Nama bintang pop, Taylor Swift, kerap muncul dalam kelas yang dikendalikan oleh guru Bahasa Inggeris, Cik Siti Zaleha Sharip.
Contohnya, Cik Siti menggunakan lirik, nightmare dressed like a daydream daripada lagu popular Swift, Blank Space, untuk menerangkan soalan kefahaman berkenaan frasa yang ‘tidak biasa digunakan namun berkesan’.
“Kami mahu mereka tahu bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa sejagat,” kata Ketua Jabatan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Spectra, Cik Siti, 51 tahun.
Beliau mahu pelajarnya mampu bertutur dengan yakin dan menggunakan bahasa Inggeris dengan baik.
Keupayaan Cik Siti menjadikan bahasa Inggeris mudah difahami dan boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian adalah kunci kejayaan beliau dalam merangkul Anugerah Guru Bahasa Inggeris Berinspirasi 2025 pada 1 Oktober, bersama tujuh penerima lain.
Anugerah edisi ke-18 itu mengiktiraf guru-guru yang telah berusaha sedaya upaya menanam minat dan kecintaan para pelajar terhadap bahasa Inggeris.
Anugerah itu disampaikan Gerakan Bertutur Bahasa Inggeris Yang Baik (SGEM) dan The Straits Times (ST), dengan sokongan Kementerian Pendidikan (MOE).
Majlis penganugerahan itu diadakan di Teater Oldham di Arkib Negara.
Tetamu terhormat majlis anugerah tersebut, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, menekankan peranan penting guru dalam menangani cabaran dan perkembangan dalam “dunia yang semakin rumit dan membimbangkan”.
“Guru-guru kita membawa sentuhan manusiawi yang amat penting dalam pengajaran, bimbingan, dan pembentukan kebolehan yang tidak boleh ditiru oleh kecerdasan buatan (AI).
“Sebagai guru Bahasa Inggeris, anda memainkan peranan penting dalam hal ini.
“Anda bukan sekadar mengajar kosa kata dan tatabahasa supaya pelajar dapat menerima dan memproses maklumat; anda mengajar pelajar untuk mengemukakan soalan secara kritikal, membezakan antara fakta dengan rekaan, antara kebenaran dengan kepalsuan, serta antara ketulenan dengan buatan.
“Dalam zaman sarat dengan maklumat, anda mengajar penilaian kritikal dan kebijaksanaan dalam menilai maklumat,” kata Encik Lee.
Editor ST, Cik Jaime Ho, berkata: “Di sebalik segala cabaran, pengawasan dan tekanan baru yang dihadapi para guru kita, ia amat mengagumkan bahawa mereka dapat terus memberi inspirasi serta memainkan peranan amat penting dalam masyarakat kita.
“Melalui acara tahunan ini, kami telah berusaha tahun demi tahun untuk mengiktiraf guru-guru Bahasa Inggeris yang memberi inspirasi. Mereka amat diperlukan pada masa kini.”
Anugerah itu disampaikan dalam dua kategori.
Pertama, kategori pengajaran, untuk guru-guru yang telah menunjukkan kepakaran mereka dalam Bahasa Inggeris, Kesusasteraan, dan Kertas Am.
Kedua, kategori kepimpinan, untuk ketua mata pelajaran atau ketua jabatan yang telah memimpin pembangunan dan pelaksanaan program Bahasa Inggeris yang berkesan di sekolah masing-masing.
Seramai 151 guru telah diiktiraf sejak anugerah tersebut diperkenalkan pada 2008.
Para pemenang menerima trofi, sijil dan hadiah wang tunai.
Semua pemenang dan calon turut menerima keahlian Persatuan Linguistik Gunaan Singapura (SAAL) selama setahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg