Masih jelas di ingatan mantan kakitangan Mercy Relief, Cik Juliah Bee Abdul Latiff, apabila beliau berada di Meulaboh, Aceh, untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan hanya beberapa minggu selepas kawasan itu dibadai tsunami dua dekad lalu.
Terketar-ketar suara Cik Juliah apabila mengimbas bagaimana beliau kerap melihat pak cik-pak cik berjalan di pesisir pantai setiap petang, sambil mengais tanah di tempat yang mana rumah mereka pernah berdiri sebelum ianya hancur musnah dihanyut air deras.
Dua dekad kemudian, pesisir pantai yang sebelumnya dikais mangsa tsunami itu kini menjadi destinasi riadah untuk pelancong dan juga warga Meulaboh yang kian pulih.
Perubahan itu menggambarkan bagaimana Aceh dan warganya telah bangkit daripada bencana yang membawa kemusnahan besar-besaran dan meragut ribuan nyawa dalam peristiwa pada 26 Disember 2004 itu.
Cik Juliah, mantan pegawai perhubungan Mercy Relief yang selalunya ceria, tidak dapat menahan perasaannya apabila kembali ke Pantai Ujung Karang di Meulaboh bersama pasukan Berita Minggu (BM) pada 8 Disember lalu.
Warga Singapura itu, yang dikerahkan ke Meulaboh pada minggu ketiga Januari 2005 pada usia 28 tahun, menggambarkan perasaan kagum dan seolah-olah tidak percaya bahawa Aceh telah melalui perubahan sangat ketara.
Beliau sendiri telah berpangkalan di Meulaboh selama hampir lima tahun dari 2005 hingga 2009, untuk memberi bantuan kepada mereka yang terjejas oleh kemusnahan bencana untuk membina semula kehidupan mereka.
Sambil memandang ke arah Pantai Ujung Karang, Cik Juliah, kini seorang pekerja sosial perubatan berusia 48 tahun, berkata:
“Sebelum ini, saya berkesempatan pulang (ke Aceh) pada 2009 di mana saya mengucap selamat tinggal kepada Meulaboh, tapi kali ini saya tidak mahu katakan selamat tinggal.
“Saya sangat bersyukur dapat bertemu dengan ramai sekali teman-teman Indonesia yang sangat luar biasa... mencurah keringat membantu warga di bandar ini, di samping membantu mencorak saya serta pandangan hidup saya pada hari ini,” ujarnya.
Sepanjang lima tahun di Aceh, beliau bekerjasama dengan warga setempat dan badan bukan pemerintah (NGO) dalam usaha membangunkan semula kawasan dan kehidupan yang ranap dek bencana tersebut.
“Pengalaman itu membantu menguatkan semangat saya... minda saya serta pegangan hidup saya untuk menjadi insan yang lebih berguna kepada masyarakat di sekeliling saya.
“Pengalaman di Aceh telah memperkayakan kehidupan saya dan membantu saya menghadapi cabaran dengan tenang,” ujarnya, yang bakal berumahtangga pada 2025.
Aceh adalah tempat yang dipenuhi dengan kenangan indah dan ikatan yang utuh, walaupun Cik Juliah menghabiskan lebih 10 jam sehari selama hampir lima tahun dalam beberapa operasi pemulihan dan pembinaan semula pasca bencana di ‘Serambi Makkah’ itu.
Antaranya, merupakan projek Mercy Relief Singapura untuk membina semula rumah anak yatim dan Sekolah Muhammadiyah, projek pembinaan rumah bersama Habitat for Humanity serta projek meningkatkan kebersihan bersama Organisasi Tandas Dunia.
Dalam membantu memulihkan semula prasarana di Aceh, Cik Juliah berpeluang menjadi saksi kepada kekuatan dan daya tahan warga setempat.
“Saya kagum melihat daya tahan mereka walaupun berada di kawasan yang kerap dilanda bencana alam.
“Saya kagum sehingga hari ini... ini mungkin kerana mereka telah dibesarkan dan melaluinya sejak kecil di kota sebegitu, secara semula jadi menjadikan mereka lebih berdaya tahan.
“Di sekolah, mereka diajar cara bertindak apabila berlakunya bencana... apa yang perlu dilakukan jika dilanda gempa,” kongsi beliau kepada BM.
Menurutnya lagi, kekuatan penduduk Aceh mungkin sebahagian besarnya terletak pada pegangan agama yang teguh.
“Mereka mempunyai pegangan agama yang sangat kuat dengan sebahagian besar kehidupan mereka berteraskan kepada agama.
“Saya lihat mereka sangat menerapkan prinsip agama dalam kehidupan harian mereka dan mungkin itu salah satunya cara mereka begitu kuat untuk meneruskan kehidupan mereka.
“Walaupun mereka melalui bermacam bencana, mereka akur segala itu adalah ketentuan Allah. Mereka reda menerimanya dan berusaha bangkit semula,” kata Cik Juliah.
Beliau turut terkesan melihat bagaimana kanak-kanak yang telah menjadi yatim piatu dengan sekelip mata masih ceria menjalani kehidupan mereka tanpa anggota keluarga.
Golongan dewasa yang kehilangan segala orang tersayang serta harta benda juga tidak mudah berputus asa dan bijak mencari sumber pendapatan alternatif seperti menjalankan bisnes jualan kecil-kecilan ataupun meningkatkan kemahiran.
Jika dahulu mereka bekerja sebagai nelayan, petani atau penternak, pasca bencana menyaksikan ada di kalangan mereka menjadi tukang binaan pula.
Walaupun beliau melihat orang Aceh berdiri teguh, adakalanya Cik Juliah berasa beliau sendiri tidak dapat menunjukkan tahap ketabahan yang sama.
“Memang pada mulanya saya tidak pernah terfikir tentang diri saya kerana terlalu sibuk setiap hari.
“Tapi saya masih ingat detik sekitar dua atau tiga bulan setelah saya sampai sana, tiba-tiba terasa tidak dapat membendung perasaan saya.
“Ketika itu saya terasa perlu menangis untuk mengeluarkan segala sebak dan perasaan sedih melihat nasib malang penduduk Aceh yang terbuku dalam hati ini,” jelasnya.
Melihat perubahan di Aceh hari ini, Cik Juliah melahirkan rasa kagumnya mengenai daya tahan luar biasa warga Aceh untuk bangkit kembali.
“Aceh itu sebuah wilayah yang sungguh luar biasa, hebat dari segi warganya dan juga sumber-sumber daya alami yang mereka ada.
“Mereka sangat serba boleh dan sangat bijak... menyesuaikan diri dalam keadaan serba kekurangan untuk terus berdikari sekalipun berhadapan pelbagai rintangan,” tambah Cik Juliah.
Di akhir temu bual dengan BM di pesisir pantai tersebut yang suatu ketika dahulu menyaksikan kemusnahan tetapi kini antara lambang kekuatan Aceh, Cik Juliah, dengan air matanya berlinangan di pipi, sempat berkata:
“Kehadiran saya kali ini bukan juga detik saya mengucapkan selamat tinggal Aceh... (sebaliknya) ini merupakan detik bagi saya ucap sampai kita bertemu lagi.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg