Salah seorang daripada 10 yang dituduh dalam kes pengubahan wang haram terbesar Singapura bukan sekadar seorang warga asing ketika dia tiba di Singapura pada 2021, tetapi merupakan buruan yang lari dari pihak berkuasa China, kata pihak pendakwaan pada Khamis.
Hal ini didedahkan semasa pendengaran semakan ikat jamin bagi warga Kemboja, Su Wenqiang, 31 tahun. Permohonannya untuk diberi ikat jamin ditolak.
Dalam hujahan agar anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin, peguam Su, Encik Sameer Amir Melber berkata, Su datang ke Singapura pada 2021 bersama isteri dan anak-anaknya, yang berusia lima dan enam tahun, kerana ingin anak-anaknya mendapat pendidikan di sini.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Edwin Soh berkata, tertuduh ialah buruan yang melarikan diri daripada pihak berkuasa China.
Su, yang ditahan di sebuah Banglo Kelas Baik (GCB) di Bukit Timah pada 15 Ogos, menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Dia didakwa pada 16 Ogos kerana dikatakan memiliki $601,706 yang merupakan manfaat daripada perbuatan jenayahnya.
Dia dikenakan satu lagi pertuduhan pada 30 Ogos kerana didakwa membeli sebuah kereta Mercedes-Benz menggunakan $500,000.
Wang itu dikatakan sebagai keuntungannya daripada khidmat menyediakan perjudian jarak jauh secara haram yang berpangkalan di Filipina untuk penduduk China.
Pada Khamis, Encik Sameer memberitahu mahkamah anak guamnya berkata, semua khidmat perjudiannya di Filipina diluluskan oleh pihak berkuasa di sana.
Khidmat perjudian jarak jauh juga tidak dipermudahkan di Singapura dan tiada sesiapa di sini pernah mengguna khidmat itu, tambahnya.
Su hadir melalui pautan video dalam semakan ikat jamin itu .
Dalam perbicaraan pada 30 Ogos lalu, Su berkata dalam bahasa Mandarin bahawa dia hampir mengalami gangguan mental dan memohon diberi ikat jamin.
Ketika menolak ikat jamin, Hakim Daerah Brenda Tan antara lain berkata, Su seorang buruan yang mempunyai insentif untuk melarikan diri.
Dalam operasi membanteras pengubahan wang haram pada 15 Ogos itu, para pegawai polis membuat serbuan di hartanah di kawasan seperti Tanglin, Bukit Timah dan Sentosa.
Seramai 10 warga asing, semuanya asal dari China dan memiliki pelbagai pasport negara lain, telah didakwa atas kesalahan termasuk pengubahan wang haram, pemalsuan dan menentang penangkapan.
Jumlah nilai aset yang dikaitkan dengan kes itu melebihi $2.8 bilion, termasuk 152 hartanah dan 62 kenderaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg