Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Kadar residivisme dua tahun bagi pesalah wanita bertambah baik

Aug 5, 2024 | 8:00 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), bersama Pakar Pemulihan Pembetulan Kanan dari Perkhidmatan Penjara Singapura, Cik Chang Xin En (kanan), beramah mesra dengan seorang pesalah wanita di Institusi A4 di Kompleks Penjara Changi pada 5 Ogos.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), bersama Pakar Pemulihan Pembetulan Kanan dari Perkhidmatan Penjara Singapura, Cik Chang Xin En (kanan), beramah mesra dengan seorang pesalah wanita di Institusi A4 di Kompleks Penjara Changi pada 5 Ogos. - Foto ST

Kadar residivisme atau pengulangan jenayah dua tahun bagi pesalah wanita turun daripada 20.7 peratus kepada 15.3 peratus bagi kohort yang dibebaskan antara 2017 dan 2021.

Ini didedahkan oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa lawatannya ke Institusi A4 di Kompleks Penjara Changi, iaitu penjara wanita, pada 5 Ogos.

Kadar residivisme ditakrifkan sebagai peratusan pesalah tempatan di bawah jagaan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), yang kemudiannya ditahan atau dijatuhkan hukuman penjara dalam tempoh dua tahun selepas dibebaskan ke pangkuan masyarakat.

Menurut SPS, kadar residivisme dua tahun bagi pesalah wanita terus berkurangan sejak kohort yang dibebaskan 2016.

Semasa lawatannya ke Institusi A4, Dr Faishal beramah dengan dua kumpulan pesalah wanita yang sedang menjalani Program Pembetulan Berasaskan Psikologi (PCP), serta satu lagi kumpulan pesalah wanita yang menyertai kursus dandanan.

Menurut SPS, kedua-dua PCP dan kursus itu adalah sebahagian daripada pendekatan responsif jantina (GR) yang dijalankan Institusi A4 sejak 2016 dalam proses pemulihan pesalah wanita.

Terdapat satu kursus kulinari yang juga sebahagian daripada pendekatan GR tersebut.

Menerusi kedua-dua kursus dandanan dan kulinari, pesalah wanita boleh mengingatkan kemahiran berkaitan membuat kuih atau solekan supaya mereka boleh mendapat pekerjaan dalam bidang tersebut selepas dibebaskan nanti.

“Pendekatan GR ini telah menyumbang kepada penurunan stabil dalam kadar residivisme, dan saya gembira melihat peningkatan ketara dalam kadar residivisme untuk pesalah wanita,” kongsi Dr Faishal.

Mengulas tentang PCP pula, beliau berkata: “Kumpulan sokongan ini menyediakan ruang selamat untuk pesalah bercakap sesama sendiri dan membincangkan isu.

“Mereka merasakan SPS memahami keperluan mereka dan dapat mengenal pasti kekuatan serta kelemahan mereka.”

Menurut Pakar Pemulihan Pembetulan Kanan dari SPS, Cik Louisa Chew, amalan pembetulan yang direka bentuk untuk pesalah lelaki tidak begitu berkesan apabila diterapkan kepada pesalah wanita.

“Oleh kerana wanita sering kali adalah pengasuh utama (kepada keluarga mereka), mereka lebih cenderung mengalami masalah seperti tekanan dan isu kesihatan mental.

“Selain itu, mereka juga bimbang tentang mendapatkan kerja selepas dibebaskan... justeru mereka mempunyai keperluan khusus dan berbeza daripada pesalah lelaki,” jelas Cik Louisa.

Berkongsi pendapat sama, Pegawai Kanan di Unit Pembetulan SPS, Pegawai Pemulihan (RO) Jiawen Gan, berkata pesalah lelaki tidak mudah melahirkan perasaan berbanding pesalah wanita, dan pesalah wanita lebih cenderung untuk saling berhubung antara satu sama lain.

RO Jiawen, yang telah menjalani latihan untuk pendekatan GR, mempunyai pengetahuan khusus tentang keperluan pesalah wanita dan cara mendekati mereka.

“Sebagai contoh, saya perhatikan tingkah laku mereka dan sama ada mereka menunjukkan perubahan emosi dan dari situ, saya dapat menghulurkan nasihat yang relevan.

“Saya juga pemudah cara program befriender atau pendamping, jadi saya sering kali mendidik mereka (pesalah wanita) bagaimana untuk mendapatkan bantuan, serta cara menjaga diri mereka.

“Untuk kes-kes lain, kami merujukkan pesalah kepada doktor di Unit Pembetulan Psikiatri (PCU),” ujar RO Jiawen.

Selepas sesi PCP tamat, Dr Faishal memberi dorongan kepada SPS, rakan kongsinya, serta juga pesalah, untuk terus bekerja keras bagi mengurangkan lagi kadar residivisme lima tahun bagi pesalah wanita.

“Kami juga akan bekerja keras untuk mengembangkan Rangkaian Desistor (DN) dan pada masa yang sama, terus meneroka cara dan mengukuhkan usaha kami untuk bekerjasama dengan majikan bagi menyediakan peluang pekerjaan yang bermakna dan mampan untuk pesalah,” jelas Dr Faishal.

Desistor adalah istilah yang digunakan untuk bekas pesalah yang kekal bersih daripada kancah jenayah termasuk dadah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg