Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suasana Lapangan Terbang Changi tenang di sebalik insiden pesawat SIA bergelora, korbankan penumpang

May 22, 2024 | 12:09 AM
Pesawat penerbangan SQ321 dijadualkan mendarat pada 6.10 petang pada 21 Mei, sebelum ia terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 3.45 petang.
Pesawat penerbangan SQ321 dijadualkan mendarat pada 6.10 petang pada 21 Mei, sebelum ia terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 3.45 petang. - Foto BH oleh KHALID BABA

Suasana di Lapangan Terbang Changi tenang dan terkawal ketika kunjungan wartawan ke sana sekitar 10 malam, di sebalik insiden pesawat Singapore Airlines yang mengalami gelora udara dan mengorbankan seorang penumpang Britain.

Ini meskipun pegawai keselamatan yang dilihat terus meronda kawasan itu di mana pesawat yang membawa para penumpang SQ 321 yang terselamat dijadualkan mendarat.

Di dewan pelepasan, lantai dua, Terminal 2 Lapangan Terbang Changi, beberapa papan nota dengan tanda SQ321 selain arahan untuk ke kawasan meninjau di lantai tiga terminal itu – dipercayai bagi keluarga para mangsa.

Kelihatan para pegawai keselamatan, kakitangan lapangan terbang, dan anggota keluarga sedang berkumpul di kawasan galeri meninjau di lantai tiga itu.

Dipercayai anggota keluarga masih menantikan khabar lanjut mengenai orang-orang tersayang yang merupakan penumpang dalam pesawat itu.

Apabila wartawan meninjau kawasan lantai tiga itu sehingga tengah malam, kelihatan kawasan tersebut sudah dikepung dan dikawal beberapa pegawai polis serta kakitangan lapangan terbang. Terdapat seramai dua hingga tiga pegawai yang dilihat sedang meronda di kawasan itu.

Wartawan cuba menghampiri seorang lelaki yang mengesahkan kepada Berita Harian bahawa beliau seorang anggota keluarga penumpang pesawat SQ321, namun wartawan tidak dibenarkan melakukan sebarang temuramah oleh pegawai keselamatan yang memantau kawasan tersebut dengan ketat.

Pihak media juga kelihatan berkumpul bersama kamera mereka di dewan pelepasan dan dewan ketibaan sekitar 10.30 malam pada 21 Mei.

Demikian keadaan setelah Singapore Airlines (SIA) memaklumkan bahawa pesawat SQ321 yang sedang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Heathrow di London menuju Singapura telah dilencongkan ke Bangkok untuk pendaratan cemas ekoran keadaan gelora udara (turbulence) kuat.

Seorang lelaki Britain berusia 73 tahun terkorban dan 30 lagi penumpang dilaporkan cedera, termasuk tujuh yang mengalami cedera parah, dan sembilan kru pesawat yang turut dibawa ke hospital.

Singapore Airlines telah menghantar 50 kakitangan untuk menyokong penumpang-penumpang yang terjejas, ke Bangkok.

Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) di bawah Kementerian Pengangkutan berkata ia sedang menyiasat insiden SQ321.

“TSIB sedang berhubung dengan rakan sejawatannya dari Thailand dan akan mengerahkan penyiasat ke Bangkok,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada 21 Mei.

Singapore Airlines telah mengesahkan bahawa 41 daripada 211 penumpang dan 18 kru di dalam pesawat yang terjejas itu merupakan warga negara Singapura.

Penumpang yang lain termasuk:

  1. 56 dari Australia
  2. 2 dari Kanada
  3. 1 dari Jerman
  4. 3 dari India
  5. 2 dari Indonesia
  6. 1 dari Iceland
  7. 4 dari Ireland
  8. 1 dari Israel
  9. 16 dari Malaysia
  10. 2 dari Myanmar
  11. 23 dari New Zealand
  12. 5 dari Filipina
  13. 1 dari Korea Selatan
  14. 2 dari Sepanyol
  15. 47 dari United Kingdom
  16. 4 dari Amerika Syarikat

Menurut laporan The Straits Times sekitar 11 malam, pesawat SQ321 mengalami keadaan gelora udara teruk secara tiba-tiba di atas Lembangan Irrawaddy.

Dalam satu catatan kemas kini di Facebook, Singapore Airlines berkata SQ 321 mengalami keadaan gelora udara teruk secara tiba-tiba di Lembangan Irrawaddy di Myanmar pada ketinggian 37,000 kaki kira-kira 10 jam selepas ia berlepas.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan sebelum melencongkan pesawat ke Bangkok, dan mendarat pada 3.45 petang waktu tempatan, tambah SIA.

Kakitangan kanan hospital mengesahkan bahawa seramai 71 penumpang telah dibawa ke Hospital Samitivej Srinakarin, kata ketua biro Indochina, The Straits Times, Cik Tan Hui Yee, sekitar 11.15 malam.

Enam penumpang cedera parah, 39 cedera sederhana dan 26 cedera ringan, serta ada yang perlu menjalani pembedahan malam ini, tambah kakitangan hospital tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg