Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terminal Feri HarbourFront pindah ke tapak sementara separuh kedua 2026

Buka laluan bagi Pusat HarbourFront dibangun semula oleh firma hartanah Mapletree Investments
Sep 10, 2025 | 4:43 PM
Terminal Feri HarbourFront, Mapletree Investments
Terminal sementara yang terletak bersebelahan dengan Terminal Penumpang HarbourFront sedia ada sedang dibina dan dijangka mula beroperasi sekitar separuh kedua 2026. - Foto ST

Operasi feri dan kapal persiaran di Terminal Penumpang HarbourFront akan dipindahkan ke terminal sementara baru pada sekitar separuh kedua 2026, menurut pengendali terminal, Pusat Pelayaran Singapura, pada 9 September.

Dalam kenyataan kepada The Straits Times (ST), pusat berkenaan berkata langkah itu membuka laluan untuk Pusat HarbourFront dibangunkan semula oleh pemiliknya, firma hartanah, Mapletree Investments.

Terminal antarabangsa itu telah beroperasi di Pusat HarbourFront sejak 1992.

Ketua Eksekutif Singapore Cruise Centre, Cik Jacqueline Tan, berkata terminal sementara yang terletak bersebelahan dengan terminal sedia ada itu sedang dibina dan dijangka mula beroperasi sekitar separuh kedua 2026.

Berdasarkan semakan oleh ST, kerja pembinaan telah bermula pada 2024 dan dijadualkan selesai pada Disember 2025.

Terminal sedia ada itu menjadi tempat pelabuhan persinggahan kapal persiaran antarabangsa dan menawarkan perkhidmatan feri ke pulau Indonesia seperti Batam dan Karimun.

Singapore Cruise Centre – yang dimiliki oleh Mapletree Investments – juga mengendalikan terminal feri di Tanah Merah dan Pasir Panjang.

Mapletree Investments dimiliki sepenuhnya oleh syarikat pelaburan Singapura, Temasek. 

Sejak 2023, Mapletree telah mendapat kebenaran sementara daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk membangunkan semula Pusat HarbourFront seluas 97,700 meter persegi itu.

Tapak yang akan dibangunkan semula itu dijangka mempunyai keluasan lantai seluas 101,326 meter persegi untuk ruang pejabat dan 42,000 meter persegi untuk ruang runcit.

Pada September 2023, Mapletree menerima kebenaran daripada URA untuk membina terminal sementara itu, dan dinyatakan bahawa ia boleh beroperasi sehingga 11 September 2033 sebelum dirobohkan.

Kemas kini pada Oktober 2024 menyatakan terminal sementara itu akan mempunyai keluasan ruang seluas 17,447.28 meter persegi.

Mapletree tidak memperincikan garis masa pembangunan semula itu dan tidak mengulas sama ada Pusat HarbourFront yang dibangunkan semula tersebut akan mempunyai terminal feri dan kapal persiaran baru.

Singapore Cruise Centre pula tidak menyatakan tarikh tamat operasi terminal sementara itu.

Pada Mei 2024, ST melaporkan terdapat rancangan untuk menggabungkan dua terminal kapal persiaran Singapura – di HarbourFront dan Marina Bay – dalam beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, pusat kapal persiaran di HarbourFront dijangka dipindahkan supaya laluan pejalan kaki berterusan dapat dibina sebagai sebahagian daripada pembangunan Greater Southern Waterfront (GSW).

Menurut Cik Tan, “gabungan prasarana kapal persiaran masih dikaji dan hanya akan dilaksanakan pada masa akan datang”.

Pengendali feri di Terminal Penumpang HarbourFront memberitahu bahawa walaupun mereka tahu mengenai langkah pemindahan terminal itu pada 2026, mereka tidak mempunyai maklumat bila operasi di terminal sementara itu akan bermula.

Terminal sementara baru di HarbourFront akan menggunakan jeti berbentuk ‘L’ sedia ada di terminal semasa, di mana kapal persiaran berlabuh.

Pengurus besar operasi feri BatamFast, Encik Chua Choon Leng, berkata selepas terminal siap dibina, pengendali perlu mengambil alih unit mereka untuk melakukan kerja pengubahsuaian kecil serta membiasakan diri dengan aliran penumpang sebelum berpindah masuk.

Beliau menambah kaunter pendaftaran bagi setiap pengendali – yang kini terletak di Pusat HarbourFront – akan dipindahkan ke terminal baru, supaya penumpang dapat mengaksesnya dengan lancar.

Pusat HarbourFront siap dibina dan dibuka pada 1978 sebagai bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang turut merangkumi dewan pameran, yang kini berada di tapak VivoCity.

Selepas kerja pengubahsuaian, bangunan WTC itu dinamakan semula sebagai Pusat HarbourFront dan dibuka semula pada Februari 2003.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg