Genap 10 jam selepas bertolak dari London ke Singapura, penumpang sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) yang sedang bersiap untuk menikmati sajian sarapan tiba-tiba dikejutkan satu kejadian ngeri.
Tanpa sebarang amaran, pesawat SQ321, yang membawa seramai 211 penumpang dan 18 kru itu, tiba-tiba menjunam mendadak hingga menyebabkan barang peribadi, makanan, dan barangan lain, serta penumpang, terpontang-panting dalam kabin.
“Saya lihat penumpang di tempat duduk lain tercampak hingga tubuh badan mereka terlintang, terhentak bumbung pesawat dan kemudian terjatuh semula ke lantai,” kata seorang penumpang dari Malaysia, Encik Dzafran Azmir, 28 tahun, kepada agensi berita Reuters dalam satu wawancara selepas tiba di Singapura dinihari 22 Mei.
“Terdapat beberapa orang yang mengalami luka serius di kepala dan konkusi,” katanya sambil menambah bahawa beliau sedang duduk dan memakai tali keledar semasa kejadian itu berlaku.
Pesawat SQ321 mengalami gelora udara ekstrem apabila ia melalui Lembangan Irrawady, di Myanmar, sekitar 10 jam selepas ia berlepas dari London pada 21 Mei. Ekoran itu, juruterbang pesawat memutuskan membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand, sekitar 3.45 petang 21 Mei, waktu tempatan.
Ia menampung seramai 41 warga Singapura, sementara baki 170 penumpang lain berasal dari Ausralia, Malaysia, New Zealand, dan Britain antara lain.
Kejadian tersebut menyebabkan seorang lelaki warga Britain berusia 73 tahun meninggal dunia, ekoran serangan sakit jantung. Lebih 30 penumpang lain pula tercedera.
Mendiang dikenal pasti sebagai seorang pesara dan pengarah teater muzik, Encik Geoffrey Kitchen, yang sedang dalam perjalanan untuk bercuti bersama isterinya selama enam minggu, ke Singapura, Indonesia, Jepun dan Australia.
Berasal dari Thornbury, dekat Bristol, England, Encik Kitchen meninggalkan isterinya serta seorang anak lelaki dan perempuan, lapor media The Guardian.
Anak perempuannya, Cik Anna Proctor, menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang “sangat baik dan penyayang” sementara persatuan teater di tempat asalnya itu turut menyifatkan beliau sebagai seorang yang “baik hati dan jujur”.
Sementara itu, seramai 79 penumpang dan enam kru dari pesawat SQ321 kini berada di Bangkok, kata SIA dalam kenyataannya pagi 22 Mei. Ini termasuk mereka yang tercedera yang sedang menerima rawatan perubatan di sana, serta ahli keluarga dan orang tersayang mereka.
Seramai 131 penumpang dan 12 kru selamat tiba di Singapura sekitar 5 pagi, 22 Mei, dalam pesawat bantuan.
Gambar-gambar yang dikongsi di media sosial dan dilaporkan media menunjukkan keadaan cemas dalam kabin pesawat Boeing 777-300ER itu susulan kejadian tersebut. Pelitup oksigen kelihatan terdedah dan tergantung dari bumbung pesawat, makanan serta barang lain bersepahan di lantai.
Seorang penumpang, Encik Drew Kessler, mengongsi di Facebook gambar botol air plastiknya yang tersendat di bumbung pesawat itu ekoran kejadian tersebut.
Dalam catatannya, Encik Kessler berkata beliau mengalami keretakan pada tulang lehernya sementara isterinya mengalami kecederaan pada tulang belakangnya.
Meskipun dalam “kesakitan parah” dan sedang dirawat di sebuah hospital di Bangkok, beliau berkata keluarganya itu “baik-baik saja” dan anak-anaknya tidak cedera.
Wartawan Berita Harian (BH) telah meninjau keadaan di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi, sejak sekitar 9 malam, 21 Mei, untuk mendekati anggota keluarga penumpang yang terjejas.
Pada 5 pagi 22 Mei, beberapa anggota keluarga dan kenalan terdekat kumpulan pertama seramai 131 penumpang dan 12 kru SQ321 itu mula berkumpul di dewan ketibaan yang dikepung khas untuk menyambut ketibaan orang tersayang mereka itu.
Pesawat dari Bangkok itu selamat mendarat di sini sekitar 5.05 pagi dan penumpang dilihat mula berjalan keluar dari dewan ketibaan antara 5.15 dengan 6 pagi, diiringi kakitangan SIA.
Pelukan dan tangisan juga dilihat apabila penumpang bertemu semula dengan orang tersayang.
Bercakap kepada BH, Encik Amri Wari, seorang pemandu peribadi yang ditugas untuk menyambut ketibaan anak majikannya yang menaiki SQ321, berkata beliau diberitahu anak majikannya itu berada di United Kingdom untuk menonton perlawanan bola sepak terakhir Liverpool bersama pengurus mereka Juergen Klopp di Anfield.
“Apa yang sepatutnya satu pengalaman manis baginya kini menjadi pengalaman yang agak ngeri,” kata Encik Amri, 68 tahun, sambil menambah bahawa anak majikannya itu merupakan seorang usahawan.
“Mujur beliau selamat tetapi saya diberitahu beliau tercampak hingga tiga kerusi di depannya dalam pesawat,” tambahnya.
Seorang lelaki berusia 56 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Chiew, berkata kepada wartawan bahawa anak lelaki sulungnya berusia 22 tahun berada dalam pesawat terjejas bersama temanitanya.
“Saya tidak pasti apa yang saya patut rasakan sekarang, dan saya kira yang paling penting adalah untuk memberi anak saya ruang untuk berehat,” kata ayah dua anak itu.
Dalam kenyataannya yang disampaikan menerusi video pada pagi 22 Mei, Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Encik Goh Choong Phong, berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Bantuan juga akan terus dihulurkan kepada anggota keluarga penumpang pesawat terjejas itu, katanya.
“Sekali lagi kami memohon maaf kepada semua yang terjejas akibat kejadian ini,” ujar beliau.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa SIA bersedia menghulurkan bantuan untuk menyokong anda pada tempoh yang mencabar ini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg