Topik diikuti
Pergi ke BHkuTercicir sekolah tak patah semangat belia, kini azam jadi penerbit muzik
Berjaya bangkit semula setelah ikuti laluan pembelajaran alternatif di Starfish Singapore hingga peroleh Diploma dalam Penerbitan Audio dari Maktab Seni Lasalle
Tercicir sekolah tak patah semangat belia, kini azam jadi penerbit muzik
Sedang Cik Nur Syafizan Mohamed Rasid membuat perjalanan untuk ke ‘kelas’ pertama di pertubuhan akar umbi bagi pelajar tercicir dari sekolah, Starfish Singapore, setelah setahun tidak keluar rumah, beliau tiba-tiba diserang perasaan panik yang mencengkam.
Rasa resah, takut dan bimbang menyelubungi diri Cik Syafizan, yang setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke luar rumah, kini terpaksa menaiki pengangkutan awam untuk ke ‘sekolah’.
Dalam keadaan panik itu beliau terperuk di satu sudut di stesen MRT Queenstown.
Dengan pantas, beliau menelefon ibunya untuk menjemputnya pulang agar tidak lagi dikerumuni orang ramai – satu keadaan yang menggerunkan buatnya.
Meskipun kejadian tersebut berlaku pada 2019, ia telah meninggalkan kesan mendalam kepada diri Cik Syafizan, yang kini berusia 25 tahun.
Serangan panik itu mendorong Cik Syafizan, anak ketiga empat beradik, untuk mendapatkan bantuan kesihatan mental buat kali pertama.
Demikian dinyatakan oleh Cik Syafizan, ketika ditemui Berita Harian (BH) di pusat beli-belah Anchorpoint pada 2 November.
Hari pertama di Starfish merupakan lembaran baharu bagi diri Cik Syafizan untuk memulakan perjalanan dalam laluan alternatif bagi mendapatkan pendidikan.
Beliau akur perlu membuat keputusan sukar untuk berhenti sekolah pada sekitar 2018.
Ketika itu, beliau merupakan pelajar Menengah 3 di Sekolah Menengah Queensway.
“Saya terpaksa mengulangi Menengah 2 sebanyak dua kali sebelum berjaya naik ke Menengah 3.
“Waktu itu saya ingat saya rasa amat buntu dan serba kehilangan kerana saya tidak tahu apa yang ingin saya capai dalam hidup saya, sehingga membuat saya tertekan.
“Bila terpaksa membuat keputusan (berhenti sekolah), memang sangat susah kerana rasa seperti saya sedang ‘musnahkan’ hidup saya, seperti tidak ada jalan langsung untuk saya berjaya sebab saya berhenti sekolah,” cerita Cik Syafizan, yang dibesarkan oleh seorang ibu tunggal.
Justeru, beliau dipadankan dengan seorang pekerja sosial dari Perkhidmatan Kanak-Kanak dan Belia Shine, satu pertubuhan kebajikan berdaftar dan agensi perkhidmatan sosial tidak mencari untung, oleh pihak sekolahnya, agar dapat membimbing dirinya.
Menurut Cik Syafizan, beliau terhutang budi dengan pekerja sosial itu, yang telah memperkenalkannya kepada Starfish.
Di situ, beliau mendapat bimbingan dan membina keyakinan diri untuk menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’ pada 2019 sebagai calon persendirian.
Jadual Cik Syafizan di Starfish berbeza dengan institusi pendidikan aliran utama seperti sekolah menengah.
Beliau hanya perlu menghadiri ‘sekolah’ seminggu sekali pada Isnin dari 9 pagi hingga sekitar 1 petang, selama 10 bulan bermula dari awal tahun sehingga masa menduduki peperiksaan pada akhir tahun.
Di ‘sekolah’ Starfish, kelas dibahagikan kepada tiga mata pelajaran, Inggeris, Matematik dan Sains, selain kegiatan sampingan yang bertujuan membina keyakinan diri, belajar mengawal emosi dan juga berinteraksi dengan pelajar lain dalam satu komuniti yang terbuka.
Jika sebelum ini Cik Syafizan cenderung menyendiri, kini, beliau telah keluar dari kepompongnya dan secara perlahan belajar menjalin hubungan persahabatan dengan orang lain.
Setelah lulus dari Starfish, Cik Syafizan berjaya melangkah masuk ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat, sebelum melanjutkan pengajian untuk mendapatkan Diploma dalam Penerbitan Audio dari Maktab Seni Lasalle.
Beliau lulus daripada maktab seni itu pada Ogos 2026.
Kini, Cik Syafizan sedang mengorak langkah untuk menjadi seorang penerbit muzik tempatan.
Meski perjalanan mendapatkan segulung diploma dipenuhi onak dan duri, Cik Syafizan bersyukur adanya laluan alternatif untuk remaja sepertinya yang mungkin mendapati kesukaran untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran sekolah tertentu dan perlukan lebih banyak masa.
“Hidup ini cuma sekali, jangan sia-siakannya buat perkara yang kita tidak suka.
“Kita perlu yakin pada diri sendiri dan percaya bahawa kita akan sentiasa bangkit semula, walaupun kita mungkin hadapi kegagalan,” nasihat beliau.
“
“Saya terpaksa mengulangi Menengah 2 sebanyak dua kali sebelum berjaya naik ke Menengah 3. Waktu itu saya ingat saya rasa amat buntu dan serba kehilangan kerana saya tidak tahu apa yang ingin saya capai dalam hidup saya, sehingga membuat saya tertekan. Bila terpaksa membuat keputusan (berhenti sekolah), memang sangat susah kerana rasa seperti saya sedang ‘musnahkan’ hidup saya, seperti tidak ada jalan langsung untuk saya berjaya sebab saya berhenti sekolah.”