JAKARTA: Lebih 110 pelarian Rohingya tiba di pantai di Aceh, Indonesia pada 30 November selepas bot mereka hampir tenggelam, kata pegawai agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pemerintah tempatan.
Rohingya yang majoritinya Muslim, berasal dari Myanmar dan merupakan golongan terbesar penduduk tanpa kerakyatan.
Mereka biasanya melarikan diri daripada keadaan miskin di kem pelarian dengan menaiki bot yang rapuh ke Thailand atau Indonesia dan Malaysia antara Oktober dengan April, apabila laut lebih tenang.
Sekitar 400 orang Rohingya tiba dengan bot di Aceh dan Sumatera Utara pada Oktober.
Jumlah mereka yang tiba melalui laut di Indonesia juga kian meningkat.
Kebanyakan pelarian Rohingya yang tiba di Aceh pada 30 November merupakan wanita dan kanak-kanak.
Mereka dibawa ke darat selepas bot mereka menghadapi masalah, kata seorang pegawai pemerintah daerah Aceh Timur, Encik Syamsul Bahri, menurut agensi berita Indonesia, Antara.
“Mereka diselamatkan oleh nelayan kerana bot yang mereka naiki didakwa mengalami kerosakan dan hampir tenggelam,” kata Encik Syamsul.
Seorang pegawai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Encik Faisal Rahman, berkata sejumlah 116 pelarian telah mendarat di daerah Birem Bayeun, Aceh Timur.
Hampir 1 juta orang Rohingya tinggal di kem-kem pelarian di Bangladesh yang juga dikenali sebagai kem pelarian kemanusiaan terbesar di dunia.
Di Myanmar yang kebanyakan penduduknya merupakan penganut agama Buddha, masyarakat Rohingya dianggap sebagai pendatang asing dari Asia Selatan dan dinafikan kewarganegaraan serta dikenakan penderaan.
Data UNHCR menunjukkan lebih 2,000 pelarian Rohingya tiba di Indonesia pada 2023, jumlah yang lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan ketibaan golongan itu di negara tersebut sepanjang empat tahun dari 2019 hingga 2022.
Indonesia, yang tidak menandatangani konvensyen pelarian PBB, berkata mereka tidak mempunyai keupayaan untuk menampung pelarian, dan kehadiran Rohingya di Indonesia juga telah membuat sesetengah penduduk tempatan rasa kecewa dengan jumlah mereka yang memasuki negara itu yang kian bertambah. -Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg