Seorang pekerja Bangladesh sedang berbasikal pulang ke rumah selepas membeli makan tengah hari apabila beliau ternampak orang ramai sedang berkumpul di bawah Blok 350C Canberra Road, kebanyakannya mengeluarkan telefon bimbit, mengambil gambar dan video.
Menurut saksi, pekerja yang hanya dikenali sebagai Encik Jahir, 34 tahun cemas melihat seorang budak lelaki berusia tiga tahun berdiri di birai luar tingkat tiga flat itu, tegak berdiri.
Pada 25 Oktober, Encik Jahir, seorang pemandu lori yang sudah berada di Singapura selama lebih 16 tahun, adalah salah seorang daripada dua lelaki yang dianugerahkan Anugerah Penyelamat Komuniti Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) kerana usaha mereka menyelamatkan budak itu.
Klip video kanak-kanak yang terselamat itu tular setelah dikongsi warga net.
Pada 20 Oktober, budak berumur tiga tahun itu sedang berdiri di birai luar tingkap sebuah unit tingkat tiga flat itu kira-kira jam 11.50 pagi, dan menarik perhatian beberapa orang yang berlalu di situ.
Encik Jahir, yang bekerja untuk sebuah syarikat kilang kertas, sedang berbasikal ke rumahnya yang berhampiran apabila beliau menyedari orang ramai berkumpul dan melihat kanak-kanak itu berdiri dalam keadaan bahaya.
Kata Encik Jahir: “Saat saya melihatnya, saya teringat anak saya yang berusia tujuh tahun di Bangladesh. Saya hanya mahu menyelamatkan budak itu. Tidak boleh buang masa. Saya bimbang dia terjatuh.”
Encik Jahir bergegas menaiki tangga ke tingkat tiga untuk mengetuk pintu rumah pangsa itu. Beliau menumbuk pintu, menjerit dan membunyikan loceng pintu, tetapi tidak mendapat jawapan. Merasa kecewa, Encik Jahir panjat ke atas birai untuk menyelamatkan budak itu.
Encik Jahir melihat empat orang memegang selimut di bawah blok itu, bersedia untuk menangkapnya sekiranya dia jatuh.
Ketika itulah pekerja Myanmar, Encik Sa Thu Ya Aung, seorang tukang cat, berusia 26 tahun dari Surface Solutions, mendekatinya.
Encik Thu Ya sedang dalam perjalanan ke acara gereja apabila beliau melihat kekecohan itu.
Beliau teringatkan dua anak saudara lelaki berusia empat dan enam tahun apabila melihat budak itu.
Encik Thu Ya berkata: “Saya membayangkan anak saudara dalam situasi itu. Saya mahu seseorang menyelamatkan mereka.”
Kedua-dua lelaki membuat rancangan.
Memandangkan Encik Jahir lebih tinggi, beliau akan mengangkat Encik Thu Ya ke birai tingkat dua. Kemudian, Encik Thu Ya membantu Encik Jahir naik.
Kemudian, Encik Jahir mengangkat Encik Thu Ya ke birai tingkat tiga, sambil kekal di tingkat dua untuk menangkap Encik Thu Ya sekiranya beliau terjatuh.
Encik Thu Ya memeluk dinding sambil menghampiri budak itu perlahan-lahan, khuatir pergerakan secara tiba-tiba boleh menakutkan kanak-kanak itu dan menyebabkannya tergelincir.
Birai itu hanya lebih lebar sedikit daripada kakinya, tetapi Encik Thu Ya tidak gentar.
Beliau berkata: “Saya sangat takut untuk budak lelaki itu, saya tidak boleh takut untuk diri saya sendiri. Sebenarnya, saya lebih gementar kerana orang ramai sedang memerhati saya.”
Apa yang menyukarkan operasi menyelamat adalah ‘penonton’ yang berasa cemas di bawah dan menjerit kepada mereka supaya berhati-hati, dan mengambil gambar dan video.
Selepas mencapai anak kecil itu, Encik Thu Ya memegangnya dalam pelukannya.
Beliau teringat: “Budak lelaki itu sangat ketakutan, tangannya sejuk, dan dia berpegang erat pada bahu saya.”
Salah satu tingkap flat itu terbuka sedikit, jadi Encik Thu Ya meletakkan budak itu di dalam unit.
Akhbar The Straits Times melaporkan sebelum ini bahawa Encik Thu Ya mendapati seorang dewasa di dalam.
Encik Jahir membantunya turun ke tingkat dua, sebelum mereka turun ke tingkat bawah.
Pada 25 Oktober, kedua-dua lelaki itu dipuji di Bahagian SCDF ke-3 di Taman Perindustrian Yishun A atas keberanian mereka.
Anugerah Penyelamat Komuniti SCDF disampaikan kepada orang awam dengan tindakan mereka melibatkan unsur risiko diri dan/atau menyumbang kepada menyelamatkan nyawa.
Encik Jahir berkata: “Anugerah itu hanyalah bonus. Ganjaran sebenar ialah saya dapat menyelamatkan budak itu.”
Pada 25 Oktober lepas, polis berkata seorang wanita berusia 25 tahun sedang membantu siasatan berhubung kes kecuaian.
Komander SCDF Lim Beng Hui Lim berkata: “Saya amat berbesar hati dengan keberanian Encik Thu Ya dan Encik Jahir, yang tindakan berani dan tindak balas pantas mereka menyelamatkan nyawa yang berharga. Saya berharap tindakan mereka yang berjiwa awam akan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk tampil ke hadapan dan memberikan bantuan kepada orang lain yang dalam kesusahan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg