Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tersentap dengan pengakuan anak, ibu tekad kekal bebas dari dadah

Mar 6, 2025 | 11:52 AM
Susanty Yaakop, Mas Haziq
Cik Susanty Yaakop berkata anaknya, Encik Mas Haziq Solihin Mas Omar, ialah pelindungnya dan punca beliau kembali ke pangkal jalan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Lebih baik awak mati. Lebih baik saya tidak dilahirkan,” lafaz seorang anak kepada ibunya, meluahkan perasaannya setelah bertahun menahan derita melihat ibunya menyalahgunakan dadah.

Pengakuan itu terkeluar daripada mulut Encik Mas Haziq Solihin Mas Omar, 23 tahun, sewaktu mengimbas kembali sejarah hitam ibunya itu dalam video TikTok yang diterbitkan Biro Narkotik Pusat (CNB) baru-baru ini.

Encik Haziq merupakan anak tunggal kepada Cik Susanti Yaakop, seorang bekas penagih dadah, yang duduk berdepan mata dengannya dalam video itu.

Cik Susanty memberitahu Berita Harian (BH) beliau tidak sanggup menonton video itu lebih dari sekali, kerana perkongsian anak bujangnya yang menghiris kalbu.

Sebagai penyalah guna dadah selama hampir 20 tahun, Cik Susanty mengaku kesilapan masa lampaunya itu telah ‘merosakkan satu jiwa’.

“Anak saya ialah amanah daripada Allah, tetapi saya sudah mensia-siakannya,” kongsi Cik Susanty tentang masa lampaunya yang pernah menyakiti anaknya disebabkan ketagihan dan kesan dadah yang membuat fikirannya tidak waras.

Walaupun Cik Susanty sudah meninggalkan dadah sepenuhnya sejak 2016, anaknya Haziq masih menyimpan perasaan kesal kerana perihal keluarganya yang tidak stabil akibat perceraian dan penyalahgunaan dadah ibunya.

“Saya rasa iri hati dengan keluarga lain. Kadangkala saya tertanya, kenapa saya dilahirkan,” kata Encik Haziq dalam video itu.

Beliau kini sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Dalam temu bual bersama BH baru-baru ini, Cik Susanty menceritakan beliau telah mengorak langkah baru ke hadapan, dan anaknya kini lebih yakin dengan perubahan ibunya yang ketara.

View post on TikTok

Kata Encik Haziq:

“Saya suka lihat perubahannya, dan saya gembira dia gunakan pengalamannya untuk menolong orang lain. Saya percaya semua orang boleh berubah dan ini tergantung kepada kemahuan dan tekadnya sendiri.”

Cik Susanty berkata walaupun beliau ibu, Encik Haziqlah yang sebenarnya ‘menjaganya’ dan bukan sebaliknya.

“Dia yang selalu memberi saya nasihat dan memarahi saya. Waktu umurnya semuda lapan tahun pun, kalau saya berpakaian seksi, atau tidak sopan, Haziq akan menegur saya. Sampai dia bilang, kalau Mak tak tukar, saya tak nak ikut,” ujar Cik Susanty.

Apabila beliau diberkas pada 2011 dan dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC), beliau berjanji pada dirinya untuk memperbetulkan hidupnya.

Namun disebabkan pergaulan, Cik Susanty mengaku agak senang untuk beliau mendapatkan dadah, dan jalan pemulihan agak susah sehinggalah beliau betul-betul berubah pada 2016.

Beliau mengaku telah menyalahgunakan dadah selama 20 tahun keseluruhannya.

“Saya pernah ambil dadah depan Haziq. Masa itu dia lagi kecil. Saya tunjukkan dia, dan beritahunya, supaya jangan pernah ambil dadah. Saya pun tak tahu kenapa saya buat begitu,” katanya.

Kini, Cik Susanty berbangga kerana dapat mengorak langkah ke hadapan dengan haluan positif, dan aktif membimbing mereka yang pernah jalan yang sama sepertinya.

Selain CNB, Cik Susanty juga aktif sebagai relawan ‘befriender’ atau pendamping dengan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah). Beliau juga menyumbangkan masa dan tenaga untuk Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Reben Kuning.

Pada 2024 pula, beliau mengasas sebuah kumpulan sistem sokongan HUFI Bersatu (Hijrah, Uzair, Fikir & Ikrar) untuk membantu para bekas penagih lain dalam perjalanan untuk memperbaiki diri mereka.

Kumpulan Hufi Bersatu berikan ruang untuk bekas penagih dadah berkongsi dan mendapatkan sokongan pemulihan. Gambar pengasas Cik Susanty (berjubah biru depan), bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Encik Farik Omar, Pengarah Eksekutif FITRAH bersama anggota HUFI Bersatu.
Kumpulan Hufi Bersatu berikan ruang untuk bekas penagih dadah berkongsi dan mendapatkan sokongan pemulihan. Gambar pengasas Cik Susanty (berjubah biru depan), bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Encik Farik Omar, Pengarah Eksekutif FITRAH bersama anggota HUFI Bersatu. - Foto ihsan SUSANTY YAAKOP

“Semua orang perlukan sokongan. Ramai yang di antara mereka yang terjebak semula merupakan mereka yang kurang mendapatkan sokongan keluarga, atau mungkin ada masalah lain yang membuat mereka rasa putus asa,” ujarnya.

Menurut Cik Susanty, Hufi Bersatu kini mempunyai 25 anggota yang aktif.

Ada di antaranya relawan dan ada juga bekas penagih dadah.

“Saya mulakan Hufi Bersatu bagi tujuan untuk memberi bekas pesalah ruang untuk berkongsi, mendapatkan sokongan dan motivasi, tempat untuk mereka mengadu selain mengadakan aktiviti-aktiviti untuk kekal aktif.

“Pengalaman dan latar belakang saya membolehkan saya merapati individu-individu ini dan dengan cara saya tersendiri,” katanya lagi.

Walaupun sudah hampir sembilan tahun membuktikan beliau sudah benar-benar berubah dan menjauhkan diri dari dadah, Cik Susanty berkata anaknya Haziq akan tetap menjadi pelindung dan penguat semangatnya.

“Pada umur saya begini pun, dia masih telefon saya kalau saya balik lambat. Saya tahu ada rasa kasih, keprihatinannya terhadap saya,” ujarnya.

Encik Haziq pula mengaku beliau takut ibunya mengulangi kesilapan lama.

“Saya akan sentiasa risaukan ibu saya. Saya takut kalau dia ulangi perbuatannya, tetapi setakat ini, dia sudah membina kepercayaan dalam diri saya. Dan saya bangga dengan ibu saya sekarang,” terang Encik Haziq.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg