Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenumpang terkilan tiada pemberitahuan awal penerbangan Firefly dibatal akibat jerebu
Semua penerbangan Firefly antara Seletar dengan Subang dibatal 10-12 Okt
Penumpang terkilan tiada pemberitahuan awal penerbangan Firefly dibatal akibat jerebu
Hasrat Encik Abdul Rohim Sarip sekeluarga untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu rapatnya di Malaysia tergendala apabila penerbangan Firefly dari Lapangan Terbang Seletar dibatalkan akibat jerebu.
Beliau yang tiba di lapangan terbang sekitar 3 petang pada 10 Oktober, hanya dimaklumkan setibanya di sana, mengenai pembatalan penerbangan beliau yang dijadual berlepas pada 4.35 petang.
Kakitangan syarikat penerbangan berkenaan turut menyerahkan surat rasmi bagi mengesahkan pembatalan penerbangan Firefly ke Subang, Malaysia, yang dipercayai akibat jerebu.
Dalam notis pembatalan penerbangan yang diterima Encik Abdul Rohim dan dilihat oleh Berita Harian (BH), syarikat penerbangan Firefly menyatakan semua penerbangan dari Seletar ke Subang yang dijadual berlepas pada 10 Oktober dibatalkan akibat “keadaan jerebu yang semakin buruk” dan “jarak penglihatan yang rendah”.
“Saya tiba di Lapangan Terbang Seletar pada 3 petang untuk penerbangan saya pada 4.35 petang, tetapi diberitahu oleh seorang kakitangan di tempat menurunkan penumpang bahawa penerbangan itu dibatalkan akibat jerebu.
“Ia amat mengecewakan, Kalaulah mereka menelefon atau menghantar SMS (Khidmat Pesanan Ringkas), saya pasti dapat merancang hari saya dengan lebih baik,” ujar beliau, yang berada di Malaysia semasa dihubungi BH.
Encik Rohim yang juga Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), merupakan antara penumpang yang terjejas akibat pembatalan semua penerbangan Firefly antara Lapangan Terbang Seletar dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dari 10 hingga 12 Oktober susulan keadaan jerebu.
Penerbangan Encik Abdul Rohim, FY3131, dari Seletar ke Subang yang dijadual berlepas pada 10 Oktober merupakan antara penerbangan yang dibatalkan.
Beliau kemudian menaiki penerbangan alternatif Malaysia Airlines (MAS) dari Lapangan Terbang Changi pada 6.15 petang.
Menurut beliau, Firefly menawarkan bayaran balik kos pengangkutan dari Seletar ke Changi serta dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke hotelnya.
Dalam pada itu, penerbangan pulangnya ke Singapura, FY3128, yang dijadualkan pada 12 Oktober, turut terjejas apabila Firefly memaklumkan menerusi e-mel bahawa penerbangan itu dijadualkan semula ke 13 Oktober pada 9.05 pagi, dari KLIA ke Lapangan Terbang Changi.
“Penerbangan pada 13 Oktober itu disahkan tersedia, tetapi saya ingin pulang ke Singapura esok (12 Oktober) kerana perlu menghadiri urusan di mahkamah,” kata Encik Abdul Rohim, seorang peguam.
Menurutnya, beliau masih meneliti pilihan penerbangan lain dan menunggu maklum balas Firefly.
Menurut seorang jurucakap Firefly, penumpang yang terjejas dipindahkan ke penerbangan MAS antara KLIA dengan Lapangan Terbang Changi, tertakluk pada ketersediaan tempat duduk.
Jurucakap itu menambah, penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan menerusi penerbangan yang dijadualkan semula layak menerima bayaran balik penuh.
Bayaran balik itu akan diproses dan dikreditkan semula kepada kaedah pembayaran asal dalam tempoh 30 hari bekerja.
“Pembatalan ini dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan, dengan mengutamakan keselamatan operasi dan kepastian perjalanan, di samping meminimumkan kemungkinan gangguan dan kesulitan kepada penumpang,” katanya.
Keadaan jerebu terus menyelubungi Singapura dan Malaysia pada 11 Oktober.
Sehingga 6 petang pada 11 Oktober, Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di Singapura adalah 112-155, iaitu pada paras ‘tidak sihat’.