) bergelut dengan kemurungan dan kegelisahan.
Apabila gagal mendapatkan pekerjaan pada usia 20-an, dia mula mengasingkan diri di rumah.
Dia menggunakan pornografi sebagai cara untuk melarikan diri daripada kesedihan dan kemudian terdedah kepada kandungan yang mempunyi unsur voyeurisme, yang mendorongnya merakam video ‘upskirt’ atau dalam skirt wanita.
Lama kelamaan, ini menjadi satu tabiat, yang mana dia merakam video tersebut setiap dua atau tiga hari.
Selepas ditangkap pada 2024, dia berasa tidak berdaya dan hampir mengulangi kesalahannya.
Lelaki berusia 32 tahun itu dirujuk oleh peguamnya kepada sebuah program yang direka untuk memberikan sokongan psikologi kepada pesalah kali pertama, lapor The Straits Times.
Program Laluan bagi Kebertanggungjawapan, Perubahan dan Transformasi (Pact) dilancarkan oleh perusahaan sosial, Centre for Psychotherapy (C4P), pada Januari 2024 untuk mengisi kekosongan penting dalam sistem keadilan – campur tangan prapenghukuman, kata kaunselor kanan C4P dan pengasas Pact, Encik Gopal Mahey.
Ini merujuk kepada tempoh antara pendakwaan dan hukuman, yang boleh mengambil masa dari empat minggu hingga setahun.
“Walaupun wakil undang-undang diutamakan, kami melihat keperluan sokongan yang teratur untuk menangani faktor psikologi dan tingkah laku yang mendalam yang menyumbang kepada kesalahan,” kata Encik Gopal.
Kesalahan seksual dalam kalangan remaja boleh berpunca daripada pendedahan awal kepada pornografi, ketiadaan bimbingan, pengasingan emosi dan pengalaman buruk semasa kanak-kanak, yang membawa kepada penerimaan idea salah dari kandungan dalam talian.
Matlamat program ini adalah untuk campur tangan awal, memutuskan kitaran kesalahan, mengurangkan kesalahan berulang dan membantu usaha integrasi semula dalam masyarakat secara jangka panjang.
Encik Gopal berkata pesalah perlu memperbaiki identiti mereka dan menulis semula cerita hidup mereka, dengan sokongan psikologi dan sosial membantu mereka kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.
Pact direka untuk pesalah, terutamanya kesalahan kali pertama atau bukan melibatkan jenayah kekerasan, serta remaja dan dewasa yang menghadapi ketagihan, masalah mental atau identiti.
Pesalah dirujuk ke program ini oleh peguam dan Mahkamah Negeri untuk rehabilitasi.
Pact menawarkan terapi individu, keluarga dan sokongan dua minggu sekali, termasuk latihan menulis surat untuk memahami mangsa.
Sejak ditubuhkan, Pact telah menyokong 97 pesalah, termasuk 41 kes jenayah seksual, 25 jenayah kewangan, 19 jenayah melibatkan kekerasan, 10 penyalahgunaan dadah dan dua kesalahan trafik serta gangguan awam.
Lebih separuh daripada peserta berusia 19 hingga 29 tahun dan sekitar satu perempat berusia 30 hingga 39 tahun.
Seramai 10 daripada 97 peserta adalah wanita.
Sokongan prapenghukuman untuk pesalah tidak banyak tersedia di Singapura, dengan hanya beberapa pertubuhan menawarkan perkhidmatan ini.
Prison Fellowship Singapore mula menawarkan sokongan prapenghukuman pada 2020 dan sejak itu telah membantu 48 pesalah dan keluarga mereka.
Di bawah perkhidmatan ini, pengurus penjagaan dan pekerja sosial menyediakan pesalah kali pertama tentang apa yang boleh dijangka dari hukuman mereka dan kehidupan di penjara, termasuk bila keluarga mereka dan pengurus penjagaan dari badan amal ini boleh melawat.
Prison Fellowship Singapore juga merujuk pesalah atau keluarga mereka yang memerlukan bantuan tambahan – seperti dengan implikasi penahanan terhadap keluarga – kepada ahli psikologi yang mereka bekerjasama.
Peguam Encik James Gomez dari Edmond Pereira Law Corporation berkata beliau merujuk golongan muda dan mereka yang mempunyai ketagihan, atau faktor psikologi yang lebih mendalam yang menyumbang kepada kesalahan, kepada Pact.
Peguam Encik Kalaithasan Karuppaya dari Regent Law merujuk anak guamnya kepada Pact untuk pendekatan “holistik” dalam menyelesaikan isu mahkamah kerana beberapa masalah yang dihadapi anak guam adalah di luar kepakaran peguam.
Encik Gomez berkata laporan kaunseling klinikal dan psikoterapi yang disediakan oleh C4P mengenai pesalah juga membantu peguam untuk membawa faktor pelonggaran, seperti trauma zaman kanak-kanak, ke mahkamah, untuk memohon hukuman yang lebih ringan bagi anak guam mereka.
Beliau menambah bahawa beliau telah melihat anak guam muda yang terlibat dengan peminjam wang haram (along) keluar daripada program ini dan berkongsi cita-cita mereka untuk mencari cara lain untuk memperoleh wang – dengan membina kerjaya mereka.
Encik Kalaithasan berkata anak guam yang dirujuk untuk sokongan prapenghukuman berjaya menghindari masalah undang-undang.
“Mereka menjadi lebih berdisiplin dan menghargai bantuan yang diberikan. Setakat ini, tiada anak guam berulang.”
Encik Gopal berusaha untuk menggandakan kapasiti tahunan Pact dari 70 kepada 140 peserta dan berharap dapat mengintegrasikan Pact sebagai pilihan pemulihan nasional untuk golongan muda dan pesalah dewasa kali pertama.
Keadaan semakin baik untuk Nick, yang sedang disiasat secara forensik atas kesalahan voyeurisme dan memiliki bahan lucah.
Dia kini sedang menunggu untuk didakwa secara rasmi.
Sejak ditangkap, Nick telah menjalani terapi selama setahun, termasuk sesi kaunseling bersama ibu bapanya dan sesi kumpulan sokongan.
Sesi-sesi tersebut telah membantunya untuk menumpukan perhatian kepada ibu bapanya dan apa yang ingin dicapainya untuk dirinya sendiri.
Selain sokongan prapenghukuman, Pact juga memberikan sokongan kepada pesalah di penjara dan sehingga 12 bulan selepas mereka dibebaskan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg