Topik diikuti
Pergi ke BHkuTerpisah daripada anak ketika di penjara, kini jadi pelindung wanita lain
Penerima Anugerah Perkasa BH-Maybank 2026 fahami kepayahan mangsa keganasan rumah tangga besarkan anak
Terpisah daripada anak ketika di penjara, kini jadi pelindung wanita lain
Seorang ibu dan tiga anaknya yang terpaksa bermalam di luar rumah dek masalah rumah tangga mendapat tempat untuk berlindung apabila Cik Elizabeth Neo Ying Ying @ Nur Hana Eliza Neo membuka pintu rumahnya kepada mereka.
Bagi Cik Neo, 37 tahun, keprihatinannya terhadap nasib ibu itu berpunca daripada pengalamannya sendiri, termasuk ketika beliau terpaksa berpisah daripada anaknya semasa menjalani hukuman penjara.
“Saya berjaga untuk mereka sepanjang malam.
“Apabila saya melihat mereka tidur dengan nyenyak, saya sedar mereka telah melalui malam-malam yang sukar sebelum tiba di sini.
“Akhirnya, mereka dapat tidur dengan lena,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Cik Neo merupakan penerima Anugerah Perkasa Berita Harian-Maybank 2026.
Anugerah itu mengiktiraf individu yang berjaya mengatasi kesusahan dan halangan sosioekonomi serta menunjukkan kecemerlangan dalam mobiliti sosial.
Ia diberikan buat kali pertama sempena Anugerah Jauhari BH 2026, yang dianjurkan BH dengan sokongan Maybank Singapura selaku penaja utama.
Anugerah itu turut mendapat sokongan Persatuan Bank di Singapura (ABS) sebagai penaja bersama, sementara AMP Singapura dan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) merupakan rakan masyarakat.
Cik Neo mula mengenali ibu tersebut ketika membantu mengendalikan sesi campur tangan awal keganasan rumah tangga menerusi ‘Program Brotherhood’ kendalian Thye Hua Kwan Moral Charities.
Program itu menyediakan sokongan kepada individu yang melakukan keganasan dalam rumah tangga, dengan matlamat membantu mereka mengubah tingkah laku dan membaiki hubungan dengan keluarga.
Ibu tersebut merupakan isteri kepada salah seorang peserta program berkenaan.
Apabila ibu itu dan tiga anaknya tiada bumbung untuk berteduh kerana masalah rumah tangga, Cik Neo membuka pintu rumahnya kepada mereka.
Pengalaman berpisah daripada anaknya sendiri menjadikan beliau lebih memahami kesukaran seorang ibu yang berusaha melindungi dan menjaga anak-anaknya.
Darah muda dan salah campur kawan menjadi penyebab beliau pernah membuat keputusan kurang bijak yang akhirnya membawa padah pada diri sehingga terpaksa meringkuk di penjara sebanyak tiga kali iaitu pada 2011, antara 2014 dengan 2015, dan pada 2019.
Ketika menjalani hukuman penjara dek salah guna dadah, beliau terpaksa berpisah daripada anaknya yang ketika itu baru berusia enam bulan.
Titik perubahan dalam hidupnya berlaku semasa anaknya itu melawatnya di penjara, dan beliau hanya dapat melihatnya melalui kaca.
“Lawatan pertama itu dilakukan melalui kaca.
“Saya tidak tahan sebak apabila melihat anak saya dan tidak dapat menyentuhnya.
“Dia mahukan pelukan daripada saya, tetapi saya tidak dapat memberikan pelukan itu kepadanya.
“Walaupun kami berdua berada dalam jarak yang dekat pada ketika itu, kami terasa begitu jauh.
“Saya benar-benar mahu berubah demi anak saya.
“Pengalaman itu menjadi dorongan yang kuat untuk saya berubah kerana saya tahu betapa peritnya apabila seorang ibu itu tidak dapat berada di sisi anaknya, kata Cik Neo.
“Sebab itu, apabila saya melihat seorang ibu yang memerlukan tempat berteduh bersama anak-anaknya, saya dapat memahami kesusahannya dan mahu membantu sedaya upaya,” tambah beliau.
Pengalaman silam itulah yang kini mendorong beliau membantu wanita dan keluarga yang berdepan keganasan rumah tangga, selain membimbing bekas pesalah dalam usaha mereka membina kehidupan baharu.
Beliau kini merupakan sukarelawan ‘Titan’ bersama Reben Kuning, Yellow Ribbon Cares, sebuah komuniti yang menghimpunkan bekas pesalah yang telah meninggalkan kehidupan jenayah dan kembali menyumbang kepada masyarakat.
Melalui peranan itu, beliau kembali ke penjara, namun kali ini untuk menyertai program yang membantu pesalah lebih muda.
Beliau turut terlibat dalam rangkaian bekas pesalah dan pernah menjadi sukarelawan bersama pertubuhan, Heart of Compassion, yang mengagihkan pakaian dan makanan kepada keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di flat sewa.
Sumbangannya dalam membantu individu mengatasi kesusahan dan membina semula kehidupan melayakkan beliau menerima Anugerah Perkasa BH-Maybank 2026.
Mengulas mengenai kejayaan beliau meraih anugerah tersebut, Cik Neo berkata:
“Anugerah Perkasa ini bukan milik saya seorang sahaja tetapi milik mereka yang masih berjuang untuk berubah, yang terus berpaut pada harapan dan enggan berputus asa terhadap diri sendiri.
“Kepada mereka yang sedang berjuang untuk berubah, saya ingin mengatakan bahawa tidak kira betapa sukarnya perjalanan itu, walaupun orang yang paling rapat dengan kita meragui kemampuan kita, perkara yang paling penting adalah tidak hilang kepercayaan terhadap diri sendiri dan tidak menyerah kalah.”
Dalam usaha membaiki diri dan meluaskan keupayaannya untuk membantu orang lain, Cik Neo kini sedang mengikuti kursus Diploma dalam Psikologi di Politeknik Temasek, meskipun tidak memiliki sijil peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’ atau ‘O’.
“
Kepada mereka yang sedang berjuang untuk berubah, saya ingin mengatakan bahawa tidak kira betapa sukarnya perjalanan itu, walaupun orang yang paling rapat dengan kita meragui kemampuan kita, perkara yang paling penting adalah tidak hilang kepercayaan terhadap diri sendiri dan tidak menyerah kalah.